Pilihan raya kecil Sibu – antara keyakinan, harapan

Oleh Manja Ismail

Jika dilihat suasana sekitar hari penamaan calon kelmarin dan dari segi perang poster, pilihan raya kecil Parlimen Bandar Sibu tidaklah sesengit pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini atau beberapa pilihan kecil sebelumnya seperti Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bagan Pinang dan Manik Urai. Bagaimanapun, parti yang bertanding melihat setiap pilihan raya adalah sengit kerana matlamat utama mereka ialah kemenangan. Oleh itu, sebaik selesai proses penamaan calon kelmarin, jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) dan DAP terus melancarkan kempen masing-masing selama lapan hari sehingga tengah malam Sabtu ini.

Walau pun pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, DAP dan Bebas – persaingan sebenar ialah antara calon BN, Robert Lau Hui Yew daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan calon DAP, Wong Ho Leng, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek. Kehadiran calon Bebas, Narawi Haron, dijangka tidak mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Pengangkutan, Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan Wong yang juga Pengerusi DAP Sarawak dan Lim Chun Chuang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Barangkali kerana 66 peratus daripada 54,695 pengundi Parlimen Sibu, berketurunan Cina, ramai beranggapan DAP akan memberikan saingan sengit kepada BN, yang secara tradisinya adalah kubu SUPP kecuali tewas sekali kepada DAP pada 1982. Mungkin kerana sebab sama, BN dan DAP dalam kenyataan selepas penamaan calon Sabtu lalu, dilihat agak berhati-hati dalam meramalkan peluang masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, misalnya, walaupun yakin BN mampu mencatat kejayaan pada 16 Mei ini, turut menegaskan perlunya semua untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN. “Keyakinan kami adalah berdasarkan rekod BN menguasai kerusi ini selama lima penggal. Ini adalah kubu BN. Bagaimanapun, kami tidak pernah menganggap mana-mana pilihan raya kecil sebagai mudah untuk dimenangi. Sibu juga tidak terkecuali dengan lebih 50,000 pengundi yang tinggal berselerak di kawasan yang luas ini,” katanya yang mengakui tempoh seminggu berkempen sekarang amat kritikal dan penting.

Malah, DAP sendiri yang kebiasaannya mempamerkan keangkuhan, menukar strategi dalam menghadapi pilihan raya kecil ini. Sama ada mahu menagih simpati atau memang menjangka sukar, pemimpin kanannya, Lim Kit Siang, dilaporkan berkata, DAP berharap keajaiban politik akan berlaku bagi membolehkan mereka memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu. Menurutnya, parti itu menghadapi laluan sukar dalam berdepan BN dan meramalkan peluang DAP untuk menang hanya 40 peratus.

“Pertarungan untuk abad ini sudah bermula dan kami mahu penduduk Sibu bersuara,” katanya.
Apapun strategi DAP, satu perkara yang jelas ialah harapan pembangkang supaya sokongan pengundi Cina kepada BN merosot seperti di Hulu Selangor, sukar berlaku di Sibu. Perspektif pengundi Cina di Sibu, yang majoritinya berketurunan Foochow, berbeza dengan Cina di Semenanjung. Polarisasi kaum juga tidak menjadi isu di Sarawak dan kerana itu, DAP sudah kehilangan senjata ampuhnya.

Keputusan di Sibu bergantung kepada sejauh mana kedua-dua pihak dapat meyakinkan pengundi mengenai kemampuan parti yang bertanding memenuhi harapan pengundi untuk menyelesaikan masalah tempatan. BN menyedari perkara ini apabila kebanyakan kempen mereka bertumpu kepada usaha menyelesaikan masalah setempat seperti banjir yang sering melanda Sibu kerana kedudukannya di muara Sungai Rajang. Oleh itu, usaha mengurangkan masalah banjir di Sibu dilakukan secara berterusan dengan peruntukan khas untuk itu sentiasa disediakan dalam belanjawan negeri. Begitupun, masalah banjir bukan perkara baru dan tidak mungkin dapat diselesaikan sekelip mata kecuali memindahkan keseluruhan penduduk bandar itu ke tempat lain, yang dijangka menelan kos lebih RM1 bilion.

Kelebihan BN dalam pilihan raya kecil ini ialah mereka mengetahui isu dan masalah penduduk, manakala usaha menyelesaikannya bukan setakat menjelang pilihan raya. Pada masa sama, BN tidak pernah menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin tertunai, apa lagi dalam sekelip mata. Pembangkang menyedari perkara ini dan kerana itu, pemimpin de factor Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam beberapa ceramah malam kelmarin dan semalam, lebih banyak menggunakan retorik dan isu kegemarannya seperti kes mahkamah beliau dan rasuah. Hanya penceramah tempatan pembangkang menggunakan isu tempatan seperti kekurangan kemudahan asas dan hak tanah adat Bumiputera yang sentiasa mereka jadikan isu setiap pilihan raya di Sarawak.

Bagaimana pun, berdasarkan pilihan raya di Sarawak sebelum ini, retorik dan isu nasional gagal mempengaruhi pengundi. Politik Sarawak agak unik, begitu juga dengan harapan rakyat negeri itu. Keluasan serta latar belakang penduduk yang pelbagai sama ada dari segi keturunan, budaya, pendidikan dan ekonomi mewujudkan harapan rakyat yang berbeza. Justeru, hanya parti diyakini dapat memenuhi harapan itu, mempunyai peluang cerah untuk menang. Ini terbukti dalam beberapa pilihan raya di Sarawak sebelum ini dan mungkin juga di Sibu serta pilihan raya negeri akan datang.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.