Ahad, Oktober 04, 2009

Melabur Wang Anda

PENGENALAN

Pelaburan adalah sebahagian daripada perancangan kewangan keseluruhan anda. Sekiranya anda mempunyai sedikit simpanan, anda mungkin hendak melabur untuk memaksimumkan pulangan. Buku kecil ini bertujuan untuk memberi anda beberapa panduan tentang perkara yang perlu diambil kira sebelum anda melabur serta perkara yang boleh dilakukan dan yang perlu dielakkan apabila melabur.

PERBEZAAN ANTARA PELABURAN DENGAN SIMPANAN

Pelaburan berbeza daripada simpanan. Dalam simpanan, pada umumnya anda akan mendapat semula simpanan anda, bercampur faedah.Walau bagaimanapun, dalam pelaburan, anda mungkin atau mungkin tidak mendapat semula jumlah yang dilaburkan atau anda mungkin mendapat lebih daripada jumlah awal pelaburan. Potensi untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi ini adalah sebagai ganjaran bagi risiko yang lebih tinggi yang anda telah ambil.

MERANCANG PELABURAN ANDA

Pelaburan yang bijak tidak bergantung pada nasib, tetapi adalah hasil daripada perancangan yang teliti. Apabila anda melabur, anda tidak boleh bergantung pada khabar angin.
Anda perlu meluangkan sedikit masa untuk memahami keadaan pasaran, sama ada melalui penyelidikan atau mendapat khidmat pakar. Berikut adalah beberapa isu yang anda perlu tahu:
Langkah 1: Tahu mengapa anda hendak melabur
Sebelum anda melabur, anda perlu tahu tujuan pelaburan anda, iaitu matlamat dan objektif kewangan anda. Matlamat kewangan anda mungkin untuk:

• Membeli kereta
• Membeli rumah
• Menghantar anak-anak anda untuk pengajian tinggi
• Pergi bercuti
• Merancang persaraan yang selesa untuk masa depan
Objektif pelaburan anda adalah sama ada untuk:
• Mengekal atau memelihara kuasa beli bagi amaun pokok yang dilaburkan
• Mendapat pendapatan daripada pelaburan anda
• Meningkatkan nilai aset bersih anda
• Gabungan mana-mana daripada yang di atas

Anda boleh mencapai matlamat anda dengan melabur simpanan anda berdasarkan jangka masa apabila matlamat kewangan anda boleh dicapai.
Selain itu, adalah penting bagi rancangan pelaburan anda bersesuaian dengan objektif perancangan.

Langkah 2: Tahu isu utama yang perlu diambil kira apabila melabur
Memandangkan pelaburan ialah komitmenjangka panjang, anda perlu mengambil kira kemampuan dan keupayaan anda untuk melabur sebelum anda membuat pelaburan. Antara isu utama yang perlu dipertimbangkan adalah seperti yang berikut:

• Berapa banyakkah wang yang anda punyai untuk komitmen jangka sederhana dan panjang?
• Adakah anda benar-benar memahami produk yang anda hendak laburkan?
• Adakah pelaburan yang dirancang bersesuaian dengan portfolio keseluruhananda?
• Sudahkah anda membandingkan pulangan bagi pelaburan lain yang sama?
• Adakah anda memahami risiko yang terbabit dan adakah anda tahu tahap kerugian yang boleh anda tanggung? (iaitu berapa banyakkah perubahan harga/nilai pelaburan yang anda boleh tanggung)
• Apakah jangkaan anda terhadap pulangan daripada pelaburan anda? (iaitu berapa banyakkah pulangan yang akan memuaskan anda)
• Berapa lamakah tempoh pelaburan anda? (sebagai contoh, 5 tahun, 10 tahun, dsb.)
• Adakah anda mempunyai fleksibiliti untuk mencairkan pelaburan yang berkenaan ketika anda terdesak?
• Bagaimanakah anda boleh memantau prestasi pelaburan anda secara berterusan berbanding dengan keperluan anda yangberubah-ubah?

Langkah 3: Tahu strategi dan konsep melabur Pempelbagaian

Strategi yang sudah terbukti berjaya dalam pelaburan ialah pempelbagaian - iaitu mempelbagaikan pelaburan anda. Pempelbagaian merupakan cara yang berkesan untuk meminimumkan risiko dan melindungi anda daripada volatiliti dalam sesuatu kelas aset atau industri.
Jenis pelaburan yang berbeza terdedah kepada tahap risiko yang berbeza dan dengan pempelbagaian, kerugian dalam sesetengah pelaburan boleh diimbangi oleh perolehan pelaburan lain.

Nilai masa wang

Masa ialah aset yang terbesar bagi sesiapa yang hendak melabur. Lebih awal anda melabur, lebih besar pulangan atas nilai wang anda. Ini disebabkan oleh prinsip faedah kompaun di mana anda memperolehfaedah atas pelaburan asal anda dan atas faedah yang telah anda peroleh daripada pelaburan anda.Walaupun dengan perbezaan satu mata peratusan, kesan dalam jangka panjang boleh menjadi ketara.

Impak Inflasi dan Cukai

Perancangan yang baik serta memastikan kadar pulangan purata yang minimum bagi pelaburan dalam jangka panjang juga penting kerana wang yang anda punyai pada hari ini berkemungkinan tidak lagi mempunyai nilai yang akan membolehkan anda membeli jumlah barangan yang sama pada masa hadapan. Ini disebabkan inflasi menyusutkan nilai wang. Walaupun anda memperoleh pulangan daripada pelaburan, nilai sebenar pelaburan anda mungkin berkurangan disebabkan oleh kesan inflasi.
Matlamat pelaburan adalah untuk menambah wang anda melebihi kadar inflasi. Cukai juga akan mengurangkan pulangan pelaburan melainkan pelaburan anda mendapat pengecualian cukai. Oleh itu, anda perlu melabur dalam aset yang membolehkan anda mendapat pulangan terbaik sesudah mengambil kira kesan pencukaian dan inflasi dalam jangka panjang.

Memaksimumkan Pulangan

Sebagai pelabur, anda akan terus mencuba untuk mendapat pulangan yang tertinggi bagi pelaburan anda. Masa yang diperlukan untuk menggandakan wang anda boleh dikira dengan menggunakan Peraturan 72. Bahagikan 72 dengan peratusan faedah yang anda peroleh daripada simpanan.
Sekiranya pulangan yang dikira tidak memuaskan, anda boleh menimbang pilihan lain yang memberi kadar pulangan yang lebih tinggi.

~ Muhammad Jazli

1 ulasan:

  1. melaburlah wang anda menjadi emas
    pulangan emas 25-30 %

    untung....emas fizikal

    admin
    www.pokli.com
    jutawan emas & hartanah

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.