Rabu, Ogos 18, 2021

Tempoh serahan SD berakhir, tumpuan ke Istana Negara

 

Tempoh bagi 220 Ahli Parlimen menghantar akuan bersumpah (SD) kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan berakhir jam 4 petang tadi.

Beberapa nama Ahli Parlimen sudah dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagaimana notis dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun semalam.

Dua nama iaitu Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disebut-sebut mempunyai peluang untuk dilantik ke jawatan itu.

BH setakat ini belum mendapat jumlah sah pencalonan bagi kedua-dua pemimpin berkenaan, namun berdasarkan rujukan semua parti, Ismail Sabri dilapor memperoleh sokongan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Turut menyokong Naib Presiden UMNO itu, PAS yang mengesahkan 18 Ahli Parlimennya menamakan Ismail Sabri serta Ahli Parlimen daripada BERSATU.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) walaupun enggan menyatakan pilihan mereka secara terbuka kerana enggan mendahului Yang di-Pertuan Agong dikatakan memihak kepada Ismail Sabri selain beberapa Ahli Parlimen Bebas turut berbuat demikian.

BN memiliki 42 Ahli Parlimen, sementara BERSATU (31) dan masing-masing 18 Ahli Parlimen PAS dan GPS.

Anwar pula dilapor memperoleh sokongan daripada Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Plus yang terdiri daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) serta Parti Warisan Sabah (WARISAN).

PKR memiliki 35 Ahli Parlimen, sementara DAP (42) dan 13 dimiliki AMANAH, manakala lapan adalah WARISAN.

Empat Ahli Parlimen daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) serta Ahli Parlimen bebas, Syad Saddiq Syed Abdul Rahman dan Dr Maszlee Malik, tidak dipastikan arah sokongannya, namun mereka dilihat cenderung menyokong calon PH Plus.

Ketika ini Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi kerana dua kerusi lagi masih kosong berikutan kematian penyandangnya.

Dalam kenyataan terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menegaskan SD itu bertujuan untuk membantu baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a)Perlembagaan Persekutuan.

Semua pihak termasuk pemimpin politik dan pengamal media kini menanti signal berikutnya dari Istana Negara.

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.