e-book Terengganu mula dapat sambutan

Brunei, Melaka dan Sarawak berminat untuk mencontohi Terengganu memperkenalkan penggunaan komputer riba mini atau e-book kepada murid sekolah rendah bagi menggantikan buku teks yang dilihat sebagai wadah terbaik untuk menyemarakkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata Brunei serta dua negeri berkenaan tertarik selepas idea yang dilaksanakan itu disambut baik oleh Kementerian Pelajaran.

"Melihat perkembangan yang menggalakkan ini, Terengganu yang menjadi pemasar tunggal e-book di Malaysia, yakin mampu untuk membekalkan komputer riba ini kepada negeri yang berminat mulai tahun hadapan," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Teknik Terengganu di sini, kelmarin.

Ahmad Razif berkata, pengagihan e-book kepada semua 25,000 pelajar Tahun Lima di negeri dijangka selesai sepenuhnya pertengahan Julai ini dan operasi kilang pemasangan e-book yang terletak di Gong Badak, kini berjalan mengikut jadual.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, Terengganu sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama The Welding Institute (TWI), Cambridge, United Kingdom bagi mengendalikan kursus kimpalan dalam air khusus bagi industri minyak dan gas bersama-sama Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec).

Katanya melalui kerjasama itu, TWI akan menghantar wakilnya ke Tesdec untuk memberi latihan dan kursus serta mengeluarkan sijil secara usaha sama dalam bidang berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Tesdec berkata, pihaknya sedang berusaha menambah baik dan memperkemas kursus ditawarkan supaya mengikut piawaian antarabangsa dan memastikan lulusan institut itu mempunyai prospek tinggi di pasaran selepas tamat latihan.

Selain itu katanya, anak syarikat Tesdec, Tesdec Services Sdn Bhd kini sedang dalam proses pengembangan menerusi peluasan operasi dan penawaran perkhidmatan khusus dalam industri minyak dan gas termasuk kerja-kerja di pelantar minyak menerusi kerjasama dengan Petronas.

- BERITA HARIAN e-book Terengganu mula dapat sambutan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.