Khamis, Mac 05, 2009

Pakatan Rakyat akui sukar pilihan raya serentak

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui Pakatan Rakyat sukar untuk menang pilihan raya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai, kerana ketiga-tiganya diadakan serentak.

Serentak itu, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sengaja menetapkan tarikh tiga pilihan raya kecil itu serentak bagi memudahkan Barisan Nasional (BN) menang.

Sambil menuduh SPR menjadi alat kepada BN, beliau berkata, tarikh pilihan raya kecil Batang Ai, sepatutnya dibuat berasingan daripada Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

"Apa boleh buat, SPR hanya alat saja. Tapi, kita akan lawan, lagipun rakyat semakin matang," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan SPR yang menetapkan penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 29 Mac ini dan pengundian pada 7 April ini.

Ia bermakna pilihan raya kecil itu akan dilakukan serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan DUN Bukit Selambau di Kedah.

Pilihan raya kecil Batang Ai dibuat berikutan kematian penyandangnya, Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Dublin Unting, pada 24 Februari lalu berikutan angin ahmar.

Guan Eng berkata, SPR sepatutnya berpegang kepada janji asal suruhanjaya itu untuk mengadakan pilihan raya Batang Ai secara berasingan.

Beliau mendakwa, SPR sengaja mewujudkan keadaan situasi itu bagi meletakkan Pakatan Rakyat dalam keadaan sukar kerana jentera mereka tidak sehebat jentera BN.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts