Isnin, Ogos 09, 2010

Borak Pak Nil - Buang persepsi awal

OLeh Aznil Haji Nawawi (Pak Nil)

ASSALAMUALAIKUM.

Paknil mulakan bicara kali ini dengan ucapan tahniah kepada pemenang Imam Muda yang pertama iaitu Ashraf yang sekali gus melakar sejarah dalam dunia penyiaran.

Sebagai penasihat kreatif Astro, Paknil bangga dengan kejayaan yang ditempa anak muda berusia 26 tahun ini.

Sebagai seorang daripada jemputan yang menurunkan ilmu pengucapan awam dalam program realiti berkenaan, Paknil perhatikan Ashraf menyelitkan apa yang dipelajarinya dalam sesi pembelajaran bersama Paknil.

Walaupun kami cuma berkesempatan bertemu dalam dua sesi, Ashraf cepat belajar dan sering menunjukkan minat dalam mendapatkan ilmu pengetahuan.

Inilah contoh seorang imam yang dinamik kerana baginya, ilmu itu datang dalam pelbagai bentuk dan daripada orang berbeza.

Persepsi awal terhadap individu menurunkan ilmu itu dibuang jauh-jauh.

Sedar atau tidak, memang ada dalam diri sikap menilai seseorang sebelum kita mengenalinya.

Apabila ditawarkan peluang membimbing peserta Imam Muda, Paknil rasa ia bagaikan satu gurauan daripada pihak produksi.

Bimbang juga penyertaan Paknil menimbulkan kesangsian orang ramai terhadap kredibiliti program berunsur keagamaan ini.

Pengurus saluran Oasis, Izelan Basha kemudian meyakinkan Paknil supaya menurunkan sedikit ilmu kebolehan bertutur depan khalayak kepada anak buahnya.

Pihak Oasis bukan minta Paknil mengajar mereka soal hukum-hakam agama tetapi sekadar mengasah kebolehan mereka berkomunikasi.

Inilah cabaran yang harus Paknil galas untuk sama-sama berganding bahu demi agama Islam.

Benar bagai dijangka, ada segelintir penonton berfikiran sempit tidak boleh menerima kehadiran Paknil dalam rancangan itu.

Bagi mereka, program itu milik ustaz dan orang yang berkopiah saja.

Kasihan Paknil dengan golongan ini kerana cara mereka mengkritik di forum Internet seperti orang bijak pandai tetapi sebenarnya buta mata hati.

Mereka terlalu bijak menilai keperibadian orang lain hingga menelanjangkan kebodohan sendiri.

Golongan ini beranggapan Paknil bukan orang terbaik untuk mengajar peserta Imam Muda kerana imej Paknil tidak seperti yang mereka harapkan.

Adakah hanya mereka yang berjubah, bersongkok atau berkopiah, berjanggut dan yang menghafaz ayat suci Al-Quran layak menurunkan ilmu? Adakah ilmu daripada orang yang tidak berjanggut itu tidak relevan? Mereka seperti kembali ke zaman jahiliah. Terlalu tertutup dan sukar menerima perubahan.

Bagi Paknil, jika ilmu yang baik untuk umat sejagat itu datang daripada golongan kafir sekalipun, kita sebagai umat Islam yang mahukan kemajuan harus bersifat terbuka belajar daripada mereka.

Yang kita belajar adalah ilmunya, bukan apa yang mereka sembah.

Selagi akidah kita tidak terikut dengan fahaman mereka, selagi itu kita dituntut untuk menuntut ilmu.

Alhamdulillah, pihak Oasis tidak berfikiran sempit dan sentiasa mahukan kemajuan.

Bagi mereka, untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan imam, mereka harus akur dengan perubahan sekeliling.

Jika kekal di takuk lama, Imam Muda mungkin hanya menarik perhatian golongan tua manakala golongan muda akan terus hanyut tanpa ada modul yang boleh menarik mereka agar lebih mendekatkan diri kepada agama.

Atas dasar itu, pendekatan yang lebih mesra masyarakat digunakan.

Paknil tidak akan tunduk dan mengalah kepada suara-suara sumbang itu.

Percaya dengan keberkesanan kaedah yang digunakan, pihak Astro Oasis merancang meneruskan kesinambungan Imam Muda dan berharap Paknil dapat bersama mereka dengan lebih kerap dan sepenuh masa.

Insya-Allah, Paknil akan terus menghulurkan tenaga untuk program itu biarpun ada pihak tidak senang duduk.

Sebelum terlupa, Paknil ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam.

Kita seharusnya bersyukur kerana dipanjangkan usia untuk sama-sama mengimarahkan bulan penuh kemuliaan ini.

Masih ingat lagi tahun lalu apabila kita menangisi pemergian Ramadan selepas sebulan berpuasa, terasa sungguh pilu kerana belum tentu kita dapat merasai kenikmatan Ramadan berikutnya.

Alhamdulillah, Ramadan datang lagi dan kita masih bernyawa.

Inilah satu-satunya bulan kita dapat melakukan ibadat solat tarawih.

Banyak fadilat solat sunat ini yang harus kita kejar.

Paknil akan cuba mengurangkan rutin kerja, terutama pada waktu malam, untuk sama-sama mengejar kebaikan bulan ini.

Tugas di TV dan radio masih seperti biasa tetapi tidaklah serancak bulan lain.

Paknil turut terbabit dengan kerja-kerja produksi untuk beberapa program raya dan memenuhi jemputan berbuka puasa.

Jadi kebiasaan, sepanjang bulan ini banyak badan, persatuan dan syarikat korporat menganjurkan majlis berbuka puasa bagi meraikan golongan tidak bernasib baik.

Anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan saudara baru tidak pernah dilupakan.

Bukan saja diraikan dalam majlis berbuka puasa, bahkan ada juga yang mengambil inisiatif menghulurkan bantuan lebih daripada itu.

Ada syarikat korporat bawa golongan tidak bernasib baik ini membeli-belah keperluan raya dan tidak kurang juga menyerahkan duit raya.

Budaya sihat ini sewajarnya diteruskan biarpun bukan pada Ramadan.

Paknil ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Permanis, pengeluar minuman Revive Isotonic dan Pepsi kerana sudi menjadi penaja utama segmen Merisik Khabar di Riuh Pagi Era.

Setiap hari sepanjang bulan penuh keberkatan itu nanti, Permanis akan membantu setiap kes yang bakal ke udara.

Sumbangan ini pasti membuatkan insan kurang bernasib baik tersenyum manis.

Paknil terharu dengan kesudian Permanis untuk sama-sama beramal di bulan turunnya al-Quran ini.

Ketika pelancaran Merisik Khabar Ramadan baru-baru ini, Paknil lihat tiada keganjilan pada pandangan mata kasar apabila ada wakil daripada Permanis yang bukan beragama Islam bersungguh-sungguh memastikan usaha murni ini berjalan lancar.

Mereka juga yang bertanggungjawab menganjurkan majlis berbuka puasa setiap hujung minggu untuk golongan tidak bernasib baik.

Walaupun wakil Permanis bukan beragama Islam, kefahaman mereka terhadap masyarakat berbilang bangsa merealisasikan projek murni ini.

Inilah kelebihan apabila hidup dalam masyarakat majmuk yang harus kita pelihara.

Tidak perlu skeptikal dengan bangsa atau agama lain kerana kita harus sedar Malaysia sudah 53 tahun merdeka dan tidak ada jurang kaum lagi.

Latar belakang kita semuanya sama. Kita adalah SATU.

Wassalam.

- HARIAN METRO

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts