Sabtu, Julai 25, 2009

Demam Harry Potter kembali landa dunia

Oleh Siti Suriani Othman dari Nottingham, England
suria3979@gmail.com

MINGGU ini adalah tayangan pertama filem Harry Potter yang menjadi kegilaan hampir seluruh dunia. Dinobatkan sebagai antara filem terbitan Britain yang paling berjaya, Harry Potter yang dilakonkan Daniel Radcliffe sebagai watak utamanya berjaya mengumpul kutipan tiket mencecah £60 juta (RM354 juta) pada hari pertama tayangannya di Britain pada Rabu lalu.

Filem kali ini yang bertajuk Harry Potter and the Half-Blood Prince adalah yang keenam daripada siri Harry Potter yang terdiri daripada Harry Potter and the Philosopher's Stone, Harry Potter and the Chamber of Secrets, Harry Potter and the Prisoner of Azkaban, Harry Potter and the Goblet of Fire dan Harry Potter and the Order of the Phoenix sebelumnya.

Siri ketujuh dari novelnya, iaitu Harry Potter and the Deathly Hallows masih belum difilemkan. Rekod tayangan menunjukkan semua filem Harry Potter mencapai kutipan tiket yang besar bagi setiap filem dalam sirinya.

Hal ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa filem yang berasaskan kanak-kanak dan tidak mempunyai tarikan seksual mampu menarik penonton. Namun, filem-filem ini tidak lari daripada kritikan sesetengah masyarakat, terutama di kalangan ahli agama yang risau mengenai impak ayat-ayat magis yang digunakan dalam siri ini dan kesannya kepada kanak-kanak.

Namun, pada persada antarabangsa, tidak ramai sarjana Islam yang tampil menyuarakan hujah watak dan plot cerita siri ini yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. Misalnya, hanya negara Arab yang diketahui dan direkodkan mengharamkan novel Harry Potter di sekolah.

Percanggahan kandungan magis buku ini dengan ajaran Islam adalah faktor utama ia diharamkan. Namun, pengharaman tidak berlaku di kedai buku umum Arab. Berlaku juga kritikan dari negara lain seperti Pakistan dan Iran dari segi penjualan dan pengedaran novelnya kepada masyarakat Islam.

Selain Islam, agama lain seperti Kristian sendiri turut mempersoalkan penggunaan magis dan unsur tahyul di dalamnya yang bertentangan dengan ajaran agama itu sendiri. Namun, kreativiti JK Rowling menggarap magis ini dalam watak kanak-kanak yang kreatif nampaknya seolah-olah melenyapkan 'suara' pada pihak ahli agama dan mesej dalam filem itu terus disampaikan dengan meluas di hampir seluruh dunia tanpa banyak soal.

Memandangkan Malaysia juga sebuah negara Islam yang mendiamkan diri dengan penjualan novel dan tayangan filem dalam siri Harry Potter, amalan 'penontonan berpenjaga' amatlah digalakkan. Ibu bapa perlu bersama anak-anak ketika menonton filem ini dan menerangkan mana yang tahyul, mana yang nyata dan perbuatan serta mesej yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Namun, tidak dinafikan filem daripada siri ini mendapat sambutan luar biasa seluruh dunia. Penulis novel filem ini diadaptasi, Rowling kini adalah penulis novel bertaraf 'bilionaire', mengeluarkan hidupnya daripada kongkongan kemiskinan hanya dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.

Rowling kini meletakkan namanya sebagai penulis novel pertama di dunia bertaraf 'melebihi jutawan' dengan jumlah jualan novel melebihi 400 juta di seluruh dunia, adaptasi ke filem oleh Warner Bros, watak filem yang turut menginspirasi karakter dalam permainan video membuatkan Rowling dinilai tidak kurang AS$4 bilion (RM14 bilion).

Kekayaan melimpah ruah ini bukan hanya dinikmati penulis asalnya Rowling, malah hampir semua pelakon kanak-kanaknya. Radcliffe misalnya dilaporkan sebagai orang muda terkaya di UK dengan aset dianggarkan mencapai £14 juta (RM82.6 juta) hasil lakonannya dalam siri Harry Potter.

Paling menarik, watak gadis yang dimainkan Emma Watson, pelajar pintar sekolahnya hari ini menjadikan dia bukan saja pelajar pintar di luar dan di dalam filem, malah digelar 'ikon fesyen' remaja Britain.

Emma, gadis kecil molek ini sebenarnya antara gadis terpintar di sekolahnya dan laporan menunjukkan pemilihan dia sebagai pemegang watak Hermione Granger dalam filem ini adalah kerana keyakinan ditonjolkan ketika sesi uji bakat seluruh UK untuk mencari bintang yang juga menampilkan peribadi 'bijak, ulat buku dan mempunyai banyak idea', tetapi kadang-kala menyakitkan hati dan kurang mempunyai ramai kawan, selain teman karib Harry Potter.

Tempat di mana lakonan 'jamuan makan tahunan sekolah' dalam filem ini yang diadakan di Christ Church, Universiti Oxford turut menjadi perhatian ramai selepas popular menerusi filem Harry Potter. Christ Church, adalah sebuah kolej pengajian agama dan gereja universiti hari ini menjadi tarikan pelancong sejak penggambaran siri ini dijalankan.

Dalam konteks ini, satu perkara paling menarik yang boleh dicontohi Malaysia ialah pengkomersialkan setiap tarikan pelancongan yang ada dengan pelbagai kemudahan media, terutama internet. Hakikatnya, banyak tarikan menarik sama ada semula jadi atau buatan manusia yang tidak dinafikan ada yang lebih menarik daripada yang berada di luar negara.

Namun, apabila tempat ini dikenal pasti dan dicari untuk maklumat berkaitannya di internet, tiada jawapan ditemui. Hal ini, membuatkan hanya Kuala Lumpur dan satu dua negeri saja yang agak menonjol dari segi pelancongan, sedangkan negeri lain turut mempunyai pelbagai keunikan budaya yang mungkin 'kurang menarik pada mata kita', tetapi 'amat menarik dan unik pada mata pelancong Barat' yang tidak pernah melihatnya sebelum ini.

Inilah yang dilakukan di Britain. Pengkomersialan destinasi 'biasa' yang menjadi 'luar biasa' kerana sebab tertentu, misalnya penggambaran membolehkan pihak Universiti Oxford mengenakan bayaran masuk kepada pengunjung.

Idea ini menarik dan boleh dicontohi Malaysia kerana ia boleh memperluas fungsi universiti (namun perkara ini masih boleh didebatkan), memperkenalkan universiti kepada umum, sekali gus menyokong industri pelancongan negara.

Banyak bangunan universiti di Malaysia yang indah, unik serta memaparkan seni bina Timur dan Islam misalnya tidak disenaraikan sebagai satu tarikan pelancongan negeri/negara. Perkara ini boleh dikaji oleh pihak berwajib, selain turut memberi peluang komersial yang lebih kepada tapak sejarah, monumen bermakna dan taman semula jadi.

Mungkin suatu hari nanti, apabila kita mencari tempat menarik di Negeri Sembilan daripada internet, satu tarikan yang tersenarai ialah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di kampus tetapnya di Nilai yang bukan saja semakin membangun dengan seni bina bangunan berlatarkan Islam, malah juga dihiasi dengan landskap hijau yang sangat indah dan menyegarkan.

Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah dalam bidang kewartawanan di Nottingham Trent University, United Kingdom

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts