Peniaga makanan tamak rosakkan imej Terengganu

Oleh Abdul Halim Yusoff

DALAM ekonomi pasaran bebas berasaskan konsep laissez-faire, harga barangan dan perkhidmatan ditentukan berdasarkan permintaan dan penawaran yang keseimbangan atau harga ditentukan pada titik keseimbangan. Bagaimanapun, keadaan dalam pasaran sebenar mungkin berbeza.

Sikap peniaga disebabkan pelbagai faktor terutama dorongan mengambil untung dan mungkin disandarkan rasa tamak, menyebabkan gangguan dalam pasaran hinggakan harga tidak turun walaupun permintaan tidak bertambah. Peniaga sebegini sanggup melepaskan potensi untung besar menerusi jumlah pengeluaran atau jumlah pelanggan ramai, tetapi sanggup bertahan dengan membiarkan pasaran mengandaikan wujud lebihan permintaan terhadap barang atau perkhidmatan mereka dengan tidak menurunkan harga.

Contohnya pengusaha pusat cuci kereta yang mengenakan upah bermula RM13, sedangkan perkhidmatan sama di Kuala Lumpur cuma dari RM10. Dengan itu, kita lihat banyak tempat cuci kereta berbanding kereta yang dicuci. Mungkin ramai memilih cuci sendiri kerana tidak berbaloi dengan sikap peniaga yang mahu untung berlebihan. Dalam keadaan lain, ada peniaga membuat diskriminasi harga untuk mengaut untung lebih. Contohnya, segelintir peniaga makanan di Terengganu umpamanya yang dikatakan mengenakan harga lebih tinggi kepada pelancong berbanding harga kepada penduduk tempatan.

Baru-baru ini, akhbar ini sekali lagi melaporkan mengenai aduan pembacanya mengenai harga makanan dan perkhidmatan yang dikatakan sangat mahal di Terengganu. Tinjauan dengan penduduk tempatan, mereka mengesahkan harga makanan terutama masakan panas di restoran terutama di Kuala Terengganu jauh lebih mahal berbanding bandar besar lain termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Seremban. Malah warga Terengganu berasa hairan kerana negeri ini adalah pengeluar utama hasil laut kerana ada pantai sepanjang lebih 240 kilometer, tetapi harga makanan laut yang dihidang dalam tom yam masih mahal.

Isu harga barang dan perkhidmatan termasuk sewa rumah, kedai dan pejabat yang mahal di negeri ini sudah lama dibincangkan dan setiap kali dibicarakan, antara sebab yang tidak dapat disanggah menjurus kepada sifat tamak pengusaha. Sifat tamak peniaga jika tidak dibendung boleh merosakkan ekonomi. Mengambil contoh harga makanan dan diskriminasi harga terhadap pelancong umpamanya, risiko ialah pelancong serik dan menerusi kempen mulut ke mulut, kunjungan pelancong pasti merudum. Ini bahaya kerana negeri ini menyasarkan pelancongan menjadi enjin kedua penjana pendapatan selepas royalti petroleum.

Mengulas isu ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar, berkata kerajaan negeri dengan kerjasama persatuan pengguna dan pertubuhan bukan kerajaan akan menganjurkan kempen 'Jom Boikot' untuk memantau peniaga yang menaikkan harga sesuka hati, terutama selepas pembentangan Bajet 2012. Serentak itu, penguatkuasaan akan diperhebat untuk membuat pemeriksaan dan kaji selidik harga, manakala orang ramai juga boleh membuat laporan mengenai peniaga tamak yang menaikkan harga kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di kawasan mereka dengan butiran lengkap kejadian.

Begitupun, beliau menyatakan beberapa faktor menyebabkan harga makanan terutama masakan panas di restoran mahal, antaranya, kos pengangkutan menggunakan lori yang jauh ke negeri ini berbanding negeri lain yang mempunyai rangkaian tren.
Perkhidmatan kargo kereta api tidak mengenakan surcaj tambahan. Selain itu, sebahagian besar bahan masakan seperti sayur dan ramuan lain juga datang dari luar. Beliau turut mengaitkan dengan inflasi disebabkan kemudahan warga mendapat akses kewangan menerusi pelbagai dana kerajaan dan belanjawan negeri lebih RM1.8 bilion setahun.

Tetapi, jika ini punca utama, tidak seharusnya lagi ada isu miskin tegar di negeri ini. Sesungguhnya, cadangan boikot memang tepat dan wajar sejajar sistem ekonomi pasaran bebas.

Begitupun, dalam keadaan lain, peniaga makanan juga mempunyai 'modal' atau sebab untuk naikkan harga. Sikap penduduk negeri ini yang suka makan luar menyumbang inflasi dan mewujudkan permintaan tinggi. Di setiap ceruk waima di kampung nelayan sekalipun, pasti ada kedai makan, gerai dan restoran. Memang mudah juga untuk faham kenapa rakyat terutama di bandar raya ini makan luar. Ia adalah elemen hiburan terbaik bersama keluarga kerana tiada tempat hiburan lain seperti kompleks beli-belah, pawagam atau taman tema untuk mereka bersama keluarga di sini.

Keadaan itulah membuatkan harga makanan mahal kerana permintaan selalu ada dan faktor ini juga menyebabkan golongan miskin dan miskin tegar gagal diatasi dengan cepat manakala golongan menengah juga tidak cepat senang kerana wang mereka dihabiskan untuk makan.

Peniaga perlu disuburkan rasa bangga apabila bertanggungjawab, kerajaan perlu mewujudkan suasana kondusif untuk perniagaan dan mengawal manipulasi pasaran manakala orang ramai mempunyai kuasa untuk membetulkan keadaan. Boikot jika perlu terhadap kedai dan peniaga yang tamak.

Dalam perkembangan berkaitan, kewujudan projek Kuala Terengganu City Center (KTCC) di tapak tujuh kilometer dari muara Sungai Terengganu ke Kampung Tanjung dijangka mewujudkan bandar raya warisan pesisir air yang lebih segar menjelang 2015.

Pembukaan lebih banyak pusat komersial seperti pasar raya, hotel dan taman riadah akan memberi ruang kepada masyarakat untuk menyumbang mewujudkan sebuah komuniti dengan keadaan sosioekonomi yang seimbang. Menjelang 2015, kita harap tiada lagi peniaga, terutama pengusaha makanan tamak kerana mereka perlu sedar masyarakat mempunyai lebih pilihan termasuk dari pelbagai restoran mewah dan sederhana.

- BERITA HARIAN Peniaga makanan tamak rosakkan imej Terengganu

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.