Ahad, Julai 25, 2010

Zul - Tabah hadapi tohmahan


Nama beliau sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebagai manusia yang seringkali menggemparkan negara dengan “buah tangan” yang terhasil dari kreativiti dan inovasinya yang tersendiri maka adalah tidak menghairankan beliau mendapat gelaran McGyver Malaysia.

Itulah kehebatan manusia dilahirkan dengan nama Zulkifli Haron yang sehingga kini telah berjaya mencipta lebih 2,000 ciptaan.

Melihat kepada pelbagai penghasilan rekaannya adalah menakjubkan semua itu dilakukan oleh anak tempatan sekali gus membuktikan kemahiran dan reka cipta yang dihasilkan Zulkifli adalah setanding dengan ciptaan Barat.

Hasilnya, produk ciptaan beliau sering saja mendapat kepercayaan sama ada dari kerajaan, pihak swasta mahupun individu yang mendambakan bantuannya bagi memudahkan kehidupan. Segala kreativitinya dicurahkan melalui syarikatnya Zull Design Autotronic yang terletak di Sungai Choh Rawang.

Bagi Zulkifli kisah mengenai kejayaannya yang mula bertapak dalam arena penciptaan hampir 30 tahun lepas bukan berlaku dengan sekelip mata jauh sekali dizahirkan dalam dulang emas.

Bermula dengan memiliki sebuah kedai membaiki peralatan elektronik, pelbagai ranjau dan duri ditempuhi dengan tabah. Kegilaannya untuk mencipta dan terus melakukan pembaharuan dalam bidang reka cipta peralatan berteknologi ternyata bukan sahaja berjaya menaikkan namanya tetapi juga melonjakkan kemampuan orang Melayu juga mampu menjadi pencipta asal saja ada kemahuan.

Peluang untuk bertemu dan mengenali lelaki yang kini berusia 51 tahun itu di rumahnya baru-baru ini nyata membuahkan sisi sebenar dirinya.

Mungkin bagi kebanyakan kita kejayaan akan diukur dengan tinggal di rumah besar lengkap dengan tembok konkrit, berpakaian jenama mahal, berkereta mewah dan sebagainya. Namun semua sifat itu seolah-olah tidak wujud pada diri Zulkifli.

Dengan penuh sifat rendah diri, beliau menyambut ketibaan kami di rumahnya yang hanya berpagarkan kayu yang agak lusuh dan terbuka dengan hanya memakai kain pelikat.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts