Jumaat, Julai 10, 2009

Adab berbeza pendapat

Oleh DR. ABDULLAH MD ZIN
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Mursyidul Am Pas merangkap Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara tokoh besar Pas yang lantang membuat kenyataan-kenyataan keras terhadap UMNO dan para pemimpinnya.

Dalam Harakah bertarikh 1-4 Jun 2009 melaporkan kenyataan Nik Aziz semasa melancarkan gerak jentera pilihanraya, 29 Mei lalu di Bangunan Pasti, Kg. Baru, Manek Urai, menegaskan: "Tiada sebab pengundi menolak Pas memandangkan negeri Kelantan turut menikmati pembangunan seperti di negeri-negeri lain. Bagaimanapun UMNO dan Pas berbeza"

Selanjutnya beliau berkata: "Pas menekankan aspek dosa dan pahala dan segala kerja kuat akan mendapat ganjaran di dunia dan akhirat. UMNO hanya berhenti setakat dunia sahaja".

Seterusnya beliau berkata: "Sebab itulah biarpun tugas kita sekadar memasang poster, namun ganjarannya besar dan akan diberi pahala, kerana hasrat kita mahu mendaulatkan Islam".

Selain kenyataan-kenyataan di atas, ada banyak lagi tuduhan, dakwaan serta fitnah Nik Aziz terhadap UMNO seperti beliau pernah mengatakan Parti Komunis Malaya (PKM) tidak jauh bezanya dengan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan nasionalisme.

Apa yang dipaparkan adalah sebahagian kecil tuduhan-tuduhan liar dan keterlaluan Mursyidul Am Pas terhadap UMNO sebuah parti Melayu/Islam. Dakwaan Nik Aziz bahawa UMNO sebuah parti yang menolak Islam dan membawa ajaran sesat seperti Ayah Pin adalah suatu fitnah besar dan tuduhan yang tidak bertanggungjawab dan sangat mendukacitakan.

Walaupun UMNO ada sedikit sebanyak kelemahannya tetapi tidaklah sampai kepada menolak Islam dan membawa penyelewengan akidah seperti ajaran sesat Ayah Pin di Batu 13, Hulu Besut.

Bagaimana mungkin seorang tokoh besar Pas tidak dapat membezakan antara penyelewengan akidah dan kesalahan akhlak yang dilakukan oleh umat Islam.

Walaupun Nik Aziz mempunyai pengalaman yang pahit dengan pemimpin UMNO pada masa dahulu iaitu semasa kerajaan campuran Pas-Perikatan 1973 dan selepasnya, tetapi janganlah sampai membuat tuduhan-tuduhan di luar daripada adab-adab berbeza pendapat.

Menurut penulis terkenal, Dr. Yusuf al-Qardhawi, perbezaan pendapat tidaklah berbahaya, terutama dalam masalah-masalah furu' (cabang) dan dalam beberapa perkara usul (pokok) yang tidak rukun. Tetapi yang berbahaya adalah fanatik, perpecahan dan permusuhan. (Lihat al-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-Ikhtilaf al-Mashru' wa al-Tafarruq al-Mazmum).

Perbezaan pendapat adalah suatu realiti dalam kehidupan manusia. Sebenarnya agama Islam menerangkan dengan jelas cara mengendalikan perbezaan pendapat di kalangan umat Islam berhubung isu-isu semasa. Namun begitu ia mungkin boleh bertahan di peringkat permulaan dan selepas itu bertukar menjadi perdebatan yang keras, fitnah memfitnah dan menggunakan ungkapan-ungkapan kasar yang membawa kepada perbalahan dan permusuhan.

Kalau masing-masing menjaga adab-adab berbeza pendapat dan menggunakan bahasa berdialog yang sopan, nescaya perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

Oleh itu adalah tidak dianggap berhikmah (tidak bijaksana) sekiranya digunakan perkataan yang keji dan tuduhan liar yang boleh menyakiti orang lain. Ini kerana dakwah dijalankan dengan nasihat yang baik dan jika memerlukan perdebatan, maka hendaklah dilakukan dengan cara yang lebih baik (tanpa maki hamun, dakwaan palsu, tuduhan liar, kata-kata kesat dan sebagainya).

Antara adab-adab berbeza pendapat yang perlu dijaga oleh umat Islam ialah:

Pertama: Perbezaan Pendapat Janganlah Membawa Kepada Perpecahan Umat Islam.

Perbezaan pendapat dalam perkara ijtihad adalah perkara biasa dalam Islam, tetapi janganlah sampai merosakkan kasih sayang dan perpaduan umat Islam.

Perbezaan pendapat akan wujud berterusan dalam kehidupan umat manusia. Kalau tidak ada perbezaan pendapat maka ia bererti pintu ijtihad telah tertutup. Ini bercanggah dengan nas-nas al-Quran yang mengajak umat Islam supaya berfikir, menyelidik, mengambil pengajaran dan melakukan ijtihad.

Generasi para sahabat menjadi ikutan kita bagaimana mereka berbeza pendapat, berdebat dan kadang-kadang suara mereka juga agak tinggi (seperti yang berlaku kepada Abu Bakar dan Umar) tetapi semuanya tidak lebih daripada perdebatan lisan semata-mata, yang mana ia tidak membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

Kedua: Menjaga Hak-Hak Persaudaraan Islam

Islam sangat menekankan kepentingan hak-hak persaudaraan sesama Islam. Begitu juga Islam menekankan perpaduan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Imran, ayat 103 yang bermaksud: Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah…

Sehubungan dengan perbezaan pendapat ini, Hasan al-Banna menegaskan: "Perbezaan pendapat dalam masalah furu' (cabang) tidak boleh dijadikan sebab untuk berpecah dalam agama yang membawa kepada permusuhan dan pertengkaran kerana setiap mujtahid ada ganjarannya.

Oleh itu wajar dijalankan usaha penyelidikan yang bersih tentang masalah-masalah khilafiah dalam suasana mesra bermotifkan kebaikan dan kerjasama untuk mencari hakikat tanpa terjebak dalam kancah perdebatan yang tercela dan fanatik". (Lihat Rasa'il al-Imam Hasan al-Banna, halaman 269).

Ketiga: Menghormati Pendapat Berbeza

Imam al-Syafie adalah antara tokoh yang sangat terbuka dan bertoleransi serta menghormati pendapat dan pandangan orang lain. Beliau sangat terkenal dengan ungkapannya "pendapat kita betul, ada kemungkinan ia salah dan pendapat orang lain salah, ada kemungkinan betul"

Boleh dianggap taksub melulu di kalangan umat Islam sekiranya terlalu menghendaki orang lain supaya menerima pendapatnya. Kerana mereka percaya pendapat mereka sahaja yang betul, manakala pendapat orang lain semuanya salah dan tidak menepati kebenaran.

Golongan ini lupa bahawa pendapat mereka hanya satu ijtihad sahaja. Ijtihad mereka hanya merupakan satu pandangan yang boleh jadi salah dan boleh jadi betul. Oleh itu kenapa mereka fanatik dan memperbodohkan pendapat orang lain. Adakah mereka dijamin ismah (tidak melakukan kesalahan) seperti Rasulullah SAW.

Kalau kita membaca sirah para fuqaha, mereka pada umumnya saling hormat menghormati antara satu sama lain, meskipun mereka berbeza pendapat. Sebagai contoh Imam Ahmad berbeza pendapat dengan Imam al-Syafie dalam ratusan masalah dan isu, namun begitu mereka berdua saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Di bawah tajuk 'Kami memohon maaf kepada orang berbeza pendapat dengan kami' Hasan al-Banna, pengasas dan Mursyidul Am Gerakan Ikhwan Muslimin berpendapat: "Kami berpegang dengan satu pendapat, kami memohon jutaan kemaafan kepada mereka yang berbeza pendapat dengan kami dalam perkara furu' (cabang). Kami sentiasa berpendapat ia bukanlah penghalang kepada perpaduan, kasih sayang dan kerjasama untuk kebaikan … bukankah kita orang Islam dan begitu juga mereka"

Keempat: Tidak Menggunakan Perkataan Keras dan Kasar

Orang Islam hendaklah menjadi orang beradab dengan adab-adab Islam dan berakhlak dengan akhlak-akhlak al-Quran dan al-Sunnah. Antara adab dan akhlak tersebut ialah mengelakkan daripada membuat dakwaan palsu dan tuduhan liar dalam ucapan dan tulisan. Kata-kata kesat dan kasar boleh 'meliarkan' orang ramai. Gunakanlah perkataan yang lembut dan membuat takwilan yang wajar dan munasabah.

Untuk menjaga perpaduan dalam barisan aktivis Islam atau sekurang-kurangnya mendekatkan jurang perbezaan adalah dengan mengikuti manhaj "sederhana" yang berimbang (tawazun), tidak bersikap keterlaluan (ketat, rigid) dan tidak pula cuai (longgar).

Dengan sikap ini, orang tertinggal harus menyusul dan orang yang berlebihan harus mundur. Kita mengharapkan agar jemaah-jemaah Islam memiliki asas-asas ketahanan diri yang kukuh bagi menghadapi cabaran kini.

Perselisihan dalam masalah furu'iyyah dan ijtihadiyyah hendaklah dihadapi dengan bijak dan bukan sebagai penghalang untuk bersatu bagi menghadapi musuh yang lebih besar.

Sifat melampau dalam agama boleh membawa kepada perpecahan dan persengketaan. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Binasalah orang yang melampau". Baginda menyebutnya sebanyak tiga kali sama ada sebagai berita tentang kehancuran mereka atau pun sebagai doa untuk kehancuran mereka." Hadis riwayat Muslim.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.