Shamshahrin - Jurufoto berjaya


Bagi Shamshahrin Shamsudin, 38, setiap hari yang dilalui mempunyai keistimewaan tersendiri. Memulakan kerjaya selaku jurufoto untuk akhbar The Star, khidmatnya kini lebih besar apabila bertugas dengan agensi media antarabangsa, European Pressphoto Agency (EPA).

Mengakui pengiktirafan bertugas dengan agensi antarabangsa tidak mudah, Shamsahrin memberitahu beliau hanya mendapat peluang itu apabila foto-foto yang dimuat turun di dalam laman web flickr mendapat perhatian EPA.

"Agensi media antarabangsa memang tidak akan memaparkan tawaran jawatan kosong tetapi kita sendiri perlu berusaha.

"Karya yang saya masukkan di dalam flickr telah mendapat perhatian EPA dan dari situlah EPA menghubungi dan menawarkan peluang menjadi jurufoto mereka," jelasnya yang juga pernah bekerja dengan AFP pada tahun 1999 sehingga 2000.

Foto persiapan menyambut 31 Ogos yang dilakukan di sekitar ibu kota ibarat foto keramat bagi Shamsahrin. Selain foto itu yang membolehkan Shamsahrin bertugas di EPA, gambar tersebut juga terpilih sebagai gambar terbaik yang disiarkan dalam majalah TIME.

Apakah perbezaan bekerja dengan akhbar tempatan dan agensi antarabangsa? Beliau menjelaskan perbezaannya memang ketara.

Ini kerana menjadi sebagai jurugambar agensi antarabangsa anda haruslah mendapatkan sendiri bahan yang memenuhi kriteria media luar negara.

Berbeza pula dengan jurugambar media tempatan, apabila segala tugasan harian mereka sebenarnya telah diberikan oleh ketua unit masing-masing.

"Inilah perkara yang membezakan saya dengan jurugambar tempatan. Saya perlu berusaha sendiri untuk mendapatkan gambar-gambar yang berpotensi untuk tatapan antarabangsa," ulasnya.

Mengorek lagi rahsia kejayaannya itu, Shamshahrin memberitahu, bukan mudah sebenarnya untuk melibatkan diri dan memperhebatkan kerjaya seorang jurugambar antarabangsa.

"Sebelum ke tempat yang ditugaskan, saya dah sediakan apa yang perlu saya lakukan dan bagaimana gambar yang ingin saya rakamkan. Barulah kerja kita mencapai matlamat dan kepuasan," jelasnya.

Sudah 20 tahun berkecimpung dalam bidang fotografi, Shamshahrin yang tidak lokek berkongsi pengalaman menjelaskan, beliau sentiasa diingatkan untuk berfikir jauh dan memandang tinggi nilai budaya negara sendiri.

"Kita jangan ambil gambar mengikut cita rasa kita sahaja. Kita perlu tengok dari sudut kaca mata orang luar," ujarnya ringkas.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.