Ahad, September 06, 2009

Pulau Indonesia untuk dijual

Pulau Indonesia untuk dijual. Begitulah bunyi iklan dipasang pada laman web, privateislansonline baru-baru ini. Tiga buah pulau yang dimaksudkan itu adalah Pulau Makaroni, Pulau Siloinak dan Pulau Kandui yang semuanya terletak di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat.

Penjualan tiga pulau itu diiklankan. Dalam iklan itu, pulau Makaroni seluas 14 hektar dijual dengan harga AS$4 juta, Pulau Silionak seluas 24 hektar dijual AS$1.6 juta dan Pulau Kandui seluas 26 hektar berharga AS$8 juta.

Iklan juga menampilkan peta Indonesia dan disertai foto keindahan pulau tersebut. Pulau Makaroni misalnya, selain memiliki air laut yang biru, beberapa banglo juga sudah dibina di sepanjang pinggir pantai pulau tersebut.

Pulau Silionak dan Pulau Kandui juga tidak kalah indahnya. Meski gambar kedua-dua pulau tersebut diambil dari kejauhan, tapi nampak keindahan yang terpancar dari dua pulau yang sama-sama terletak di Kepulauan Mentawai itu.

Menjual

Selain menjual pulau-pulau milik Indonesia, laman web privateislandsonline.com juga menjual beberapa pulau milik negara lain. Misalkan Pulau Rusukan Besar milik Malaysia yang dijual seharga AS$5 juta, Pulau Rangyai di Thailand yang dijual seharga AS$ 160 juta dan dua pulau lagi yang terletak di negara Bahama dan Tahiti.

Selain pulau untuk dijual laman web berkenaan juga mengiklankan pulau-pulau dari seluruh dunia yang mahu disewa.

Penjualan pulau melalui Internet sendiri bukan perkara baru. Di Indonesia pada 2007 lalu juga sempat heboh dengan dijualnya dua buah pulau iaitu Pulau Panjang dan Meriam Besar yang dijual oleh Karangasem Property melalui www.karangasemproperty.com.

Bagaimanapun setelah kekecohan itu pemilik syarikat hartanah dari Belanda itu menjelaskan bahawa pulau berkenaan bukan dijual tetapi disewakan.

Gabenor Sumatera Barat, Gamawan Fauzi berkata, Pulau Siloinak kini dimiliki oleh dan dijual oleh warga negara Perancis.

Walaupun terdapat undang-undang di Indonesia yang melarang warganegara asing memiliki tanah, tetapi penduduk tempatan sering digunakan oleh warganegara asing untuk membeli pulau-pulau tersebut dengan menggunakan nama mereka.

Gawaman bagaimanapun berkata, setakat ini beliau belum meluluskan sebarang pulau untuk dijual kepada warga asing. Beliau yakin pulau-pulau berkenaan mahu dibina resort dan perkara itu memang dibenarkan.

Mengikut data terdapat 185 buah pulau di sekitar perairan Sumatera Barat baik yang berpenghuni atau tidak.

Sebanyak 185 pulau tersebut 98 terdapat di Mentawai, 47 di Pessel, 18 di Kota Padang, 12 di Pasbar, empat di Kota Pariaman, tiga milik provinsi, dua di Agam dan sebuah di Padangpariaman.

Ironinya ketika negara itu sibuk mengenai isu perbatasan di lautan di Ambalat dengan Malaysia, perlahan-lahan warganegara asing telah lama menduduki dan memilik pulau-pulau milik negara berkenaan yang merupakan sebahagian daripada wilayah kedaulatan.

Ketika Malaysia dituduh menceroboh perairannya, tanpa mereka sedari bukan sahaja perairan, malah pulau milik negara berkenaan telah menjadi bahan jual beli yang lumayan di peringkat antarabangsa.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts