Program Kesedaran dan Promosi Jalur Lebar nasional dilancarkan

Program Kesedaran dan Promosi Jalur Lebar Nasional yang dilancarkan hari ini diharap dapat membantu kerajaan untuk mencapai sasaran penggunaan jalur lebar sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Program berkenaan adalah kerjasama antara Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat-syarikat komunikasi tempatan yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar.

Rais berkata promosi jerayawara itu akan dijalankan oleh Skuad Jalur Lebar di seluruh negara pada masa yang terdekat ini dan kumpulan sasaran dalam promosi itu adalah penduduk di bandar dan luar bandar yang terdiri daripada golongan pelajar, suri rumah, usahawan, nelayan dan petani.

"Dalam promosi itu, kakitangan SKMM akan memberi maklumat terperinci mengenai pakej mampu milik langganan bulanan yang berharga dari RM20 hingga RM38 sebulan, kerajaan tidak boleh menyeragamkan harga kos langganan jalur lebar tetapi boleh menawarkan pakej mampu milik kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program kesedaran dan promosi Jalur Lebar Nasional anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama SKMM di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalannya Datuk Joseph Salang dan Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz serta Ketua Setiausaha kementerian Datuk Wira Kamaruddin Siaraf dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Khalid Ramli.

Sementara itu, Rais berkata seramai 1.2 juta penduduk luar bandar, pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) akan menerima komputer riba daripada program Komputer 1Malaysia mulai bulan ini.

Beliau berkata mereka yang memenuhi kriteria ditetapkan layak menerima komputer riba percuma dalam program Komputer 1Malaysia tersebut dan antara syaratnya ialah keluarga berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah dan keluarga berpendapatan rendah.

Beliau berkata tanpa bantuan kerajaan dalam pemberian komputer riba secara percuma kepada keluarga berpendapatan rendah dalam program Komputer 1Malaysia, kerajaan akan menghadapi kesukaran mencapai sasaran penggunaaan jalur lebar sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun.

Sehingga 9 Jun lepas, jumlah langganan jalur lebar di kalangan isi rumah di seluruh negara ialah 2.32 juta orang (37 peratus), katanya.

Mengenai perkhidmatan jalur lebar di sesetengah kawasan, beliau berkata projek pemasangan antenna Wi-fi di kawasan luar bandar akan diteruskan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi tempatan termasuk Kumpulan TM selepas dilancarkan di Kampung Bahagia Jaya, Sibu, Sarawak, 12 Mei lepas.

— BERNAMA Program Kesedaran dan Promosi Jalur Lebar nasional dilancarkan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.