Aida diberi kepercayaan di TV9


Menerusi program bual bicara secara santai itu Aida bertindak sebagai pengacara bersama Syamsul Ghau Ghau, Mr Os dan Din Beramboi. Sebagai individu yang baru mahu bertapak dalam bidang itu, Aida juga tidak terlepas daripada dikritik. Begitupun, bagi anak gadis kelahiran Kuantan, Pahang itu dia menganggapnya sebagai teguran positif supaya dia dapat memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi pada masa depan.

Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam program itu, Aida sendiri tidak terfikir akan diberi peluang untuk mengendalikan program itu memandangkan baru saja selesai menyertai program Gadis Melayu selain belum tamat belajar.

"Memang saya sendiri tidak menyangka apabila diberitahu untuk mengendalikan program itu. Sebaik mendapat tawaran itu saya jadi takut dan berasa tidak yakin untuk mengambil tawaran itu.

"Begitupun, atas dorongan dan bantuan penerbit serta rakan-rakan saya akhirnya meyakinkan diri untuk mencuba. Alhamdulillah selepas beberapa kali mencuba akhirnya ia berjalan lancar.

"Pada mulanya saya sangkakan percubaan pertama sebagai pengacara adalah mengendalikan program majalah atau yang lebih dengan program seperti Gadis Melayu.

"Walau bagaimanapun saya tetap akur dan menganggap ia sebagai peluang terbaik yang diberikan oleh pihak pengurusan TV9 sebagai permulaan dalam karier pengacaraan.

"Biarpun ada yang menganggap penampilan saya tidak sesuai pada program itu. Segala kritikan yang dilemparkan saya terima secara positif. Malah menjadikan ia sebagai perangsang untuk terus maju pada masa depan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai peranan Aida dalam program Apa Ke Halnya itu, menerusi program santai itu dia dengan karakter sempoi bersama gandingan pengacara pada hari itu akan membincangkan topik isu semasa dan relevan. Mengakui agak sukar bagi dirinya untuk berperwatakkan begitu walau bagaimanapun dengan bimbingan rakan pengacara yang lebih berpengalaman ia ternyata banyak membantu.

"Sudah tentu pengalaman bekerja dengan mereka yang berpengalaman seperti Abang Os, Syamsul dan Din Beramboi cukup berharga. Saya juga berasa bertuah kerana diberi peluang untuk mengendalikan program berkenaan," kata Aida yang menaruh impian mengendalikan program sendiri berbentuk majalah kewanitaan.

Ketika berkunjung ke meja hiburan RAP baru-baru ini, Aida mengakui mula berasa bahang kepenatan apabila terbabit dalam dunia penyiaran. Dia yang sebelum ini, terpaksa menangguhkan latihan amali untuk memberi tumpuan kepada penyertaan program Gadis Melayu bukan hanya bertindak sebagai pengacara sambilan malah bertugas mencari bahan berita dan terbabit dalam segala aspek di belakang tadbir.

"Hendak diikutkan saya sepatutnya menjalani latihan amali Disember lalu. Namun disebabkan terbabit dalam program Gadis Melayu saya terpaksa menangguhkannya. Jika tiada aral latihan amali ini akan berakhir pada Mei ini.

"Saya dapat rasakan bahan kepenatan. Soal populariti tidak juga. Begitupun, saya melalui pengalaman tersendiri ketika minggu pertama menjalani latihan amali di Unit Berita.

"Ketika sibuk membuat liputan ada di antara mereka yang mahu mengambil gambar bersama. Saya juga dapat merasai sendiri cabaran melakukan tugasan yang diberikan," katanya.

Pembabitan dalam bidang penyiaran disifatkan sebagai platform untuk memberi maklumat dan informasi kepada masyarakat. Justeru dia sentiasa menitik beratkan kandungan yang perlu disampaikan selain berharap mendapat maklum balas yang positif daripada penonton. Jika tiada aral Aida dijangka mengendalikan program berbentuk majalah, Kembara Gadis Melayu ke Capetown pada pertengahan tahun ini.



>Profil

NAMA PENUH: Khairul Noor Maidah Zali

TEMPAT LAHIR: Kuantan, Pahang

TARIKH LAHIR: 15 Ogos 1985

TINGGI/ BERAT: 158sm/ 47kg

ADIK-BERADIK: Anak ketiga daripada sembilan beradik

AKADEMIK: penuntut tahun akhir Ijazah Komunikasi, Universiti Utara Malaysia

PENCAPAIAN: juara program Gadis Melayu TV9

- HARIAN METRO

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.