Ahad, Oktober 04, 2009

Pasukan bantuan Malaysia berlepas ke Padang, Indonesia

Malaysia menghantar pasukan perubatannya yang pertama bagi membantu mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia hari ini melibatkan 56 anggota daripada lima agensi.

Pasukan tersebut terdiri daripada dua pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN), 25 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART), 17 anggota Kor Perubatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lapan kakitangan Kementerian Kesihatan dan empat anggota Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Mereka berlepas kira-kira pukul 9 pagi ini di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini dengan tiga pesawat C-130 milik TUDM yang turut membawa dua ambulans, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga tan peralatan perubatan.

Sementara itu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin pada sidang akhbarnya memaklumkan, pasukan bantuan tersebut akan ditempatkan di sekitar kawasan bencana di Padang selama 10 hari.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan satu lagi pasukan perubatan surgeri yang terdiri daripada beberapa pakar bedah dihantar ke Padang dalam masa terdekat.

Katanya, ini memandangkan terdapat keperluan mendesak di kawasan bencana berikutan jumlah mangsa yang memerlukan pembedahan segera adalah terlalu ramai.

''Perdana Menteri menyuarakan kepada kita yang pasukan ini amat diperlukan untuk melakukan pembedahan segera di kawasan bencana kerana ramai yang dilaporkan mengalami kecederaan serius.

''Justeru, pasukan kedua itu dijangka dihantar hari ini atau esok bagi membantu pembedahan mangsa yang cedera,'' katanya.

Setakat hari ini, lebih 715 mangsa disahkan terkorban dan ramai lagi dikhuatiri turut terbunuh dalam kejadian gempa bumi yang berukuran 7.9 skala Richter itu.

Menurut Azizan, pasukan bantuan yang berlepas hari ini merupakan pasukan perubatan yang mampu bergerak sendiri kerana mempunyai kelengkapan sepenuhnya dan juga kenderaan.

Jelasnya, tempoh masa kumpulan itu berada di kawasan bencana mungkin dilanjutkan jika keadaan terus memerlukan dan kemungkinan juga bantuan tambahan akan dihantar bergantung kepada penilaian MKN.

''Malaysia juga turut menghantar bantuan lain terutama makanan, pakaian dan kelengkapan lain yang dilakukan sejak semalam dengan menggunakan empat pesawat.

''Pesawat TUDM diletakkan dalam keadaan bersedia untuk melakukan penerbangan ke Padang jika ada arahan baru dari kerajaan untuk menghantar keperluan lain,'' jelasnya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.