Rabu, Julai 08, 2009

PPSMI dimansuh, Sains dan Matematik dalam BM pada 2012

Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia manakala di SJK Cina dan Tamil akan dikendalikan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pelaksanaan tersebut akan mula dikuat kuasa pada 2012.

"Pelaksanaan akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di sekolah menengah bermula tahun 2012.

"Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi," katanya pada sidang media khas di Kementerian Pelajaran hari ini.

Jelas Muhyiddin, Kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Katanya, strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003.

"Untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwibahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014," katanya.

Beliau berkata, kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan.

"Apa ysng dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar pelajaran Sains dan Matematik dalam dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," katanya.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, kerajaan memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan dengan memperkenalkan beberapa langkah antaranya seperti berikut:

- Menambah bilangan guru Bahasa Inggeris seramai 13,933. Jumlah itu termasuk 1,000 orang guru luar negara, 6,000 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan daripada IPGM, IPTA dan IPTS.

- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi sekolah kebangsaan Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu. Manakala bagi Tahap II ditambah sebanayk 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.

- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi SJK Cina dan Tamil Tahap I ditambah seratus peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.

- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.

- Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.

- Peruntukan waktu Bahasa Inggeris bagi matrikulasi ditambah seratus peratus iaitu daripada tiga jam menjadi enam jam seminggu.

Tambah Muhyiddin, pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.

"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

"Selain itu hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi," katanya.

Menurut beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

"Malah jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan," katanya.

- BERNAMA

3 ulasan:

  1. PPSMI MANSUH 2012
    Walaupun dalam tempoh 3 tahun akan datang keputusan ini masih boleh DIUBAH namun keputusan hari ini adalah yang terbaik dalam sejarah pendidikan negara.
    Ingatlah catatan terbaik ini akan menjadi hina dan kotor jika ada sifat dolak-dalik selepas ini. Ini amaran kepada pembuat keputusan yang ada kaitannya dengan kepentingan BAHASA DAN UMAT MELAYU -jangan main-main atau jangan berpolitik murahan. Keputusan ini adalah muktamad. Jika ini hanyalah muslihat maka Kami SEJUTA rakyat yang cintakan bahasa akan turun ke jalanan - tunggulah!
    Teruskan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu, berjiwa besarlah, hapuskan akal dan jiwa terjajah!
    ABAIKAN MAHATHIR SEKEJAP! FIKIRKAN DENGAN AKAL JERNIH!

    BalasPadam
  2. Ini adalah keputusan orang yang berakal...tapi mengapa perlu tunggu 2012? tak seperti nak melaksanakan dulu?Jangan buat sandiwara sudah.

    BalasPadam
  3. Assalam wbt.

    Tindakan kerajaan ini dilihat seolah2 tertekan dgn tekanan pihak pembangkang. Namun, betulkah niat asal kerajaan adalah untuk memghapuskannya, atau setakat retorik di Manik Urai ataupun umpan untuk pilihanraya ke-13, atau umumkan dulu kemudian baru fikirkan cara terbaik mengatasinya. Apa-apapun, inilah kerajaan yang majoriti rakyat pilih maka berdoalah agar kita diberikan yang terbaik. Wallahu'alam.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.