Khamis, Jun 17, 2010

Sikap ithar bantu atasi kemalangan jalan raya

Oleh Mohamad A'sim Ismail
Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Kemalangan jalan raya terus menjadi 'pembunuh' utama di negara kita. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kemalangan jalan raya sentiasa berubah sama ada menurun atau meningkat dalam tempoh tertentu. Tetapi hakikatnya kemalangan jalan raya sentiasa berlaku apatah lagi pada musim perayaan yang menyaksikan peningkatan pergerakan kenderaan.

Pelbagai peraturan, undang-undang diperkenalkan pihak berkuasa. Kita juga sudah melihat pelbagai kajian dan nasihat serta laporan media massa mengenai punca kemalangan yang memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya. Walaupun begitu tragedi di jalan raya terus menjadi beban masyarakat.

Apa yang pasti, segala perundangan dan nasihat yang boleh menyedarkan masyarakat perlu diteruskan. Ini sebagai peringatan berterusan diperlukan manusia atau insan yang bersifat pelupa.

Antara nasihat yang boleh diketengahkan untuk mengurangi kadar kemalangan jalan raya agar pengguna jalan raya bersikap ithar atau altruism ketika di jalan raya.

Apakah ithar? Definisi ithar ialah manusia mendahulukan hajat orang lain melebihi dirinya sendiri. Contohnya manusia menahan lapar dan dahaga demi menghilangkan lapar dan dahaga manusia lain terlebih dulu. Ia ialah sifat mengutamakan orang lain daripada diri sendiri.
Ini adalah sifat mulia seseorang Muslim yang menginginkan keredaan Allah SWT. Bersesuaian dengan sebuah hadis sahih bermaksud ‘Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri’.

Dalam erti yang lain ithar bermaksud gaya hidup masyarakat yang menolong, menghormati, berbakti, bersimpati, berkasih sayang, bertimbang rasa, pemurah kepada golongan yang memerlukan bantuan dan berada dalam kesempitan.

Dalam sejarah Islam kita dapat melihat peristiwa ithar dalam kisah Hijrah Rasulullah SAW. Saidina Ali sanggup mengambil tempat Rasulullah SAW dan tidur di katil Rasulullah SAW, ketika baginda hendak berhijrah ke Madinah sedangkan Saidina Ali tahu rancangan kaum kuffar hendak membunuh Rasulullah SAW pada malam itu.

Sifat ithar turut ditunjukkan oleh kaum Ansar di Madinah, ketika kaum Muhajirin dari Makkah berhijrah ke Madinah. Kaum Muhajirin meninggalkan kampung halaman mereka di Makkah kerana Allah SWT. Mereka hanya membawa bersama sedikit harta dan bekalan. Mereka disambut dengan baik oleh penduduk Madinah. Bahkan, kaum Ansar di Madinah melebihkan kaum Muhajirin daripada diri mereka sendiri. Inilah sifat ithar yang mereka tunjukkan kepada kaum Muhajirin.

Lawan kepada sifat ithar ialah sifat pentingkan diri sendiri. Sifat ini membawa maksud menyayangi diri sendiri sehinggakan mendahulukan kepentingan diri sendiri semata-mata tanpa menghiraukan keperluan orang lain.

Ini adalah satu sifat buruk yang perlu dihindari manusia. Dalam konteks kemalangan jalan raya, kedua-dua sifat ithar dan pentingkan diri sendiri memberi kesan besar daripada aspek positif dan negatif dalam menyumbang kepada statistik kemalangan.

Apabila sifat ithar menjadi amalan pengguna jalan raya, maka sudah tentu wujud suasana harmoni dan bertolak ansur mendahulukan yang lain di kalangan mereka yang akhirnya boleh mengelakkan kemalangan dan seterusnya menyelamatkan nyawa.

Pengguna jalan raya masing-masing sanggup memberi laluan, bertolak ansur walaupun kadang-kadang dalam sesuatu situasi di atas jalan raya, mereka sebenarnya lebih berhak melalui sesuatu jalan atau sebagainya.

Faktor kelalaian manusia banyak menyumbang kepada nahas jalan raya. Secara kesimpulannya boleh kita katakan akibat mementingkan diri sendiri. Sifat mementingkan diri sendiri termasuklah terus memandu dalam keadaan mengantuk, memandu dalam keadaan kurang mahir dalam pemanduan kereta, tidak memeriksa keadaan kenderaan, bersikap panas baran, bersaing di jalan raya, dan tidak mahu mengalah atau bertolak ansur.

Antara punca berlaku kemalangan memotong kenderaan tetapi tidak lepas sehingga menyebabkan bertembung dengan kenderaan di laluan bertentangan. Sebagai pemandu, kita sudah tentu ada yang pernah berada dalam situasi iaitu kenderaan di laluan bertentangan di hadapan kita cuba memotong kenderaan di hadapannya tetapi berdepan masalah memotong.

Banyak situasi seumpama ini di jalan raya yang kita boleh buat contoh. Apa pun, perkara yang penting ialah sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang boleh mengelakkan kemalangan.

Dengan bersikap ithar atau memberi keutamaan dan bertimbang rasa kepada pemandu lain, kita sebenarnya menyumbang dalam menjaga nyawa sesama manusia.

Seperti yang kita ketahui memelihara nyawa manusia adalah salah satu tuntutan maqasid syariah dan menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha menunaikannya. Mudah-mudahan sikap ithar yang ditunjukkan oleh sunnah dan amalan para sahabat dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita apatah lagi ketika kita menggunakan jalan raya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts