Rabu, Ogos 05, 2009

Yasmin, Afdlin bersaing sengit di FFM22

Daripada senarai pendek 13 kategori Anugerah Perdana dan 11 kategori Anugerah Cipta Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22), nama pengarah filem Allahyarham Yasmin Ahmad dan Afdlin Shauki merupakan calon yang paling mendapat perhatian ramai.

Yasmin dan Afdlin mendapat perhatian apabila filem mereka berjudul Talentime dan Papadom disenarai pendek bagi merebut anugerah kategori seperti Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Jika diperhatikan daripada festival sebelum ini, kemenangan salah satu daripada tiga kategori itu memainkan peranan penting sebelum sesebuah filem yang diwakili itu diangkat sebagai Filem Terbaik dalam FFM.

Difahamkan, baik Afdlin dan Yasmin, kedua-duanya mempunyai daya kreativiti tersendiri dalam jalan cerita yang mereka ketengahkan termasuklah elemen cinta, kekeluargaan dan aspirasi budaya masyarakat Malaysia menerusi dua filem itu.

Cuma bezanya, Talentime sudah ditayangkan di pawagam dan ramai penonton termasuklah panel juri yang sudah menontonnya, manakala Papadom pula belum masuk panggung.

Secara kasarnya, Yasmin mendapat lebih tumpuan apabila Talentime menerima 11 pencalonan. Pada masa sama, Afdlin dan Papadom juga tidak terkecuali memberi saingan sengit.

Papadom terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. menerima sembilan pencalonan dan disenarai pendek termasuklah dalam Anugerah Perdana dan Anugerah Cipta pada malam kemuncak FFM22 yang akan diadakan di Dewan Cancelor, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, pada 8 Ogos ini pukul 8.30 malam.

Antara pencalonan yang diterima oleh Papadom ialah menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik (Liyana Jasmay), Pelakon Lelaki Terbaik (Afdlin Shauki), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Que Haidar) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Norkhiriah).

Selain Papadom, FFM22 juga boleh dikatakan suatu bonus buat Afdlin kerana satu lagi filem lakonannya berjudul Setem turut disenarai pendek dalam festival kali ini.

Malah, Setem merupakan antara filem yang muncul sebagai finalis terbanyak dalam kategori-kategori yang dipertandingkan iaitu menerima lapan pencalonan dalam FFM22.

Setem misalnya, muncul finalis bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Rashidi Ishak), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Indi Nadarajah) dan Penataan Seni Terbaik.

Pencalonan Papadom dan Setem secara tidak langsung menyaksikan penguasaan dua filem itu yang mempunyai peluang membolot lebih anugerah pada FFM22.

Dalam pada itu, ramai juga yang mungkin kurang menyedari bahawa filem Estet arahan Mamat Khalid merupakan filem ke-27 atau terakhir yang disenaraikan menghantar pencalonan dalam FFM22.

Estet bukan sahaja dikatakan karya terbaik pengarah itu bahkan ia juga dipuji ramai kerana sarat dengan aspirasi masyarakat Malaysia berbilang bangsa dalam jalan ceritanya.

Namun, sayang sekali kerana daripada senarai pendek lima finalis yang terpilih bertanding dalam kategori-kategori Anugerah Perdana dan Anugerah Cipta, tiada satupun kategori yang menyenaraikan Estet sebagai salah satu daripada calon-calonnya!

Filem arahan Mamat yang berkisar tentang kehidupan masyarakat India di kawasan estet getah itu menampilkan banyak unsur 1Malaysia yang sedikit sebanyak terdapat dalam kriteria pemilihan untuk pemenang Filem Terbaik.

Pada FFM21 tahun lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Mamat mengejutkan banyak pihak apabila filem arahannya berjudul Kala Malam Bulan Mengambang diangkat sebagai Filem Terbaik.

Mungkinkah Mamat mahupun Estet masih mempunyai harapan cerah untuk memenangi anugerah pada FFM22, contohnya menerusi salah satu daripada lima Anugerah Khas Juri yang disediakan oleh pihak penganjur?

Ini kerana Anugerah Khas Juri tidak dicalonkan, sebaliknya para pemenangnya dipilih oleh panel juri yang membuat keputusan berdasarkan budi bicara atas pencapaian cemerlang sesuatu calon tersebut.

Selain dominasi calon-calon tertentu, FFM22 juga membuat kejutan apabila penganjur memperkenalkan kategori baru iaitu Filem Komedi Terbaik.

Lima filem yang akan bertanding dalam kategori Filem Komedi Terbaik berjudul Los Dan Faun, Cicak-Man 2, Senario The Movie: Episod 1, Sifu Dan Tongga dan Brainscan.

Bagaimanapun, timbul tanda tanya mengapa filem komedi Papadom dan Setem tidak pula tercalon sebagai finalis kategori Filem Komedi Terbaik pada festival tersebut?

Sedangkan filem Brainscan yang merupakan filem kanak-kanak serta Cicak-Man 2 pula yang lebih bernasib baik berada dalam kelompok tersebut.

Apa pun, filem yang tercalon dalam kategori Filem Komedi Terbaik tidak mustahil untuk muncul Filem Terbaik biarpun terpaksa bersaing dengan top 5 finalis kategori Filem Terbaik yang akan diumumkan pada malam kemuncak anugerah itu kelak.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts