Isnin, Julai 20, 2009

Cantum semula daging pengebom

Polis Indonesia semalam menyatakan mereka sedang membina semula wajah salah seorang suspek pengebom berani mati daripada tempurung kepala yang dijumpai berkecai.

Langkah itu dilakukan dalam usaha mempercepatkan siasatan berhubung serangan bom berani mati ke atas Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton yang terletak di lokasi perniagaan Mega Kuningan di sini.

"Kami cuba membina semula wajah salah seorang suspek untuk mengenal pasti sama ada ia menyerupai wajah individu yang menginap di bilik 1808.

"Kami akan meminta beberapa saksi dan penyambut tetamu untuk mengecamnya sama ada lelaki itu orang yang sama," kata jurucakap polis, Nanan Soekarna.

Polis menyatakan persiapan untuk serangan itu dilakukan di bilik 1808, tingkat 18 Hotel Marriott selepas menemui beberapa nota tulisan tangan, sebuah telefon bimbit dan sebutir bom yang disembunyikan dalam sebuah beg komputer riba dari bilik itu.

Menurutnya, siri serangan itu menyerupai modus operandi pergerakan Jemaah Islamiah (JI).

JI sebelum ini mendalangi beberapa pengeboman dahsyat di sini dan pulau Bali tetapi siri serangan itu berhenti pada 2005.

"Kaedah dan peralatan digunakan menyamai pengeboman di Bali dan serangan di Cilacap," katanya yang merujuk pada serangan di Bali dan bom yang ditemui polis dalam satu serbuan di bandar Cilacap, Jawa Tengah baru-baru ini.

Ketua meja antipengganas Kementerian Keselamatan Indonesia, Ansyaad Mbai menyatakan serangan itu dipercayai didalangi militan dari Malaysia, Nordin Mat Top.

Ansyaad dipetik oleh agensi berita Antara berkata, kerajaan Indonesia kini menggandakan usaha untuk memburu Nordin.

Serangan berkembar di Marriott dan Ritz-Carlton Jumaat lalu menyebabkan sembilan maut manakala lebih 50 yang lain cedera.

Sementara itu, penginap dan kakitangan Hotel Four Seasons dipindahkan seketika semalam selepas pihak pengurusannya menerima panggilan telefon terdapat bom dalam bangunan itu.

Mereka kemudian dibenar kembali semula ke hotel selepas polis gagal menemui sebarang bahan letupan di lokasi itu.

- REUTERS

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts