Rabu, Ogos 12, 2009

Suu Kyi kena 18 bulan


Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi semalam didapati bersalah oleh mahkamah dan ditahan 18 bulan kerana melanggar undang-undang keselamatan dalam negara.

Mahkamah pada mulanya menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Suu Kyi, tetapi tempoh penahanan dikurangkan kepada setahun setengah atas arahan kerajaan tentera, yang akan dijalaninya di rumahnya di Yangon.

Lelaki Amerika yang berenang ke rumahnya, John Yettaw pula dipenjara tujuh tahun dan dikenakan hukuman kerja keras.

Yettaw, 54, dipenjara tiga tahun kerana melanggar undang-undang keselamatan, tiga tahun lagi kerana melanggar undang-undang imigresen dan setahun kerana sabit kesalahan berenang di tempat tidak sepatutnya oleh pihak perbandaran.

Keputusan bersalah itu sememangnya dijangkakan dan didakwa pengkritik sebagai usaha rejim tentera Myanmar untuk menghalang Suu Kyi menjelang pilihan raya umum tahun depan.

Pemimpin pergerakan demokrasi di bekas negara Burma itu sudah menghabiskan 14 daripada 20 tahunnya dalam tahanan.

Perbicaraan Suu Kyi berlangsung di Penjara Insein, Yangon dan dikawal rapi oleh anggota keselamatan, dengan 2,000 anggota keselamatan berada di pekarangan mahkamah, kata saksi.

Semua akhbar kerajaan menyiarkan ulasan sama semalam, yang memberi amaran kepada penyokong Suu Kyi agar tidak melakukan kekacauan dan memberitahu orang luar agar tidak masuk campur dalam urusan Myanmar.

- AFP/Reuters

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.