Rabu, Disember 02, 2009

Pelajar IPTS percaya tilik nasib jadi hamba seks bomoh

KUALA LUMPUR: Kerana ingin mengubah nasibnya, seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini menjadi hamba seks seorang bomoh sejak April tahun ini.

Bomoh terbabit turut mengambil gambar mangsa ketika dalam keadaan bogel dengan mendakwa sebagai ritualnya untuk membantu pelajar berusia 21 tahun itu.

Bagaimanapun, pelajar jurusan nutrisi itu membuat aduan di Jabatan Aduan dan Khidmat Awam MCA selepas menyedari dirinya ditipu bomoh terbabit.

Ketua Jabatan Aduan dan Khidmat Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata mangsa yang dikenali sebagai Loh mengenali bomoh berusia 50 tahun itu ketika bercuti bersama rakan dan keluarganya dua tahun lalu.

"Bomoh itu menilik tapak tangan mangsa dan mendakwa mangsa akan mengalami nasib malang berpanjangan termasuk meninggal jika berkahwin atau menjadi isteri kedua jika tidak diubati.

"Mangsa yang naif dan tidak tahu apa-apa kemudian mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling daripada bomoh itu sehingga mula bertemu secara serius April lalu," katanya pada sidang media yang turut dihadiri mangsa di sini, semalam.

Beliau berkata, bomoh yang telah berkahwin itu mendakwa mangsa yang turut menghidap penyakit diabetes, boleh diubati jika menjadi rakan perniagaannya dan meluangkan masa bersamanya.

Chong berkata, kerana terpedaya dengan nasihat bomoh yang dikenali ramai itu, mangsa bersetuju untuk menjalinkan hubungan seks sejak April dengan suspek dalam usaha mengubah nasibnya.

"Setelah sedar yang dirinya ditipu, mangsa cuba mengambil gambar suspek namun dipukul dan ditampar sama ada di rumah suspek atau hotel di bandar raya ini," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengambil jurusan nutrisi itu mendakwa hasil pemeriksaan doktor, dia turut didapati dijangkiti 'penyakit berkaitan seks' sepanjang menjalin hubungan seks sebanyak 12 kali dengan suspek.

Suspek mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada keluarganya atau berdepan dengan tindakan penyebaran gambar bogelnya di internet, katanya.

Chong berkata, bimbang akan perkara yang lebih buruk berlaku, mangsa mendapatkan khidmatnya bagi tujuan keselamatan dan pihaknya sedang meneliti bukti dan maklumat bagi membawa suspek ke muka pengadilan.

Katanya, tujuh kes membabitkan sindiket bomoh penipu direkodkan sepanjang tahun ini.

- BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts