Mirza bebas tuduhan rasuah


Ketua Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (LPPM), Datuk Mirza Mohammad Taiyab Beg Mirza Hadi Hassan Beg hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan bersetuju menerima rawatan pergigian berjumlah RM13,860 tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin yang membebaskan Mirza, 52, yang kini digantung tugas, tanpa dipanggil membela diri menyatakan, kegagalan pihak pendakwa memanggil pengadu kes tersebut yang juga pegawai penyiasat iaitu Mohd. Zamri Zainul Abidin telah ‘membunuh’ kes pendakwaan.

‘‘Walaupun pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak dipanggil kerana dianggap hanya saksi biasa dan tidak mencacatkan kes pendakwa tetapi saya berpendapat tanpa keterangannya, atas dasar apakah siasatan terhadap tertuduh dijalankan.

‘‘Maka peranan Zamri tidak boleh dipandang ringan dan berpendapat dia adalah saksi penting,’’ katanya.

Selain itu, Zainal Abidin menyatakan, tindakan Pengarah Perunding Pakar Media Sdn. Bhd., Zulhisham Ayob dalam mendapatkan tambahan had nilai tidak mempunyai kaitan dengan jawatan yang dipikul oleh Mirza ketika itu.

Katanya, Zulhisham dalam keterangannya turut memberitahu telah melarang dua lagi saksi iaitu bekas isteri, Dr. Khamsiah Ghulam Haider dan pengurus klinik itu daripada memberitahu Mirza bahawa bil untuk rawatan kos implan akan dibayar oleh pengarah syarikat itu.

Hakim itu juga menyatakan tiada sebab untuk beliau tidak menerima keterangan Zulhisham yang diberikan dalam keadaan bersahaja dan terus terang mengenai mengapa dan bagaimana beliau membayar kos rawatan tersebut.

‘‘Oleh itu di akhir kes pendakwaan, saya memutuskan pihak pendakwa telah gagal membuktikan elemen mens rea (niat salah) bahawa Mirza telah setuju menerima barangan berharga dalam bentuk kos rawatan implan berjumlah RM13,860 daripada Zulhisham.

‘‘Justeru itu, pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Datuk Mirza Mohammad Taiyab,’’ ujarnya.

Pada 13 Ogos tahun lalu, Mirza didakwa menerima pembiayaan itu dengan tiada balasan daripada Zulhisham, 48, melalui sekeping cek Maybank Berhad.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Clinical Practice Prosthodontics Sdn. Bhd., No. 15, Jalan 2/71 melalui Jalan Tun Mohd. Fuad, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara 17 Januari hingga 26 Julai 2005.

Mirza didakwa menerima suapan itu sedangkan dia mengetahui bahawa syarikat tersebut mempunyai kaitan dengan tugas rasminya ketika itu sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) LPPM.

Pendakwaan ke atasnya dibuat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.