Rabu, Mei 06, 2009

Anjing hutan di Felda Tenang balas dendam?


Mungkinkah anjing hutan yang membaham ternakan lembu di Felda Tenang di Besut, Terengganu mahu 'membalas dendam'?

Tanggapan itu mungkin pelik bunyinya, namun serangan haiwan tersebut agak luar biasa kerana ia hanya menyerang ternakan milik peneroka tanah rancangan itu dan tidak mengganggu ternakan di beberapa kampung berhampiran.

Corak serangan anjing hutan itu juga agak aneh kerana ia cuma memakan hati dan limpa lembu ternakan penduduk di situ tetapi tidak membaham dagingnya.

Kosmo! difahamkan, ketika kawasan Felda tersebut dibuka kira-kira 40 tahun lalu, peneroka di tanah rancangan itu didakwa pernah menggunakan khidmat anjing untuk melindungi tanaman dan tempat tinggal mereka daripada ancaman binatang buas.

Bagaimanapun, selepas beberapa lama, anjing tersebut dikatakan dibuang oleh peneroka di situ dan haiwan itu terpaksa mencari makanan sendiri di sekitar hutan berhampiran.

Cerita ini diakui oleh Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Faizoull Ahmad yang menyifatkan sudah menjadi kebiasaan para peneroka di kawasan itu memelihara anjing ketika mula-mula membuka tanah di situ.

"Anjing digunakan untuk menjaga tanaman mereka daripada ancaman binatang liar lain. Apabila sudah tidak diperlukan, tuan punya anjing membuang haiwan itu tanpa dijaga.

"Boleh jadi selepas beberapa tahun, apabila haiwan itu membentuk satu kumpulan ia kembali menyerang binatang ternakan penduduk untuk terus hidup,'' katanya kepada Kosmo! semalam.

Gerombolan haiwan tersebut dikatakan keluar menjelang malam dan memasuki ladang untuk menyerang lembu milik penduduk dan ada dakwaan kumpulan itu turut keluar pada waktu siang membahayakan nyawa peneroka.

- KOSMO!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.