Rabu, April 08, 2009

Nik Aziz kata tidak salah - Kor Ming

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming semalam mendakwa kononnya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahunya bahawa beliau boleh memetik ayat al-Quran walaupun beliau bukan beragama Islam.

“Tok guru Nik Aziz sendiri telah menjelaskan kepada saya bahawa memetik ayat Quran tidak bersalah,” katanya kepada pemberita semalam ketika diminta mengulas bantahan umat Islam berikutan tindakannya membaca ayat al-Quran dalam satu ucapan baru-baru ini.

Beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Kor Ming kerana disifatkan telah melampaui batas.

“Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, cuba dihalang,” katanya.

Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang berkata, isu itu tidak perlu diperbesar-besarkan.

“Apa yang berlaku ialah intonasi dia dan cara sebutan tersalah. Itu bukannya isu besar...kalau salah betulkanlah. Kalau salah baca dan terus suruh hentikan, bila seseorang itu nak fasih dan nak jadi pandai?” katanya.

Beliau berkata, dalam isu ini, kesalahan yang berlaku adalah kecil dan tidak disengajakan.

“Lainlah kalau seseorang itu bermain-main menggunakan ayat al-Quran, barulah salah,” katanya.

Ahmad berkata, Kor Ming selalu merujuk kepadanya berkaitan ayat-ayat al-Quran yang mempunyai prinsip-prinsip diperjuangkan oleh pakatan pembangkang iaitu amanah, keadilan, telus, kebajikan dan integriti.

Di Kota Bharu, Nik Abdul Aziz berkata, beliau menganggap tidak salah jika bacaan Kor Ming tidak betul.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sesiapa sahaja boleh membaca al-Quran, soal betul atau tidak dari segi tajwid atau sebutannya boleh diperbaiki supaya menepati hukumnya.

“Sesiapapun boleh baca al-Quran sama ada orang Islam atau bukan Islam, dan al-Quran bukan hak orang Melayu atau orang Arab, cuma bahasa al-Quran kebetulannya bahasa Arab, maka kelihatan ganjil jika dibaca orang bukan Islam yang biasanya tidak tahu bahasa Arab,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, orang Melayu sendiri pun kadang-kadang tidak betul bacaan al-Quran kerana tidak belajar dari segi hukum bacaannya.

“Malah zaman Nabi Muhammad dulu pun orang-orang kafir turut membaca al-Quran. Abu Jahal yang menentang Islam sendiri pun boleh baca al-Quran, soal persenda atau tidak itu terletak kepada perspektif atau pandangan masing-masing,” katanya.

- BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts