Sabtu, Jun 20, 2009

Transformers - Filem pecah panggung 2009


Debaran semakin memuncak buat peminat setia filem Transformers apabila filem sekuelnya yang berjudul Transformers: Revenge of the Fallen (TROTF) bakal menjengah pawagam tempatan pada 24 Jun ini.

Pastinya ramai yang ternanti-nanti apakah yang akan berlaku seterusnya sebaik sahaja misi menyelamatkan dunia oleh Sam Witwicky lakonan Shia LaBeouf dan sepasukan wira robot yang menggelarkan diri mereka sebagai Autobots.

Sudah pasti, adegan dramatik, cemas dan aksi sememangnya menjadi daya penarik filem Transformers mahupun sekuelnya yang sememangnya dinantikan sejak filem pertama ditayangkan pada tahun 2007.

Malah, pihak pengkritik di Hollywood sudah pun meramalkan filem TROTF bakal mencatatkan kutipan pecah panggung (box office) yang berlipat ganda berbanding dengan filem pertamanya.

Pihak penerbitnya iaitu Paramount Pictures sudah merencana dan merancang dengan penuh teliti dalam memastikan TROTF mampu menjadi sebuah filem yang menghiburkan serta memberikan kepuasan maksimum kepada peminat setia Transformers.

Sekadar menyingkap sejarah, Transformers merupakan kisah yang diangkat daripada komik dan seterusnya diadaptasi menjadi siri kartun yang cukup popular sekitar tahun 80-an.

Bukan itu sahaja, populariti Transformers terus memuncak apabila ia dizahirkan pula dalam bentuk permainan yang sememangnya menjadi kegilaan oleh pengumpul mainan yang menghargai seni serta reka bentuk robot dalam siri berkenaan.

Sebelum lahirnya filem Transformers yang menjadi salah sebuah filem terbaik yang dihasilkan pada tahun 2007, sebuah filem animasi berjudul Transformers: The Movie pernah ditayangkan pada tahun 1986.

Namun begitu, filem berkenaan tidak mendapat sambutan yang menggalakkan selain daripada kritikan pelbagai daripada pengkritik filem di Hollywood.

Ternyata, filem Transformers yang baru dan terkini ini lebih segar dan menepati jiwa remaja serta peminat setia siri ini memandangkan barisan pelakon utamanya merupakan pelakon generasi baru yang semakin hari semakin mencipta nama di persada seni tanah air.

Bukan itu sahaja, nadi dan tunjang utama filem Transformers sebenarnya terletak kepada watak robot yang dibahagikan kepada dua puak protagonis dan antagonis iaitu Autobot dan juga Decepticons.

Anggota Autobot terdiri daripada Optimus Prime selaku ketua kumpulan selain Bumblebee, Jazz, Ironhide dan Ratchet manakala ketua kumpulan Decepticons pula adalah Megatron, Starscream, Frenzy, Barricade, Bonecrusher dan Blackout.

Kekuatan Transformers juga sebenarnya terletak kepada jalan cerita, teknik kesan khas yang cukup mengagumkan serta pengarahan oleh pengarahnya, Michael Bay yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Bay sememangnya cukup dikenali sebagai seorang pengarah filem-filem aksi dan berbajet besar seperti Bad Boys, Bad Boys II, The Rock, Armageddon dan Pearl Harbor yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Justeru itu, apabila projek filem Transformers diserahkan kepadanya, tiada apa yang mustahil di tangan Bay kerana dia pasti akan melunaskan tanggungjawabnya dengan baik sekali.

Untuk Bay, memikul tanggungjawab besar dalam mengarahkan filem yang dianggap begitu rumit seperti Transformers sememangnya memerlukan daya kreativiti yang tinggi.

Ini kerana untuk merakamkan teknik kesan khas robot-robot dalam filem ini bukanlah semudah yang disangka Bay sendiri mengakui, jadual penggambarannya banyak dihabiskan untuk menyiapkan kesan khasnya sahaja berbanding di lokasi.

Tambahnya, untuk filem sekuel ini, jalan ceritanya juga lebih menarik apabila kisah futuristik digabungkan ke dalam zaman purbakala yang seharusnya menjadikan TROTF sebuah karya yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

"Saya tidak menafikan dalam membikin sebuah filem hebat seperti ini kita harus memberikannya yang terbaik dan tidak boleh dilakukan dengan sambil lewa sahaja.

"Malah, saya juga berdepan dengan tekanan dalam mengarahkan filem sekuel ini tetapi ia (tekanan) perlu untuk membina daya keyakinan kita dalam menghasilkan karya yang bagus.

"Jujurnya, saya mengalami keseronokan dan keterujaan yang tidak mampu saya gambarkan sewaktu menjalani penggambaran filem ini.

"Ternyata, ia lebih seronok berbanding dengan filem yang pertama kerana terdapat banyak elemen baru yang ditampilkan," kata Bay yang turut mengarahkan TROTF dalam versi IMAX.

Biarpun diulit dengan kegembiraan, jauh di sudut hati Bay dia agak kecewa dengan pemikiran skeptikal beberapa pihak apabila Transformers bakal dijadikan sebuah filem.

Katanya, apa yang dilakukannya adalah atas nama kecintaannya dalam bidang filem dan dia sendiri tidak pernah memikirkan sama ada filem-filemnya akan menjadi sebutan atau mendapat sambutan pecah panggung.

"Saya sama sekali tidak pernah menyangka filem Transformers yang pertama akan mendapat sambutan yang cukup hebat. Ya, saya tidak nafikan pernah dipandang rendah saat saya menduduki kerusi pengarah untuk filem ini.

"Tetapi selepas saya menayangkan beberapa babak barulah mereka nampak prospek filem ini dalam jangka masa panjang dan akhirnya ia menjadi sebuah filem yang besar," ujarnya yang menyifatkan TROTF sebagai sebuah filem yang mencabar minda dan kreativitinya.

Untuk menghidupkan lagi jalan cerita filem sekuel ini yang menelan belanja AS$200 juta (RM700 juta), Bay memberitahu sebuah bandar dan perkampungan Mesir telah dibina di kawasan lapang di New Mexico, Amerika Syarikat.

Bukan itu sahaja, pengenalan beberapa buah robot baru juga diperkenalkan dalam sekuel ini dan dua robot yang menggelarkan diri mereka The Twins dijangka mampu mencuri perhatian peminat dan penonton kali ini.

"Sungguh menarik untuk melihat dua 'watak' baru ini diperkenalkan dalam filem ini. Ia kelihatan comel apabila melihat Bumblebee (salah satu robot) memarahi mereka dalam filem ini.

"Ini juga adalah sebagai satu tanda penghargaan kepada peminat setia Transformers serta untuk menarik perhatian kanak-kanak ke pawagam dan menonton filem ini," ungkapnya yang menjelaskan Bumblebee turut diubah menjadi lebih serius kali ini dan bukannya sebagai 'aktor' komedi seperti mana dalam filem pertama dulu.

Sebelum dan sepanjang menjalani penggambaran TROTF, Bay mengakui beliau kerap terjaga di waktu malam di kala idea baru datang untuk menjadikan TROTF sebagai sebuah filem yang hebat.

Malah, dia akan memastikan sebuah buku nota akan sentiasa berada di sisinya ketika tidur untuk memudahkannya mencatatkan segala idea yang hadir di saat-saat akhir.

Dalam pada itu, pengarah filem berusia 44 tahun ini juga melahirkan rasa bertuahnya kerana mendapat pelakon yang hebat dan berdedikasi sepanjang menjalani penggambaran TROTF.

Baginya, LaBeouf dan Megan Fox merupakan pasangan yang cukup serasi dan mereka berupaya menghidupkan watak masing-masing dengan jayanya.

"Saya kagum dengan Fox kerana dia sentiasa mempunyai inisiatif untuk melakukan pembaharuan dalam lakonannya meskipun dia masih baru.

"Begitu juga dengan LaBeouf yang pada saya merupakan permata Hollywood yang seandainya digilap dengan betul, ia mampu menjadi seorang aktor yang hebat dalam generasinya.

"Dalam filem sekuel ini, penonton akan dapat melihat evolusi wataknya daripada seorang yang lembik kepada seorang yang cukup gagah kerana dia sudah menjadi seorang pemimpin kali ini," ujarnya yang sudah pun menandatangani kontrak untuk mengarahkan tiga sekuel Transformers selepas ini.

Selain LaBeouf dan Fox, TROTF masih lagi mengekalkan pelakon asal dari filem pertama seperti John Torturro, Josh Duhamel, Tyrese Gibson selain daripada Hugo Weaving dan Peter Cullen yang masing-masing menyumbangkan suara untuk watak Megatron dan Optimus Prime.

- UTUSAN

1 ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts