One In A Million (OIAM3) hapuskan imuniti


Jika minggu-minggu sebelum ini ada di kalangan peserta 'diselamatkan' dengan tiket imuniti, tetapi bermula minggu lalu, keenam-enam peserta One In A Million musim ketiga (OIAM 3), berisiko untuk disingkirkan apabila imuniti dimansuhkan.

Keputusan tersebut diumumkan oleh juri tetap rancangan itu, Syafinaz Selamat pada awal konsert mingguan OIAM 3, yang turut disiarkan secara langsung di 8TV.

Enam peserta yang masih bertahan hingga kini ialah Tomok, Esther, Amylea, Nine, Aweera dan Simon.

Bercakap pada sidang media yang diadakan sejurus tamat konsert tersebut, Syafinaz memberitahu pemansuhan imuniti yang sebelum ini dipertanggungjawabkan kepadanya dan Paul Moss telah dirancang terhenti setakat minggu lalu.

"Perkara ini memang telah dirancang hanya setakat minggu lalu kerana menghala kepada peringkat akhir, kita mahu peminat yang tentukan juara," katanya.

Mengulas mengenai persembahan barisan peserta pada malam itu, menurut Syafinaz, kesemua peserta mempunyai suara yang bagus.

Malah, kata Syafinaz, tiga persembahan pertama iaitu Tomok menerusi lagu yang dipopularkan oleh Rihanna, Umbrella, Amylea (Somewhere Only We Know), dan Esther dengan lagu Sweet About Me, mempamerkan persembahan yang baik.

"Kebanyakan mereka mempunyai suara yang bagus. Malah, tiga persembahan pertama pada malam ini adalah yang terbaik.

"Mungkin juga kerana bermula dengan tiga persembahan yang baik memperlihatkan seperti persembahan tiga lagi peserta yang terakhir tidak mencapai tahap yang diharapkan," katanya.

Tomok, Amylea ke akhir?

Bercerita mengenai persembahan Tomok yang jelas mempamerkan peningkatan saban minggu, kedua-dua juri tetap rancangan itu mengakui teruja menantikan persembahan vokalis kumpulan Newboyz itu.

"Setiap minggu saya teruja dengan persembahannya yang menarik.

"Dia menerima kritikan pihak juri sebaiknya untuk memperbaiki kelemahan diri.

"Tomok menjadikan lagu-lagu yang dinyanyikan sesuatu yang berbeza dari penyanyi asal dan inilah yang kita mahukan, sesuatu yang segar dan baru," kata Syafinaz.

Selain teruja menyaksikan persembahan Tomok, Paul Moss ketika mengkritik persembahan Tomok, secara lantang menyuarakan mahu melihat Tomok beraksi di pentas akhir rancangan itu.

Jika Paul Moss menyatakan mahu melihat Tomok beraksi di peringkat akhir, Syafinaz pula menyatakan hasratnya untuk melihat Amylea di pentas keramat itu.

"Hari ini saya dapat lihat anda semakin dewasa di atas pentas.

"Bila Paul kata nak tengok Tomok ke final, saya rasa anda pun patut ke final," kata Syafinaz ketika mengkritik persembahan Amylea.

Rizu rancang keluarkan album

Biarpun tersingkir, namun jejaka bertubuh kecil itu sedikitpun tidak mahu mengalah memperjuangkan minatnya terhadap muzik.

"Apa yang terjadi, saya terima sebaiknya dan saya sebelum ini dah tetapkan dalam minda menerima apa saja keputusan untuk diri saya.

"Insya-Allah, saya ada perancangan lain untuk kerjaya seni. Saya akan teruskan proses pengeluaran album solo saya yang sebelum ini tertangguh selama enam tahun.

"Terima kasih kepada juri, Syafinaz dan Paul di atas setiap komen-komen mereka kerana dengan komen merekalah membuatkan saya jumpa siapa diri saya yang sebenar," kata pemenang trofi Artis Harapan Anugerah Industri Muzik 2006 itu lagi.

Malah, Rizu turut memberitahu kontraknya bersama Broadway Entertainment akan tamat bulan ini.

"Saya bakal berjumpa dengan Boon Tan untuk berbincang dan dilepaskan," katanya.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.