Jumaat, Mei 01, 2009

Pakej Bollywood


Bukan sekadar urutan istimewa untuk lelaki lemah tenaga batin, malah sebuah rumah urut yang menyediakan khidmat urutan tradisional dikesan menawarkan pakej dua dalam satu, apabila turut menjual pil rangsangan seks dipanggil ‘Pil Bollywood’ yang didakwa boleh menjadi lelaki gagah di ranjang.

Uniknya pil rangsangan seks berkenaan ditawarkan kepada pelanggan di kalangan lelaki yang teruja untuk mencubanya selepas dipujuk gadis tukang urut yang mendakwa pil berkenaan mampu memberi kesan serta-merta selepas dimakan.

Hasil risikan mendapati pil rangsangan seks haram yang tidak berdaftar itu mula diseludup masuk ke negara ini dari India sejak beberapa bulan lalu selepas didakwa mempunyai ‘power’ lebih hebat daripada pil Viagra atau Cialis.

Kegiatan penyeludupan pil rangsangan seks berkenaan dikesan sepasukan tiga pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melakukan serbuan di sebuah rumah urut di Damansara di sini, minggu lalu.

Dalam operasi jam 2 petang itu, pegawai penguat kuasa yang bertugas mendapati premis berkenaan menjadi lokasi tumpuan golongan lelaki tempatan yang ingin mendapatkan khidmat mengurut badan.

Pemeriksaan mendapati, tugas mengurut berkenaan dilakukan beberapa gadis muda dalam bilik bertutup bagi kononnya untuk memberi ‘ketenangan’ kepada pelanggan.

Sumber memberitahu Harian Metro, siasatan terhadap premis berkenaan kemudian menemui ratusan pil rangsangan seks haram yang disimpan dalam kotak.

“Maklumat diterima mendapati pil berkenaan dihasilkan daripada sejenis ekstrak alkaloid yang digunakan dalam amalan perubatan tradisional India. Ekstrak berkenaan kononnya diyakini mempunyai kehebatan melonjakkan keinginan syahwat lelaki.

“Bagaimanapun, ekstrak kimia berkenaan dikesan berbahaya kepada kesihatan berikutan mengandungi sejenis racun alkaloid dipanggil solanaceous,” katanya.

Menurutnya, selain pil rangsangan seks tidak berdaftar itu, pihak pegawai penguat kuasa turut merampas enam jenis produk lain yang turut tidak mendapat kelulusan KKM.

“Maklumat diterima mendapati produk itu mula diseludup masuk ke negara ini dari India dan disahkan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM.

“Siasatan mendapati taktik sindiket penyeludupan pil rangsangan seks ini ialah dengan bertopengkan sebuah rumah urut tradisional bagi memudahkan pil berkenaan dipasarkan,” katanya.

Malah menurutnya, siasatan turut mendapati pihak yang menguruskan rumah urut berkenaan turut menggunakan gadis tukang urut dari India untuk melakukan tugas memicit badan.

“Berdasarkan soal siasat, produk berkenaan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelanggan rumah urut berkenaan.

“Setiap biji pil berkenaan dikesan dijual dengan harga sekitar RM50 kepada pelanggan yang berminat untuk mencubanya,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan hampir dua jam itu menemui ratusan biji pil berkenaan yang dianggarkan bernilai RM2,000.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000,” katanya.

Difahamkan, pil rangsangan seks terbabit turut boleh memberi kesan negatif kepada jantung sama seperti pil Viagra yang boleh mengakibatkan beberapa gejala buruk dalam tempoh singkat.

Bahan kimia dalam pil berkenaan boleh menyebabkan tekanan darah menjadi terlalu rendah terutama terhadap individu yang menghidapi darah tinggi, sakit jantung dan kandungan lemak tinggi dalam badan.

Selain itu, ia boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit kepala, gangguan perut dan penglihatan, sakit otot, penyakit hati dan buta selain mati mengejut.

- HARIAN METRO

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.