Rabu, Julai 07, 2021

CIMB jamin moratorium tiada faedah, keuntungan terkompaun


CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd Bhd (CIMB) memberi jaminan tidak akan mengenakan faedah atau keuntungan terkompaun dan sebarang faedah penalti atau caj lewat bayar sepanjang tempoh moratorium.

CIMB dalam satu kenyataan, menegaskan bank itu akan memastikan rekod laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) juga tidak terjejas apabila pelanggan mengambil bantuan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) itu.

"Bermula hari ini, CIMB menawarkan semua individu (B40, M40 dan T20), perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas boleh memilih moratorium enam bulan dengan kelulusan automatik bagi mengurangkan beban aliran tunai disebabkan COVID-19.

"Mereka juga boleh memilih pengurangan 50 peratus ansuran selama enam bulan bagi kemudahan kredit seperti gadai janji, pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB)/pembiayaan dan kemudahan kredit kadar berubah.

"Malah, bank juga menawarkan pilihan moratorium tiga bulan untuk kemudahan sewa beli, manakala bagi kad kredit, pelanggan boleh menukar baki hutang menjadi pinjaman/pembiayaan selama tiga tahun dengan kadar faedah/keuntungan berkurangan bagi membantu mereka menguruskan hutang lebih baik," katanya.

Bagi memastikan pelanggan dapat mengakses program bantuan pembayaran dengan mudah, CIMB telah menyediakan eBorang digital yang boleh didapati di laman sokongan CIMB iaitu https://www.cimb.com.my/covid19support.

Laman sokongan itu akan menerangkan pilihan bantuan pembayaran yang mudah difahami di mana pelanggan hanya diminta membuat pilihan yang diingini untuk mengaktifkan proses terbabit.

"Pelanggan juga disaran untuk memeriksa laman web CIMB bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai waktu operasi yang dihadkan susulan pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Bagaimanapun, pelanggan disarankan untuk menggunakan eBorang digital atau menghubungi CIMB menerusi saluran digital.

"Untuk mempercepatkan proses permohonan, CIMB juga mula menghubungi kumpulan individu terpilih yang mungkin memerlukan bantuan menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS)," tambah CIMB.

CIMB turut menjelaskan, kelulusan permohonan moratorium terbabit diberikan secara automatik, tanpa memerlukan sebarang dokumentasi.

"Bagaimanapun, bagi pelanggan sewa beli, mereka diminta untuk menandatangani variasi perjanjian dengan penjamin mereka (jika perlu) sebelum bantuan pembayaran ini diaktifkan.

"Selepas itu pelanggan membuat pilihan, bank akan menghubungi mereka untuk membuat pengaturan berhubung variasi perjanjian ini. Moratorium akan berkuatkuasa pada bulan berikutnya. Tetapi, pelanggan tetap boleh menghubungi bank untuk mengaktifkannya pada bulan sama," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata sebagai tambahan kepada bantuan pembayaran di bawah PEMULIH, CIMB juga meneruskan pakej bantuan kewangan lain termasuk penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman/pembiayaan yang bersesuaian dengan keadaan kewangan pelanggan.

"CIMB memahami dengan keadaan pelanggan kami dalam berdepan tempoh sukar ini.

"Kami ingin meyakinkan pelanggan bahawa CIMB komited membantu pelanggan dengan menjadikan akses kepada bantuan pembayaran lebih mudah," katanya.

Abdul Rahman berkata, CIMB akan berusaha untuk memproses semua permohonan program bantuan pembayaran secepat mungkin.

"Namun, memandangkan kemungkinan wujudkan jumlah permohonan yang tinggi dan sekatan pergerakan mengehadkan protokol kerja, mungkin wujudnya sedikit cabaran dari aspek operasi.

"Bank akan menangani semua masalah tepat pada masanya," tambahnya.

Sumber : Berita Harian

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.