Khamis, Mac 05, 2009

Merak Hijau di Tasik Kenyir


Tasik Kenyir yang terletak di daerah Hulu Terengganu akan menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menjadi habitat baru burung Merak Hijau selepas usaha pembiakan semula spesies yang sudah dilaporkan pupus di negara ini sejak akhir 1960-an kini mula membuahkan hasil.

Burung Merak Hijau berkenaan dijangka dilepaskan pada masa terdekat di kawasan seluas kira-kira 15,000 hektar di sekitar Sungai Ketiar, Tasik Kenyir yang juga terletak berdekatan dengan lokasi kegemaran pemancing iaitu Sungai Cacing, Sungai Pertang dan dan Pusat Santuari Gajah.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata program pemuliharaan Merak Hijau atau nama saintifiknya `pavo muticus' secara usaha sama antara kerajaan negeri dan sebuah syarikat swasta dijangka bakal mengembalikan semula spesies burung yang sebelum ini pernah mendiami hutan negeri ini serta akan menyuntik nilai tambah kepada pelancongan di Tasik Kenyir.

"Bagaimanapun kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Perhilitan bagi memastikan undang-undang yang lebih tegas dapat dikuatkuasakan bagi memastikan setiap Merak Hijau yang dilepaskan dapat membiak dengan selamat dan tidak menjadi mangsa pemburu atau mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Pelepasan Merak Hijau di Sungai Ketiar Tasik kenyir antara Kerajaan Negeri dan Taman Kuang Ajil Enterprise di sini, semalam.

Memeterai MoU itu, kerajaan negeri diwakili Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Datuk Adzlan Dagang manakala Taman Kuang Ajil Enterprise diwakili pengurusnya, Oh Siong Lai.

Ahmad berkata, melalui kerjasama itu, Taman Kuang Ajil akan membekalkan spesies Merak Hijau untuk dilepaskan ke Tasik Kenyir sebanyak 10 ekor setahun dan sebagai balasan Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan untuk membina sangkar asuhan di taman burung berkenaan serta peruntukan sebanyak RM24,000 setahun bagi perbelanjaan penjagaan dan makanan burung berkenaan.

Mou itu merangkumi tempoh selama tiga tahun bermula tahun lalu dan akan berakhir pada 2010.

Katanya, melalui persefahaman itu juga dijangkakan sebanyak 30 ekor Merak Hijau akan dilepaskan hidup secara bebas di Sungai Ketiar Tasik Kenyir, yang mana dalam tempoh tiga tahun akan datang kawasan itu akan menjadi habitat baru burung spesies itu.

Beliau berkata, diharapkan program itu akan menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan mempromosikan lagi Tasik Kenyir selain menjadikan sektor pelancongan sebagai tulang belakang dalam menjana ekonomi negeri.

Sementara itu, Oh berkata, baka asal burung berkenaan diperoleh daripada sebuah pusat pembiakan burung di Jerman pada 2001 dan melalui ujian DNA yang dijalankan, baka Merak Hijau yang terdapat di pusat berkenaan adalah sama dengan baka yang pernah wujud di negara ini.

"Jangka masa matang Merak Hijau adalah tiga tahun dan musim mengawan adalah antara Januari hingga Mac setiap tahun.

"Setakat ini Tasik Kenyir dikenal pasti sebagai lokasi yang cukup sesuai untuk dijadikan habitat baru Merak Hijau kerana persekitaran serta keadaan alam semula jadinya yang jauh daripada gangguan," katanya.

- BERITA HARIAN

1 ulasan:

  1. Hello!
    Apakah situasi semasa?
    Berapa ramai yang ada burung merak dalam rizab sifat?
    Ia adalah di sana untuk pembiakan dalam rizab pada tahun 2012?

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.