Jumaat, Julai 24, 2009

Tinjauan Blog -

Penubuhan suruhanjaya diraja bagi kes kematian Teoh Beng Hock seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu lalu mendapat reaksi berbeza di kalangan penulis blog.

Pada masa yang sama, terdapat penulis yang menyentuh mengenai cara bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberikan penghormatan kepada Beng Hock dengan menyalakan lilin seperti mana amalan penganut bukan Islam.

Datuk Shamsuddin Nawawi dalam Small Talk (dongtalk.blogspot.com) menulis, keputusan kerajaan membenarkan inkues dilakukan bagi mencari sebab kematian Beng Hock adalah tepat kerana ia adalah peruntukan yang sudah lama terpakai melalui Kod Prosedur Jenayah (CPC).

Tulis beliau, apabila majistret mempunyai kuasa untuk mengetahui “bila, di mana, bagaimana dan selepas apa yang berlaku, punca kematian” pastinya “tidak ada batu yang tidak dibalikkan”.

‘‘Kuasa majistret adalah luas melalui peruntukan CPC ini dan pastinya akan terungkai siapa (jika ada) yang bertanggungjawab.

‘‘Penubuhan Suruhanjaya Siasatan terhadap prosedur soal siasat yang diamalkan oleh SPRM adalah berbeza tetapi pasti akan berkaitan dengan inkues ini,” tulis beliau.

Katanya, jika digabungkan kedua-duanya, penemuan kedua-dua badan tersebut akan merungkai jawapan yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak.

Mohd. Sayuti Omar dalam Merah Tinta (msomelayu.blogspot.com) pula berpendapat, gesaan pihak-pihak tertentu sehingga tertubuhnya suruhanjaya itu memperlihatkan suara kaum Cina menjadi ‘suara keramat’ dan sedia dipatuhi oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Tulisnya, walaupun keperluan menyiasat kes kematian misteri itu adalah keperluan bersama namun ada unsur-unsur kepentingan kaum di dalamnya dan tertubuhnya suruhanjaya itu merupakan satu lagi keperluan peribadi masyarakat Cina dipenuhi.

“Saya berharap sangat kalau kerajaan ikhlas dalam penubuhan suruhanjaya diraja itu kerana inginkan kebenaran terdedah dan keadilan terlaksana bukannya kerana elemen dan bayangan-bayangan lain.

“Tetapi kalau di sebalik keikhlasan itu ada motif politik, atau tepatnya ia dilaksanakan atas rasa gerun kerajaan kepada tuntutan itu, ia sungguh malang sekali,’’ tulis beliau.

Katanya, penubuhan suruhanjaya itu harus diterima semua pihak sebagai satu hadiah atas nama “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

“Biarlah penubuhan itu bukan daripada rasa takut dan gerun kerajaan kepada tuntutan DAP, MCA dan Gerakan atau PKR tetapi ia satu pemenuhan ke atas kehendak rakyat Malaysia demi keadilan dan kebenaran,” tulis beliau.

Sementara itu, Dr. Novandri Hasan Basri (novandri.blogspot.com) menulis, upacara memperingati kematian seseorang bukan Islam tidak boleh dituruti oleh orang Islam walaupun ia berkonsep universal dan liberal.

Katanya, beliau tidak pasti sejak bila Mohammad Nizar sudah menjadi terlalu liberal dan bersikap terbuka.

“Jawapannya mungkin sejak beliau bergelumang dan bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin DAP semasa beliau menjadi Menteri Besar Perak dan boneka DAP suatu ketika dahulu.

“Jika benarlah kemungkinan tersebut, kita semua patut kecewa.

Yang paling kecewa sepatutnya ialah ahli-ahli Pas terutamanya ahli Pas negeri Perak kerana melihat pemimpin mereka sudah melencong jauh daripada perjuangan asal parti Pas itu sendiri,” tulis beliau.

Tulis Dr. Novandri lagi, negara ini berkonsepkan parti pemerintah dan parti pembangkang, memerlukan kepimpinan parti yang adil dan turut membangkang serta mengkritik sebarang isu yang salah.

“Kita bukan berhujah mengenai isu-isu biasa yang disebabkan oleh kelemahan manusia itu sendiri tetapi isunya menyentuh fundamental dalam Islam itu sendiri.

“Kita tentu berasa gerun kerana kepimpinan Pas yang membawa perkataan ‘Islam’ di dalam nama parti tersebut tidak dapat memberikan contoh yang terbaik kepada umat Islam di negara ini,” tulis beliau.

Katanya, beliau juga berasa gerun kerana mereka yang bergelar ulama dalam parti Pas mempunyai penilaian yang berbeza mengenai Islam walaupun mereka tergolong di dalam mazhab yang sama.

Zainal A. Kassim dalam C-Bok (c-bok.blogspot.com) pula menganggap langkah pihak tertentu yang membenarkan seorang pemimpin Islam menyalakan lilin sebagai tanda memperingati kematian seorang bukan Islam lain adalah bermotifkan politik.

Katanya, oleh kerana politik maka apa sahaja yang dilakukan oleh mereka dibolehkan tetapi jika ia melibatkan pihak lain, ia tidak dibolehkan.

“Saya harap pemimpin-pemimpin politik jangan terlalu taksub mempertahankan ideologi politik sehingga terlupa dengan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan akidah mereka sendiri,” tulis beliau.

- UTUSAN
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts