Rabu, Disember 02, 2009

'Jambatan cuma mampu tampung berat 8 murid'

Jawatankuasa Siasatan Tragedi Jambatan Gantung Runtuh di Kuala Dipang, Perak mendedahkan punca jambatan gantung itu runtuh, Oktober lalu disebabkan blok konkrit tambahan gagal menampung kuasa angkatan dari kabel gantung-sokongan.

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata jawatankuasa siasatan mendapati pembinaan jambatan gantung itu juga tidak berasaskan kepada kod reka bentuk kejuruteraan dan spesifikasi kerja yang baik.

"Berdasarkan pengiraan Jabatan Kerja Raya (JKR), beban hidup di atas jambatan yang mampu ditanggung blok tambahan sedia ada hanya 0.08 kilonewton bagi setiap meter (kN/m).

"Bilangan maksimum murid yang boleh ditanggung jambatan gantung itu ialah lapan orang berdasarkan berat seorang murid 35 kilogram (kg)," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam 26 Oktober lalu, tiga murid sekolah yang mengikuti perkhemahan kem 1Malaysia lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kampar apabila jambatan gantung yang digunakan mereka runtuh secara tiba-tiba.

Masing-masing dua murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan iaitu Dina Devi Nathan, 11 dan M Devatharshini, 11, serta murid SJKT Gopeng, V Divyashree, 12.

Alimuddin yang juga Ketua Pengarah Pelajaran berkata, siasatan turut mendapati jambatan gantung itu dibina hasil sumbangan swasta menerusi permohonan dikemukakan seorang pegawai Jabatan Pelajaran Negeri.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kontraktor yang membina jambatan gantung itu tidak membuat permohonan bagi mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tertentu seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kementerian Pelajaran akan mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kerjaraya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Peguam Negara bagi menentukan tindakan wajar diambil terhadap pihak berkenaan," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.