Teknologi bantu bayar tanpa wang tunai

Membawa pembaharuan dalam urusan jual beli, pelbagai aplikasi teknologi moden kini semakin banyak diperkenalkan kepada umum.

Tujuannya adalah supaya semua transaksi tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan cepat tanpa melibatkan banyak prosedur.

Antara yang telah dilaksanakan secara meluas adalah seperti penggunaan kad kredit dan juga kad debit untuk aktiviti membeli-belah.

Terbaru, beberapa syarikat tempatan pula telah mula memperkenalkan medium baru untuk urusan transaksi menerusi sentuhan gajet dan juga menggunakan kad pengenalan MyKad.

Melalui kemudahan teknologi yang ditawarkan MyKad, implementasinya disasarkan untuk membantu golongan kurang berkemampuan memenuhi keperluan asas dalam kehidupan seharian mereka.

Dikenali sebagai MyKasih, ia merupakan program kebajikan pengagihan bantuan tanpa tunai sebagai usaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan susah.

Menerusinya, penerima bantuan boleh membeli barangan keperluan harian hanya menggunakan pengecaman cip pada MyKad mereka mengikut had nilai yang telah ditetapkan.

Program bantuan amal dan kebajikan berkenaan sebenarnya mengetengahkan perkhidmatan pembayaran elektronik moden yang lancar, efektif dan telus.

Ia telah diperkenalkan oleh sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), ePetrol Holding Sdn. Bhd. dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ePetrol Holding Sdn. Bhd., Ngan Boon Keat, teknologi tersebut bukan program kebajikan biasa, sebaliknya ia mempunyai keunikan dari segi proses bantuan yang disampaikan.

"Operasi MyKasih digerakkan menggunakan kelebihan IT yang terdapat pada dokumen pengenalan diri semua rakyat Malaysia iaitu MyKad.

"Dengan cara ini, ia mempunyai kelebihan untuk berfungsi sebagai kad debit ketika berbelanja di samping mengetengahkan sistem sekuriti yang efisien,'' katanya pada pelancaran program tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Proses pendaftaran MyKasih cukup mudah iaitu penerima bantuan hanya perlu mendaftar secara dalam talian bagi mendapatkan nombor pengenalan diri (PIN) tanpa melibatkan pengisian sebarang borang.

Melalui program itu, akaun penerima bantuan akan dikreditkan dengan sejumlah nilai untuk membolehkan mereka berbelanja di beberapa kedai runcit terpilih tanpa mengunakan transaksi tunai.

Sebagai permulaan, sebanyak 25 keluarga dari kawasan Selayang telah dipilih untuk menyertai projek perintis MyKasih pada Disember tahun lalu.

Bagi tujuan itu, mereka boleh menggunakan MyKad masing-masing untuk membeli barangan keperluan dari kedai serbaneka di stesen minyak Caltex di Selayang.

Pembayaran canggih

Pada April lalu, seramai 40 lagi keluarga yang kurang berkemampuan dipilih untuk menyertai MyKasih hasil kerjasama daripada beberapa agensi kebajikan.

"Kesemua keluarga yang dipilih ini telah ditentukan kelayakannya oleh beberapa pertubuhan kebajikan berdasarkan pemantauan yang telah mereka lakukan,'' katanya.

Setiap keluarga akan diberikan nilai kredit sebanyak RM20 seminggu untuk membeli barangan runcit dan keperluan rumah.

Untuk tujuan keselamatan pula, mereka akan dilengkapkan dengan nombor PIN yang perlu mereka sertakan ketika membuat pembayaran di kaunter.

Selain itu, pihak ePetrol juga akan menjalankan proses mengaudit sistem berkenaan bagi mengenalpasti pola perbelanjaan dari segi jenis barang yang dibeli, diskaun yang diberikan selain menilai keupayaan aplikasi sistem MyKasih itu sendiri.

Bagi mendedahkan para penerima bantuan tentang cara terbaik mengendalikan bajet kewangan yang diberi, terdapat kakitangan dan pihak sukarelawan yang akan memberikan perkhidmatan kaunseling serta latihan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MDeC, Datuk Badlisham Ghazali berkata, program kebajikan MyKasih merupakan satu lagi contoh kemudahan yang memperluaskan aplikasi MyKad.

"Dengan teknologi ini, ia tentunya menawarkan banyak kemudahan dan kelebihan kepada masyarakat di samping menyentuh dengan lebih spesifik sesuatu elemen dalam komuniti.

"Apa yang diharapkan, lebih banyak aplikasi berguna akan dibangunkan dengan platform MyKad ini,'' katanya.

Menurutnya lagi, selain kedai serbaneka di stesen minyak, aplikasi berkenaan akan turut diperluaskan ke 7-Eleven, pasar raya dan juga kios.

Seorang penerima bantuan, Che Aminah Mior Mohd. Ramli, 54, berpendapat, program MyKasih meringankan beban yang perlu ditanggung untuk menyara dua orang anak setelah beliau kehilangan suaminya.

"Bantuan yang diberikan ini akan saya gunakan dengan baik untuk membeli barangan keperluan rumah seperti makanan kering.

"Operasinya juga mudah kerana tidak melibatkan wang tunai. Dengan menggunakan MyKad sahaja, urusan pembelian boleh dilaksanakan,'' jelasnya.

Di samping MyKasih, terdapat satu lagi perkhidmatan pembayaran canggih yang diperkenalkan oleh peneraju operator rangkaian telekomunikasi, Maxis Communication Berhad (Maxis).

Dikenali sebagai Maxis FastTap, ia menawarkan medium pembayaran menerusi sentuhan telefon bimbit yang diintegrasikan bersama perkhidmatan utiliti teknologi, Near Field Communication (NFC).

Sebagai sistem pembayaran mobiliti pelbagai yang pertama di Malaysia, Maxis turut menjalankan kerjasama dengan beberapa syarikat untuk pelbagai perkhidmatan komersial lain.

Ia termasuk Nokia, pembayaran kad kredit menggunakan Visa payWave, perkhidmatan Maybank serta pembayaran kad elektronik Touch 'n Go.

Inovasi terbaik

Ia juga merupakan perkhidmatan NFC yang pertama di dunia menawarkan ciri paparan maklumat kad kredit pada rangkaian operator perkhidmatan mobiliti melalui antaramuka Trusted Service Manager.

Pelancaran Maxis FastTap itu sekali gus membenarkan pengguna Maxis FastTap yang menggunakan telefon bimbit klasik Nokia 6212 membeli barangan dan perkhidmatan secara mobiliti di lebih daripada 1,800 lokasi perdagangan Visa payWave serta membayar menggunakan kad Touch 'n Go di 3,000 pusatnya di seluruh negara.

Menurut Naib Presiden Kanan Maxis, Nikolai Dobberstein, pelancaran perkhidmatan terbaru Maxis itu melambangkan pencapaian dan usaha berterusan pihaknya untuk membawa inovasi terbaik kepada pengguna telefon bimbit di Malaysia.

"Pelaksanaan sistem ini secara komersial menerusi kerjasama dengan beberapa syarikat peneraju dalam bidang masing-masing tentunya bakal memberi kelebihan dalam aplikasi mobiliti moden kepada pengguna.

Ia merupakan teknik pembayaran canggih untuk mempermudahkan pelbagai urusan,'' katanya pada pelancaran perkhidmatan tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dari segi penggunaan teknologi Visa payWave mobiliti, ia merupakan perkhidmatan yang pertama di Malaysia dengan tawaran manfaat dan kemudahan yang sama seperti menggunakan kad kredit.

Dengan kemudahan itu, pengguna kini boleh membeli-belah hanya menggunakan telefon bimbit untuk pembayaran mudah sehingga nilai maksimum RM150.

Bagi urusan di Maybank pula, ia akan memudahkan operasi seperti perkhidmatan kewangan mobiliti, Maybank2u dan tambah nilai kad kredit Maybank.

Melalui Maxis FastTap juga, perkhidmatan kad Touch 'n Go semakin dipertingkatkan di mana ia boleh digunakan di tol, kenderaan awam, ruang letak kereta, taman tema dan juga beberapa kedai runcit terpilih.

Kesemua perkhidmatan itu kini ditawarkan bersama telefon bimbit Nokia Klasik 6212 yang dilengkapi terminal binaan bersama cip NFC untuk tujuan transaksi pembayaran dan juga keselamatan.

- UTUSAN Teknologi bantu bayar tanpa wang tunai

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.