Memaparkan catatan dengan label Banjir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Banjir. Papar semua catatan

Selasa, Disember 28, 2021

Rebat 100 peratus bil elektrik Disember untuk mangsa banjir

 


Rebat 100 peratus secara sekali beri atau 'one-off' bagi bil elektrik Disember diberikan kepada pengguna domestik bagi meringankan beban mangsa banjir, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata pemberian rebat itu bakal memanfaatkan sekitar 72,000 pengguna domestik yang menjadi mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.

Selain itu, katanya, TNB turut memberikan perkhidmatan pemeriksaan pendawaian percuma kepada mangsa banjir.

"Untuk meringankan beban mangsa banjir, TNB akan memberi rebat 100 peratus secara 'one-off' untuk bil elektrik Disember, yang akan memanfaatkan 72,000 pelanggan domestik, iaitu rumah.

"Saya juga sudah minta TNB membantu kediaman milik keluarga B40 yang terjejas banjir apabila bekalan elektrik disambung semula.

"Sejak Jumaat, TNB telah melaksanakan kerja pemeriksaan pendawaian percuma kepada pengguna domestik kerana air banjir mungkin menyebabkan kerosakan pendawaian, suis dan sebagainya, jadi situasi itu agak berbahaya," katanya pada sidang media di Masjid Al-Muttaqin di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan Kementerian Kewangan juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat pengeluar kenderaan untuk memberi kemudahan tertentu kepada mangsa banjir.

Katanya, langkah itu berikutan ramai mangsa banjir yang perlu membaiki kenderaan ditenggelami air.

"Perodua umumkan akan beri percuma kos tarik kereta ke pusat servis mereka, dan bayaran upah untuk baik pulih dan servis juga adalah percuma.

"Kos alat ganti masih perlu dibayar, namun Perodua bersetuju memberikan diskaun 50 peratus untuk kereta jenama Perodua.

"Saya difahamkan Menteri Kewangan akan berunding dengan syarikat lain seperti Proton dan sebagainya dan harap mereka mengikut langkah Perodua, ini amat dialu-alukan," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan waktu lebih tiga jam sejak 9.30 pagi untuk meninjau Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua di sini, yang antara kawasan paling teruk terjejas banjir di Selangor.

Sumber : Berita Harian

 

Sabtu, Disember 27, 2014

Banjir 2014 : Mangsa banjir cecah 119,000, Kota Bharu kritikal


Banjir 2014 : Mangsa banjir cecah 119,000, Kota Bharu kritikal

 Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri kini mencecah 119,087 orang dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 45,467 orang setakat petang 26 Disember 2014.

Di KELANTAN, limpahan air Sungai Kelantan menyebabkan jumlah mangsa di Kota Bharu naik mendadak iaitu seramai 13,388 orang kepada 14,586  orang petang ini berbanding 1,198 orang pagi tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri,  Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata, limpahan air sungai itu telah merebak ke beberapa kampung  berhampiran termasuk Kampung Lembah Sireh, Kampung Pintu Geng, Kampung Kedai Buloh, Kampung Banggol, dan kawasan sekitar Pengkalan Chepa.

Kesemua mangsa kini dipindahkan ke 40 pusat pemindahan berbanding hanya tujuh pagi tadi, katanya.

Kecuali di Pasir Mas yang menunjukkan sedikit penurunan dengan jumlah mangsa kini mencecah 6,319 orang, beberapa kawasan lain  kebanyakannya tidak berubah termasuk di Tanah Merah (3,546 orang), Gua Musang (5,150 orang), Tumpat (5,005 orang), Machang (4,039 orang), Jeli (1,430 orang), Kuala Krai (5,200 orang) dan Pasir Puteh (192 orang).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa terus meningkat kepada 34,884 petang ini berbanding 31,001 pada tengah hari.

Daerah Kemaman mencatat tambahan mangsa kepada 25,090 orang daripada 21,381 yang ditempatkan di 46 pusat penempatan, demikian  menurut portal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu.

Daerah Dungun turut menunjukkan peningkatan menjadikan jumlah mangsa 8,197 orang manakala Kuala Terengganu masih bertahan dengan 1,369 orang dan Hulu Terengganu (228 orang).

Bagaimanapun menurut portal itu,  bandar Kuala Terengganu masih dapat dihubungkan dengan Kuantan melalui beberapa lencongan dan jalan  alternatif walaupun beberapa jalan utama masih dinaiki air dan hanya dibuka kepada kenderaan berat.

"Bagi pengguna jalan raya yang hendak ke Kuantan dari Kuala Terengganu menggunakan jalan pesisir, mereka disaran melalui persimpangan  alan  Che Lijah di Dungun dan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) Tol Dungun.

"Dari LPT2 Tol Dungun itu, pengguna boleh melaluinya sehingga susur keluar Tol Paka berikutan kawasan sekitar di Air Hitam sehingga Kampung Nyior di Dungun dinaiki air," menurut laporan itu.

MKN berkata pengguna jalan raya akan menggunakan kembali sebahagian laluan pantai di Kemaman sebelum sekali lagi masuk ke LPT2 susur  keluar Tol Kijal untuk dihubungkan ke LPT1 ataupun Kuantan, manakala petang ini LPT Bukit Besi-Ajil telah dibuka semua kepada semua  kenderaan.

Keadaan di PAHANG pula menyaksikan jumlah mangsa berkurangan kepada 32,380 orang berbanding 35,736 orang pada tengah hari. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, jumlah mangsa di Kuantan kini (16,691 orang), Jerantut (4,728 orang), Pekan (2,281 orang), Temerloh (2,823 orang), Maran (2,818 orang), Lipis (2,697 orang), Bera (310 orang) dan Rompin (32 orang).

Di JOHOR, jumlah mangsa meningkat kepada 537 orang daripada 130 keluarga di 10 pusat pemindahan berbanding 214 orang pada tengah hari.  Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Johor, Datuk Ismail Karim berkata sehingga pukul 5 petang, daerah yang terjejas melibatkan Kluang, Batu  ahat, Kulaijaya Segamat dan Muar.

Katanya enam pusat pemindahan di buka di Kluang dan masing-masing satu di Batu Pahat, Kulaijaya, Segamat dan Muar.   

Di KEDAH, jumlah  angsa semakin berkurangan setelah banjir di dua daerah iaitu Padang Terap dan Bandar Baharu semakin surut dengan tinggal 28 mangsa berbanding 96 orang tengah hari tadi.

Di PERLIS, angka mangsa turut berkurangan kepada 209 orang setelah 54 orang dibenarkan pulang sehingga pukul 5 petang ini.

Di PERAK, jumlah mangsa kekal 6,119 orang dengan daerah Kuala Kangsar merekod jumlah 2,579 mangsa di 50 pusat pemindahan, menurut  jurucakap MKN Negeri Perak.

Sumber : BERNAMA



Recent Posts