Memaparkan catatan dengan label PRK Sibu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Sibu. Papar semua catatan

Isnin, Mei 17, 2010

Pembangkang Akan Lebih Berhati-Hati Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak - Anwar


Pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangkang akan lebih berhati-hati bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak walaupun telah memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Sibu semalam.

Anwar, yang menyifatkan kemenangan di Sibu sebagai satu perkara yang 'manis' berkata pembangkang termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersikap optimistik tetapi masih berhati-hati untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam pilihan raya negeri berikutan ramai daripada wakil rakyat PKR meninggalkan parti.

"Kami optimistik sekarang tapi kami perlu realistik. Saya telah bercakap dengan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng dan (veteran parti ) Lim Kit Siang mengenai perkembangan yang berlaku, tapi ia masih terlalu awal untuk menyatakannya (peluang dalam pilihan raya negeri Sarawak)," katanya kepada pemberita selepas menerima delegasi 11 ahli perniagaan dari Indonesia kepada Pusat Pelaburan Negeri Selangor di i-City dekat sini.

Semalam, calon DAP Wong Ho Leng memenangi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Sibu dengan majoriti 398 undi. Wong memperoleh 18,845 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN) Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas Narawi Haron yang menerima 232 undi.

Penasihat PKR itu juga berhati-hati semasa menjawab soalan sama ada beliau menjangka kemenangan dalam pilihan raya kecil Sibu itu.

"Saya fikir BN, PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) SUPP tidak menjangka (keputusan pilihan raya)," katanya.

Katanya pembangkang sentiasa berdepan dengan tugas berat untuk memenangi mana-mana pilihan raya kecil sejak 1955.

Sementara itu, sambil mengakui bahawa tindakan Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong untuk keluar dari PKR baru-baru ini memberi kesan terhadap parti itu, Anwar berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan itu kerana ia telah dijangka sejak tiga bulan lalu.

Mengenai laporan bahawa beliau akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada 8 Jun ini berhubung dakwaannya konsep 1Malaysia diilhamkan Apco Worldwide, perunding Amerika Syarikat yang sama di belakang kempen One Israel, Anwar berkata beliau berjumpa dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menjadualkan semula tarikh itu kerana beliau sepatutnya berbahas mengenai Rancangan Malaysia Ke-10 pada tarikh itu.

Mengenai pertemuannya dengan delegasi Indonesia itu, Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berkata delegasi itu berminat untuk menjalin usahasama dengan kerajaan negeri Selangor bagi membuka kedai pakaian dan melabur dalam industri hijau, makanan dan pengangkutan.

- BERNAMA

DAP rampas kerusi Parlimen Sibu

DAP merampas kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Wong Ho Leng, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew, dan calon Bebas, Narawi Haron, pada pilihan raya kecil semalam.

Ho Leng menang dengan majoriti 398 undi. Beliau memperoleh 18,845 undi manakala Hui Yew mendapat 18,447 undi. Narawi pula hanya meraih 232 undi dan hilang wang deposit. Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng, pada jam 10.57 malam tadi di Dewan Suarah di sini.

Sejumlah 37,919 atau 70 peratus daripada 54,695 pemilih berdaftar mengundi di 45 pusat pengundian.

Bilangan itu lebih tinggi berbanding 36,379 atau 67.77 peratus daripada 53,679 pemilih berdaftar yang keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Hoi Chew mengekalkan kerusi Sibu dengan majoriti 3,235 undi, mengalahkan Ho Leng dan Lim Chin Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), juga dalam pertandingan tiga penjuru.

- BERITA HARIAN

Isnin, Mei 10, 2010

Pilihan raya kecil Sibu – antara keyakinan, harapan

Oleh Manja Ismail

Jika dilihat suasana sekitar hari penamaan calon kelmarin dan dari segi perang poster, pilihan raya kecil Parlimen Bandar Sibu tidaklah sesengit pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini atau beberapa pilihan kecil sebelumnya seperti Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bagan Pinang dan Manik Urai. Bagaimanapun, parti yang bertanding melihat setiap pilihan raya adalah sengit kerana matlamat utama mereka ialah kemenangan. Oleh itu, sebaik selesai proses penamaan calon kelmarin, jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) dan DAP terus melancarkan kempen masing-masing selama lapan hari sehingga tengah malam Sabtu ini.

Walau pun pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, DAP dan Bebas – persaingan sebenar ialah antara calon BN, Robert Lau Hui Yew daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan calon DAP, Wong Ho Leng, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek. Kehadiran calon Bebas, Narawi Haron, dijangka tidak mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Pengangkutan, Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan Wong yang juga Pengerusi DAP Sarawak dan Lim Chun Chuang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Barangkali kerana 66 peratus daripada 54,695 pengundi Parlimen Sibu, berketurunan Cina, ramai beranggapan DAP akan memberikan saingan sengit kepada BN, yang secara tradisinya adalah kubu SUPP kecuali tewas sekali kepada DAP pada 1982. Mungkin kerana sebab sama, BN dan DAP dalam kenyataan selepas penamaan calon Sabtu lalu, dilihat agak berhati-hati dalam meramalkan peluang masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, misalnya, walaupun yakin BN mampu mencatat kejayaan pada 16 Mei ini, turut menegaskan perlunya semua untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN. “Keyakinan kami adalah berdasarkan rekod BN menguasai kerusi ini selama lima penggal. Ini adalah kubu BN. Bagaimanapun, kami tidak pernah menganggap mana-mana pilihan raya kecil sebagai mudah untuk dimenangi. Sibu juga tidak terkecuali dengan lebih 50,000 pengundi yang tinggal berselerak di kawasan yang luas ini,” katanya yang mengakui tempoh seminggu berkempen sekarang amat kritikal dan penting.

Malah, DAP sendiri yang kebiasaannya mempamerkan keangkuhan, menukar strategi dalam menghadapi pilihan raya kecil ini. Sama ada mahu menagih simpati atau memang menjangka sukar, pemimpin kanannya, Lim Kit Siang, dilaporkan berkata, DAP berharap keajaiban politik akan berlaku bagi membolehkan mereka memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu. Menurutnya, parti itu menghadapi laluan sukar dalam berdepan BN dan meramalkan peluang DAP untuk menang hanya 40 peratus.

“Pertarungan untuk abad ini sudah bermula dan kami mahu penduduk Sibu bersuara,” katanya.
Apapun strategi DAP, satu perkara yang jelas ialah harapan pembangkang supaya sokongan pengundi Cina kepada BN merosot seperti di Hulu Selangor, sukar berlaku di Sibu. Perspektif pengundi Cina di Sibu, yang majoritinya berketurunan Foochow, berbeza dengan Cina di Semenanjung. Polarisasi kaum juga tidak menjadi isu di Sarawak dan kerana itu, DAP sudah kehilangan senjata ampuhnya.

Keputusan di Sibu bergantung kepada sejauh mana kedua-dua pihak dapat meyakinkan pengundi mengenai kemampuan parti yang bertanding memenuhi harapan pengundi untuk menyelesaikan masalah tempatan. BN menyedari perkara ini apabila kebanyakan kempen mereka bertumpu kepada usaha menyelesaikan masalah setempat seperti banjir yang sering melanda Sibu kerana kedudukannya di muara Sungai Rajang. Oleh itu, usaha mengurangkan masalah banjir di Sibu dilakukan secara berterusan dengan peruntukan khas untuk itu sentiasa disediakan dalam belanjawan negeri. Begitupun, masalah banjir bukan perkara baru dan tidak mungkin dapat diselesaikan sekelip mata kecuali memindahkan keseluruhan penduduk bandar itu ke tempat lain, yang dijangka menelan kos lebih RM1 bilion.

Kelebihan BN dalam pilihan raya kecil ini ialah mereka mengetahui isu dan masalah penduduk, manakala usaha menyelesaikannya bukan setakat menjelang pilihan raya. Pada masa sama, BN tidak pernah menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin tertunai, apa lagi dalam sekelip mata. Pembangkang menyedari perkara ini dan kerana itu, pemimpin de factor Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam beberapa ceramah malam kelmarin dan semalam, lebih banyak menggunakan retorik dan isu kegemarannya seperti kes mahkamah beliau dan rasuah. Hanya penceramah tempatan pembangkang menggunakan isu tempatan seperti kekurangan kemudahan asas dan hak tanah adat Bumiputera yang sentiasa mereka jadikan isu setiap pilihan raya di Sarawak.

Bagaimana pun, berdasarkan pilihan raya di Sarawak sebelum ini, retorik dan isu nasional gagal mempengaruhi pengundi. Politik Sarawak agak unik, begitu juga dengan harapan rakyat negeri itu. Keluasan serta latar belakang penduduk yang pelbagai sama ada dari segi keturunan, budaya, pendidikan dan ekonomi mewujudkan harapan rakyat yang berbeza. Justeru, hanya parti diyakini dapat memenuhi harapan itu, mempunyai peluang cerah untuk menang. Ini terbukti dalam beberapa pilihan raya di Sarawak sebelum ini dan mungkin juga di Sibu serta pilihan raya negeri akan datang.

- BERITA HARIAN

Ahad, Mei 09, 2010

Pertandingan tiga penjuru di Sibu


Pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Ahad depan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Richard Wong Ho Leng; dan calon Bebas, Narawi Haron.

Kelayakan ketiga-tiga calon itu bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sibu, Wong See Meng, di pusat penamaan calon di Dewan Suarah di Sibu pada jam 11.25 pagi tadi.

Hamka Kassim, 40, yang sebelum ini dilaporkan akan bertanding sebagai calon Bebas, tidak hadir bagi mengemukakan borang pencalonan.

Pagi tadi, ribuan penyokong bagi semua calon, termasuk kira-kira 5,000 dari BN, berhimpun di bandar Sibu sejak awal pagi ini, menyebabkan kesesakan trafik di jalan-jalan yang menuju ke pusat penamaan calon.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kem Barisan Nasional (BN) bergerak dari Estate Delta, kira-kira 2 kilometer dari pusat penamaan calon itu manakala pihak DAP bergerak dari Taman Rajang, di Sibu.

Muhyiddin bersama rombongan penyokong BN tiba di dewan tersebut pada jam 8.43 pagi.

Antara pemimpin-pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri Kabinet

Sementara itu, calon DAP, Wong Ho Leng tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.30 pagi bersama kira-kira 700 orang penyokong dengan diketuai diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Hadir bersama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar selangor, Tan Sri Khalid ibrahim.

Suasana di kawasan penamaan calon agak tenang tanpa sebarang insiden membabitkan penyokong BN dan DAP.

BN menamakan Robert Lau Hui Yew, 45, sebagai calonnya manakala DAP memilih ahli dewan undangan negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, sebagai calonnya.

Selain BN dan DAP, sebelum ini ada dua lagi calon, Narawi Harun dan Hamka Kassim menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya calon Bebas, Narawi Harun yang telah tiba.

Cuaca di pusat pencalonan dilaporkan cerah dengan penyokong calon masing-masing berhimpun seawal pukul 7 pagi di tempat yang ditetapkan, dan anggota polis sudah sulai sibuk mengawal lalulintas.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi.

Sementara itu tinjauan di Dewan Suarah mendapati polis sudah mula berkawal di persekitaran Dewan itu seawal jam 5 pagi ini, dengan akses beberapa jalan menghala kearahnya sentiasa dipantau.

- MALAYSIAKINI

Jumaat, April 09, 2010

Ahli Parlimen Sibu meninggal dunia


Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau yang juga anggota parlimen bandar Sibu meninggal dunia di Hospital Selayang, hari ini akibat barah.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Kematiannya akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil - yang kesebelas selepas pilihan raya umum 2008.

Ia juga merupakan pilihan raya kecil kedua di Sarawak selepas DUN Batang Ai.

Pilihan raya kecil tersebut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh berlaku kekosongan.


Pada pilihan raya umum 2008, Lau mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

Sementara itu, Bernama memetik setiausaha sulitnya, Peter Hu sebagai berkata, Lau meninggal dunia pada jam 11.10 pagi dan persiapan sedang diadakan untuk membawa jenazah mendiang ke kampung halamannya di Sibu.

- MALAYSIAKINI

Recent Posts