Ahad, Julai 25, 2010

Apa ada pada isu Burqa?

Oleh Hafizahril Hamid

Isu burqa kini menghantui umat Islam di Eropah. Sememangnya sejak sekian lama pelbagai dugaan dihadapi kelompok itu yang merupakan golongan minoriti.

Dalam memperkatakan tentang isu burqa, hanya beberapa negara yang majoriti rakyatnya mengamalkan pemakaian burqa dalam kehidupan seharian.

Kali terakhir sebuah negara mewajibkan penduduk wanitanya memakai burqa dalam apa jua aktiviti hariannya adalah Afghanistan, itu pun sebelum Amerika Syarikat (AS) bertindak menyerang dan menawan negara itu pada 2001.

Ini berikutan kejayaan puak Taliban menyingkirkan kerajaan Afghanistan pimpinan Presiden Burhanuddin Rabbani pada 27 September 1996 yang akhirnya menyebabkan pelaksanaan undang-undang syariah menurut tafsiran Taliban.

Untuk keluar rumah, wanita diwajibkan memakai pakaian yang menutupi keseluruhan tubuh mereka seperti jubah dan purdah yang lebih dikenali sebagai burqa.

Taliban juga melaksanakan undang-undang yang tidak membenarkan kaum wanita keluar rumah tanpa ditemani oleh muhrim.

Tidak cukup dengan itu mereka juga melarang kaum wanita keluar bekerja malah kanak-kanak perempuan juga tidak dibenarkan meneruskan persekolahan. Sedangkan sebelum kedatangan Taliban, negara itu membenarkan penglibatan wanita dalam segenap sektor sama ada pendidikan, pentadbiran mahupun perniagaan.

Pelaksanaan undang-undang melulu oleh Taliban memberi kesan yang mendalam kepada rakyat Afghanistan terutamanya wanita malah kehidupan mereka ditindas. Hak dan perasaan mereka juga tidak dipedulikan.

Itu kisah hampir 10 tahun lalu ketika burqa dikuatkuasakan atas alasan ia mampu melindungi wanita Afghanistan daripada terjebak ke kancah penghinaan namun Taliban kemudian menafikan terus hak wanitanya untuk memajukan diri dan bergaul.

Kini isu burqa sekali lagi menimbulkan kontroversi sekali gus mengheret umat Islam dalam satu konflik yang dilihat berat sebelah. Kontroversi pemakaian burqa mencetuskan polemik baru di Barat yang sememangnya sejak sekian lama sering mempunyai tanggapan serong terhadap Islam.

Apatah lagi dengan kehadiran dan penghijrahan umat Islam dari negara-negara yang agak ekstrem pegangan mereka seperti Pakistan, Bangladesh dan Asia Barat, ia sedikit sebanyak membangkitkan gelombang kebimbangan tentang perkembangan Islam.

Gelombang ini kemudiannya menimbulkan apa yang dipanggil Islamofobia di kalangan masyarakat Barat walaupun hakikatnya tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Sejak kebelakangan ini beberapa negara di Barat mula mengharamkan pemakaian burqa atas alasan melindungi hak dan kebebasan wanita selain menghalang identiti seseorang dikenal pasti di mana-mana tempat awam.

sokongan

Belgium menjadi negara pertama di Eropah yang mengharamkan pemakaian burqa di khalayak ramai. Parlimen negara itu telah meluluskan usul pengharaman yang mendapat sokongan hampir sebulat suara hujung April lepas.

Bagaimanapun langkah itu turut dikutuk oleh pemimpin Islam, seorang biskop Roman Katholik dan pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International. Pengharaman itu akan dikuatkuasakan di jalan-jalan, taman awam, gelanggang sukan dan bangunan yang disediakan untuk kegunaan awam.

Mereka yang melanggar undang-undang itu berdepan dengan denda 15 hingga 25 euro (RM63 hingga RM106) dan penjara tujuh hari atau kedua-duanya sekali.

Walaupun Belgium merupakan negara pertama yang menguatkuasakan undang-undang ini tetapi Perancis merupakan negara paling lantang dan kehadapan dalam isu tersebut.

Negara itu pernah bertindak menggantung tugas seorang pegawai polis wanita kerana memakai tudung semasa bertugas. Nora B, yang bertanggungjawab membuat rondaan di bandar raya Paris, dikatakan enggan menandatangani arahan penggantungan dan sengaja 'membangkitkan ketegangan dengan terus memakai tudung semasa bertugas.

Selain itu, kerajaan Perancis juga bertindak tidak akan memberi kerakyatan kepada lelaki warganegara asing yang memaksa isteri warga tempatan memakai purdah sehingga menutup keseluruhan muka.

Terbaru Dewan Rakyat Perancis sebulat suara meluluskan pengharaman burqa di kawasan awam atas alasan untuk melindungi nilai-nilai Perancis yang bersifat sekular apatah lagi pemakaian burqa tidak sejajar dengan nilai ideal negara itu yang mementingkan kesaksamaan jantina.

Bagaimanapun perbahasan pengharaman burqa akan dibawa ke Dewan Negara Perancis September ini sebelum diluluskan.

Presiden Nicolas Sarkozy pernah menyatakan, burqa tidak dialu-alukan dalam pemerintahan sekular Perancis dan beliau menyokong perundangan mengharamkannya.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, terdapat antara lima hingga enam juta penganut Islam di Perancis dan kira-kira 1,900 wanita dilapor memakai burqa. Maka adalah tidak menghairankan kerajaan mahu bertindak demikian sebagai usaha untuk mengekang kebangkitan Islam.

Malah Sepanyol yang mempunyai sejarah dan pertalian yang kuat dengan Islam kerana pernah diperintah kerajaan Islam Andalusia dari kurun kelapan hingga ke-15 juga mahu bertindak melarang pemakaian burqa. Barcelona muncul sebagai bandar raya pertama di Sepanyol yang mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di bangunan-bangunan awam seperti pasar dan perpustakaan.

Namun di sebalik semua kisah serong terhadap wanita yang mengenakan burqa, Britain muncul sebagai negara Barat yang lebih toleran terhadap penganut Islam.

Britain yang merupakan antara negara Barat paling ramai mempunyai penduduk Islam telah memutuskan untuk tidak mengemukakan cadangan pengharaman tersebut.

"Memberitahu orang apa yang boleh dipakai dan apa yang tidak boleh dipakai ketika mereka sedang berjalan adalah satu tindakan yang tidak akan dibuat Britain.

"Kita adalah satu masyarakat bertolak-ansur dan saling menghormati antara satu sama lain," kata Menteri Imigresen, Damien Green.

Tambah beliau, tidak seperti Perancis, Britain bukanlah sebuah negara yang cenderung kepada fahaman sekular.

Namun perkara sebaliknya berlaku kepada beberapa negara Islam yang bertindak mengharamkan penggunaan burqa di beberapa kawasan tertentu.

Sebagai contoh, Syria menguatkuasakan larangan di universiti-universiti dengan alasan pakaian itu bersifat politik sedangkan sebenarnya ia bertujuan melindungi identiti sekular Syria.

Nasib malang menimpa beratus-ratus guru yang memakai burqa di sekolah-sekolah kendalian kerajaan kerana mereka telah dipindahkan ke unit pentadbiran sejak awal bulan lalu.

Pemakaian burqa juga diamalkan di negara-negara berfahaman sekular lain seperti Mesir, Jordan dan Lebanon. Jordan pula tidak menggalakkan pemakaian terse but dengan alasan ia memberi ruang kepada pencuri-pencuri untuk melindungi wajah mereka.

undang-undang

Turki turut mengharamkan pemakaian tudung di universiti di samping banyak pihak menghalang cubaan untuk membenarkan pemakaiannya di sekolah kerana beranggapan ia satu serangan kepada undang-undang sekular di negara itu.

Pemakaian burqa yang mengkehendaki wanita menutup seluruh tubuh termasuk muka sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan hukum-hakam syariah. Mungkin ia disimpulkan sebagai wajib dan tidak boleh ditolak ansur seperti puak Taliban. Mana-mana wanita melanggari hukum adat yang dijadikan hukum-hakam syariah itu dianggap melakukan dosa besar dan mesti dikenakan hukuman.

Namun apa yang berlaku di Eropah sekarang membuktikan sentimen anti-Islam semakin meningkat. Apatah lagi kebanjiran warga asing dari Asia Barat telah menjadi masalah utama di kebanyakan negara Eropah dan mereka sering dikaitkan dengan perlakuan keganasan dan jenayah.

Waima apa pun alasannya ia lebih merujuk kepada masalah yang berkaitan dengan Islam dan menjelaskan lagi sikap double standard Barat terhadap penganutnya.

Mereka sering mengkritik negara lain kerana mengamalkan diskriminasi terutama negara-negara membangun dan cuba menjadi jaguh dalam isu hak asasi manusia.

Namun pada masa yang sama mereka sendiri menyekat kebebasan dan mengamalkan diskriminasi dengan menafikan hak asasi penduduknya hanya atas alasan mereka beragama Islam.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.