Rabu, November 02, 2011

Kelembutan dakwah terbaik

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

MENGAJAK orang berbuat kebaikan, melarang melakukan kemungkaran, menyebarkan ilmu, memberi nasihat, teguran dan ceramah adalah hal lazim dalam dakwah Islam. Berdakwah menjadi kewajipan dan tanggungjawab harus dipenuhi setiap umat Islam.

Firman Allah bermaksud: “Serulah (manusia) ke jalan Rabb-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara baik.” (Surah An-Nahl, ayat 125).

Kita sebagai umat terbaik dan bermaruah, perlu bangkit berganding bahu menegakkan dakwah supaya semua sentiasa mengingati Allah serta mematuhi perintah-Nya. Dengan ini, umat Islam dapat hidup tenang, bahagia dan harmoni.

Namun, apa yang terjadi dalam masyarakat ialah sikap membiarkan kemungkaran disebabkan rasa malu mencegahnya atau takut menegur perbuatan itu. Lebih malang lagi, ada yang menganggap atau tidak kuasa dengan membiarkan seseorang berbuat kemungkaran.

Semua tindakan ini menyimpang daripada ajaran Islam yang menghendaki umatnya mencegah apabila melihat kemungkaran mengikut kemampuan.

Abu Said al Khudri berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa dalam kalangan kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Jika tidak mampu hendaklah dia mencegah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika kemungkaran dibiarkan tanpa usaha mencegahnya, akibatnya maksiat akan berleluasa. Hal ini boleh mengundang kemurkaan Allah SWT seperti kisah Bani Israel yang dilaknat Allah disebabkan membiarkan maksiat berlaku.

Al-Quran menceritakan: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israel dilaknat (dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak melarang (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Dan sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan.” (Surah Al-Maidah, ayat 78-79)

Dakwah yang berjaya dilakukan dengan penuh keikhlasan, tidak memaksa atau menakut-nakutkan, secara bijaksana, sabar, lemah-lembut dan penuh kasih sayang.

Rasulullah SAW selalu menampilkan sifat kasih sayang dan kelembutan dalam usaha dakwah Baginda.

Betapa dinginnya sambutan orang Taif terhadap dakwah Nabi SAW, Baginda dicaci, diejek, dilontar dengan batu berdarah berdarah tubuhnya. Akibat peristiwa menyedihkan itu, datang malaikat menawarkan diri untuk menghempap bukit Al-Akhsyabin ke atas mereka.

Bagaimanapun, tawaran itu ditolak Baginda sebaliknya berkata: “Tetapi apa aku mahu biar Allah melahirkan daripada sulbi mereka suatu golongan yang menyembah-Nya tanpa mensyirikkan-Nya.”

Rasulullah SAW berlembut dengan orang yang memang jelas menentang dakwahnya. Kerana sikap lembah-lembut itu dakwah Baginda berjaya.

Firman Allah bermaksud: “Maka disebabkan rahmat daripada Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Jika kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Sebagai Muslim yang mahu agama Islam berkembang dan dihayati masyarakat, marilah mencontohi sikap ditunjukkan Rasulullah SAW.

Ibu bapa perlu mendidik dan mengajar anak dengan penuh tanggungjawab, kelembutan dan kasih sayang. Lantaran bimbingan dan nasihat yang lemah-lembut tetapi tegas boleh meninggalkan kesan mendalam dan keinsafan yang membuahkan kepatuhan.

Bentuk hukuman masih sesuai sebagai langkah terakhir apabila nasihat dan kasih sayang tidak mampu lagi digunakan, namun dikenakan kepada anak biarlah sekadar perlu bukan memudaratkan.

Begitu juga dengan guru di sekolah, perlu menjauhi sikap kasar yang hanya membuatkan murid semakin jauh minatnya terhadap pelajaran. Patinya, usaha ini memerlukan kesabaran serta kesungguhan guru.

Benarlah seperti diungkapkan Prof Dr Hamka bahawa andai kata sasaran dakwah (mad’u) itu menjauhkan diri daripada pendakwah (da’i), maka bukanlah mad’u itu yang patut disalahkan sebaliknya da’i itulah yang silap dan perlu bermuhasabah diri.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts