Khamis, Mac 05, 2009

Majlis agama Islam boleh ambil tindakan bukan Islam guna perkataan Allah

Majlis agama Islam negeri boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang menggunakan perkataan Allah, Baitullah, solat dan Kaabah dalam sebarang bentuk penerbitan bukan Islam.

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata ia diputuskan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini dan sudah diwartakan di sebanyak 10 negeri kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

"Tindakan boleh dibuat mengikut enakmen tertentu jika mendapati ada pihak cuba menggunakan perkataan itu menyebarkan dakyah agama lain kepada umat Islam.

"Ia sejajar larangan penggunaan perkataan Allah, Baitullah, solat dan Kaabah kepada mana-mana agama lain selain Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya pada sidang media, semalam.

Beliau dilantik memegang jawatan itu sejak 2 Februari lalu untuk selama dua tahun menggantikan Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.

Isu penggunaan perkataan Allah timbul selepas akhbar mingguan Herald Catholic bertindak menggunakan perkataan itu dalam edisi terbitan bahasa Melayunya.

Bagaimanapun, minggu lalu Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan serta-merta pewartaan perintah yang membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan agama Kristian.

Mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bukan Islam boleh menggunakan perkataan Allah bagi merujuk kepada Tuhan, beliau berkata ia sangat mengelirukan dan boleh menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Abdullah berkata, istilah Allah tidak boleh digunakan bukan Islam kerana perkataan itu perlu berasaskan kepada konsep tauhid.

"Kenyataan Nik Aziz itu menyentuh kesucian agama Islam dari segi iktikad atau kepercayaan umat Islam bahawa Allah itu tiada anak dan tidak diberanakkan serta tiada sekutu bagiNya.

"Memang masyarakat jahiliah ada menggunakan nama Allah sejak zaman Rasulullah, tetapi dalam bentuk yang salah dan menyeleweng seperti mengatakan Allah mempunyai anak dan diperanakkan dan malaikat adalah anak perempuan Allah," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.