Rabu, Ogos 12, 2009

Garis panduan penutupan sekolah dikaji semula

* NASIONAL

Garis panduan penutupan sekolah dikaji semula

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula garis panduan penutupan sekolah di seluruh negara berikutan kekeliruan yang timbul disebabkan banyak sekolah ditutup walaupun hanya terdapat pelajar yang mengalami simptom seperti influenza (ILI) sekali gus menimbulkan panik kepada orang ramai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kajian semula itu yang akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal kementerian hari ini, melihat pelbagai aspek supaya garis panduan penutupan sekolah dapat diseragamkan di seluruh negara.

Beliau berkata, kajian semula yang turut diguna pakai institut pengajian tinggi (IPT) itu, dibuat selepas perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pada mulanya, satu kes di sekolah, kita akan tutup satu kelas dan jika dua kes, kita tutup sekolah, tetapi sekarang kita dalam fasa pandemik dan banyak sekolah ada ILI yang belum disahkan selesema biasa atau H1N1.

"Ia menyebabkan ada sekolah yang lima peratus murid mereka selesema, ditutup dan ada sekolah yang guna panduan satu kelas ada selesema, mereka tutup sekolah. Kita mahu seragamkan garis panduan itu supaya tidak timbulkan suasana panik," katanya semalam.

Liow juga meminta pihak hospital dan klinik swasta tidak menaikkan harga suntikan antiviral kepada pesakit H1N1 yang mendapatkan rawatan, begitu juga harga topeng muka.

Mengenai penambahan stok bekalan antiviral, beliau berkata, pihaknya akan mengedarkan ubat itu di semua klinik dan hospital kerajaan seluruh negara.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengisytiharkan darurat di seluruh negara berikutan wabak itu yang semakin meruncing, beliau berkata, keadaan terkawal sebaliknya menasihatkan orang ramai menjaga kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kementerian itu hari ini akan menentukan langkah yang patut dilakukan semua pihak bagi memantau risiko penularan wabak H1N1 pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 25 Ogos ini.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts