Ahad, Februari 15, 2009

Wawancara dengan Prowaris - Kriteria memilih pemimpin

Golongan muda kini dilihat semakin menjarakkan diri dari menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan pandangan mereka ini telah dizahirkan ketika pilihan raya umum 2008.

Namun timbul persoalan apakah golongan muda ini benar-benar membenci UMNO dan BN atau mereka semata-mata terpengaruh dengan dakyah yang dimainkan pembangkang? Apakah kemajuan dalam teknologi maklumat seperti internet dan sistem pendidikan turut menjadi penyumbang kepada faktor ini .

Persoalannya sekarang mampukah UMNO dan BN bangkit kembali menjadi wadah perjuangan yang memenuhi inspirasi dan aspirasi golongan muda dan apa yang perlu dilakukan bagi menarik kepercayaan mereka.

Bagi mengupas persoalan ini, Mingguan Malaysia telah mengadakan sesi Sembang Politik bersama tiga ahli panel terdiri daripada Presiden Prowaris, Feris Omar, Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Malaysia (MBM) Irmohizam Ibrahim dan penganalisis politik, Khairuddin Mohammad Zain bagi mendapatkan pandangan dan berkongsi pendapat mengenai isu berkaitan pembabitan golongan muda dalam arena politik tanah air.

Sesi ini yang telah dikendalikan oleh Pengarang Mingguan Malaysia, ZIN MAHMUD dan wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSEIN, ZULKIFLEE BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID, turut membincangkan apa ciri-ciri seorang pemimpin yang diinginkan oleh golongan muda sekarang.

MINGGUAN: Sejak pilihan raya pada 8 Mac lepas hinggalah sekarang berlaku perubahan di kalangan generasi muda terutama melalui teknologi moden yang menuntut cara kepimpinan yang berbeza. Adakah ini realiti atau ia sekadar persepsi sahaja? Atau pun hanya teknologi yang membenarkan perbezaan ini atau mungkin kerana pendidikan yang semakin berkembang menyebabkan perlunya perubahan ini di kalangan orang muda?

IRMOHIZAM: Pada pandangan saya, kita perlu melihat dari segi landskap politik negara khususnya selepas pilihan raya lepas dan diikuti dengan apa yang berlaku di Permatang Pauh, di Kuala Terengganu, dan di Perak sekarang.

Dari segi demografi jumlah penduduk Malaysia sekarang berjumlah 27 juta dan mengikut statistik yang saya kaji jumlah peningkatan penduduk muda adalah sebanyak 1.6 peratus dan golongan muda di bawah umur 40 tahun adalah seramai 11.3 juta. Dijangka pada 2013 golongan muda ini akan menjadi majoriti yang akan mewarnai senario politik negara ketika itu. Generasi muda ketika ini lebih bersikap global pemikirannya berikutan dengan berkembangnya pengaruh teknologi maklumat (IT).

Namun bagi saya, semua ini bukan hanya membabitkan pengaruh IT sahaja tetapi lebih kepada apa yang telah berlaku sebelum ini. Jika kita lihat selepas 1999 sehingga hari ini ada kesinambungannya.

Pertama, sekali kita boleh lihat dari segi bagaimana golongan muda ini memahami pendidikan berdasarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu sendiri. Adakah mereka melihat sama ada DEB itu sesuatu yang merugikan atau menyebabkan mereka memikirkan cara lain untuk menghayati sesuatu kerajaan.

Keduanya, dari segi sistem pendidikan kita bermula dari peringkat sekolah hingga ke peringkat pendidikan tinggi, memberi ruang pemikiran kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda untuk berfikir ke arah yang lebih baik atau mencabar.

Ketiganya, revolusi IT turut memberi impak kerana sebagai contoh jika kita lihat pada 1969 berlaku perubahan pada pucuk pimpinan di sesetengah tempat namun kerana tiada kemudahan IT, rakyat ketika itu tidak dapat maklumat secara terus. Mereka hanya dapat maklumat dari masa ke semasa.

Namun hari ini dengan mengambil contoh apa yang berlaku di Perak, kemampuan IT membekalkan maklumat secara terus mengenai apa yang berlaku. Oleh itu bagi saya dari segi kepimpinan akan datang generasi muda mahukan dua perkara, pertama pemimpin yang mampu mengubah manusia (human transform). Atau dalam kata lain mereka mahu pemimpin yang boleh memberi harapan untuk mengubah contohnya dari aspek sosial, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Kedua dari segi perubahan budaya (culture builder) di mana mereka memerlukan pemimpin yang boleh mengubah satu budaya dalam masyarakat atau negara ke arah yang progresif. Golongan muda ini merasakan perlu untuk mengikut budaya yang ditonjolkan pemimpin mereka untuk diaplikasikan kepada diri mereka sendiri. Dua perkara ini yang saya rasakan sangat diperlukan oleh generasi muda untuk memimpin mereka.

Apakah ciri-ciri yang golongan muda rasakan perlu ada bagi seorang pemimpin berdasarkan keputusan pilihan raya lepas dan apakah kualiti pendidikan golongan muda dan perkembangan dunia moden sekarang mempengaruhi ciri-ciri ini?

FERIS: Sebelum itu, berdasarkan kajian yang telah Prowaris lakukan dua minggu sebelum pilihan raya 2008, kami dapati Barisan Nasional (BN) akan kalah. Kami telah menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tentang pelbagai isu dan masalah yang berlaku.

Kami merumuskan kepincangan akibat pilihan raya lepas adalah akibat protes yang ditunjukkan rakyat Malaysia terhadap kepimpinan tertinggi BN. Apabila Abdullah mengumumkan untuk meletakkan jawatan, kemungkinan protes rakyat ini tidak akan berpanjangan pada Pilihan Raya Umum Ke- 13.

Kita sebenarnya berhadapan dengan generasi yang berpegang kepada fakta dan kenyataan yang sahih. Jika tidak ada kesesuaian dengan fakta dan kenyataan, akan berlaku masalah dan kemudiannya timbul penolakan seperti apa yang berlaku sekarang bila mana golongan muda menolak UMNO dan BN kerana kerajaan gagal memberikan fakta dan kenyataan yang mereka inginkan.

Bagi saya falsafah perjuangan kami di Prowaris ialah bersandarkan al-Quran dan hadis. Itu adalah ciri-ciri dan jati diri pemimpin yang kami mahukan. Ciri-ciri tambahan ialah beliau mesti percaya bahawa Allah yang memberikan rezeki kepada kita, keduanya kita kena bekerja seolah-olah tiada esok kerana amanah yang dipegang dan yang ketiga dahulukan apa yang patut dan kemudiankan apa yang patut. Kita dahulukan apa yang perlu didahulukan seperti pertamanya tuhan, kemudian keluarga, jiran dan baru orang jauh.

Tapi senario politik sekarang kita dahulukan orang jauh tetapi kita gagal menguruskan keluarga kita, bercelaru. Inilah kriteria-kriteria yang perlu dimiliki oleh pemimpin melayu sekarang tetapi hakikatnya kualiti ini sudah semakin pupus.

Terdapat pemimpin yang sibuk dengan pelbagai falsafah dan teori namun beliau sendiri gagal menjawab soalan asas yang mudah, siapakah beliau sebagai seorang melayu? Macam mana nak jadi pemimpin jika beliau masih gagal mengenali dirinya sendiri sebagai seorang melayu.

Adakah mungkin golongan muda melihat ciri-ciri kepimpinan yang mereka mahukan ini ada pada pembangkang seperti Pas dan DAP?

KHAIRUDDIN: Pada pandangan saya ciri-ciri yang yang golongan muda mahukan ini adalah satu persepsi. Namun keadaan politik semasa sekarang ini adalah satu realiti. Golongan muda ini mahukan perubahan dan penerapan nilai-nilai baru.

Mereka tidak mahu pemimpin yang masih lagi dipengaruhi nilai dan perangai lama yang tidak lagi relevan dalam dunia sekarang. Alasannya ialah tidak kira sama ada di bandar atau di luar bandar sistem penilaian orang sudah berbeza. Jika dulu kita letakkan siapa saja calon untuk bertanding bagi pihak UMNO dan BN dalam pilihan raya, rakyat akan pilih.

Namun sekarang ia tidak berlaku. Sistem pendidikan menyumbang kepada tindakan ini kerana negara kini memiliki jumlah profesional yang ramai dan terdidik tanpa mengira bangsa dan keturunan. Persepsi kebanyakan mereka sudah biasa dengan sistem penarafan seperti indeks petunjuk prestasi (KPI) yang diguna pakai di syarikat besar dan sebagainya. Mereka ada sasaran dan matlamat yang perlu dipenuhi bagi mencapai piawaian yang telah ditetapkan.

Teknik yang sama inilah yang mereka gunakan untuk menilai wakil rakyat. Pilihan raya lepas merupakan sesuatu yang dilakukan pada dasarnya tidak tepat dan sesuai dengan kehendak semasa. BN dipenuhi dengan pelbagai isu dan kes dan bagi saya isu yang paling teruk sekali membabitkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, yang terlibat dalam skandal seks.

Ini sesuatu yang memalukan. Mungkin terdapat perselisihan pendapat sama ada isu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menghunus keris sebagai sesuatu yang salah atau tidak tetapi dalam kes membabitkan Soi Lek, hakikatnya ia adalah salah dan tidak bermoral. BN terpaksa menanggung persepsi buruk sebegini. Kita terpaksa menanggung masalah persepsi di mana-mana. Perkara ini kita lihat sangat banyak di dalam internet dan blog. Contoh paling terbaru ialah apa yang berlaku di Perak, golongan muda ini banyak meluahkan pandangan dan pendapat mereka melalui medium ini.

BN boleh memberi sebarang jawapan dan nas yang betul bagi pihak mereka tetapi persepsi orang ramai melihat apa yang berlaku di Perak ini sebagai salah. Sebelum ini Anwar Ibrahim yang memulakan tindakan lompat parti dengan menarik ahli Parlimen BN menyertai pakatan pembangkang namun orang tidak melihat ia sebagai sesuatu yang salah. UMNO setakat ini masih lemah dan gagal dalam memberikan penerangan dan menukar persepsi ini terutama membabitkan orang muda.

Contoh lain ialah seperti pembinaan lapangan terbang tambang murah baru di Labu. Orang ramai hanya melihat siapa di belakang tabir, siapa yang mempunyai kaitan, macam-macam orang mengata tentang perkara ini namun persepsinya tetap yang negatif. Ini antara lain memberi kesan terhadap kewibawaan kerajaan dan BN. Mungkin sudah sampai masa untuk kerajaan memantau atau memberi penjelasan melalui medium yang sesuai.

Bagi saya paling penting UMNO dan BN perlu membina semula jati diri dengan kembali menyemai semangat jiwa melayu. Ciri-ciri kepimpinan ini perlu ada bagi seorang pemimpin bermula dari peringkat tertinggi sehinggalah ke akar umbi. Latihan untuk menguatkan kembali nilai jati diri perjuangan dalam UMNO perlu dihidupkan semula dengan pengisian yang lebih jelas.

Semangat melakukan sesuatu dengan sukarela (volunteerism) semakin kurang dalam UMNO dan ciri inilah yang perlu dihidupkan semula kerana jika kita mengambil contoh Pas, ahli-ahli mereka sangat ikhlas bekerja, istiqomah dan tidak mengharapkan balasan. Ini yang tidak ada dalam perjuangan UMNO sekarang kerana terlalu mengharapkan balasan. Inilah realiti yang berlaku di dalam UMNO sekarang. Ini bukan lagi satu persepsi dan mereka perlu berubah jika masih lagi mahu memegang kuasa.

Perjuangan membabitkan golongan muda ini bukan sesuatu yang baru malah telah bermula dari sebelum merdeka. Namun kebanyakan pemimpin muda ini dilihat semakin tenggelam setelah mendapat jawatan dan pangkat. Bagaimana anda melihat perkara ini?

FERIS OMAR: Saya bersetuju dengan pandang ini. Saya sentiasa diasuh dan juga minta “dibasuh” oleh ikon politik seperti Tun Dr. Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Shahrir Samad. Bagi saya alang-alang nak tukar buatlah yang terbaik kerana kita perlukan pemimpin yang sebenar dan teguh kerana keadaan politik sekarang adalah sukar apatah lagi jika dikaitkan dengan golongan muda.

Kita perlu “restructure” kembali UMNO dan BN bersesuaian dengan keadaan dan kehendak semasa jika masih ingin terus berkuasa. Kita perlu berjihad dalam melakukan perkara ini kerana UMNO perlu berubah tetapi ia perlu dilakukan dalam keadaan terkawal. Pemimpin baru ini perlu konsisten dan berpegang dengan apa yang dijanjikan dan diperjuangkan.

Apa komen orang muda tentang budaya politik UMNO, mungkin ramai yang beranggapan UMNO ini “cakap tak serupa bikin” contohnya tentang politik wang dan sebagainya?

KHAIRUDDIN: Saya fikir persepsi terhadap UMNO tidak sampai ke tahap terlalu buruk tetapi setiap keputusan yang diputuskan oleh UMNO mestilah diikuti dengan baik oleh ahli dan sayapnya. Contohnya apabila UMNO cakap mengenai politik wang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ambil tindakan, keesokannya ada sekumpulan pemuda buat demonstrasi membantah tindakan ini.

Tindakan ini tidak sehaluan dengan keputusan yang diputuskan UMNO dimana ahli sendiri menolak keputusan ini. Apa mesejnya kepada rakyat dan orang muda? Saya tidak kata ia telah mencapai situasi terlalu teruk tetapi ia boleh di perbaiki dan UMNO perlu bertindak pantas kerana ia umpama barah yang akan merebak dengan pantas jika tiada sebarang langkah untuk mengawal kegiatan seperti politik wang ini.

Golongan muda ini suka kepada sikap tanggung jawab dan ketelusan tetapi jika kita melihat di Pulau Pinang dan Selangor sekarang ini adakah kerajaan di sana memerintah dan bersikap telus? Adakah bekas Menteri Besar Datuk Seri Ir. Mohammad NizarJamaluddin benar-benar menjadi Menteri Besar atau dia hanya memerintah sebagai proksi kepada DAP. Namun semua ini mempunyai kaitan dengan sistem penilaian dan persepsi.

Golongan muda menzahirkan ketidakpuasan hati ini melalui medium internet dan sebagainya dan BN perlu menjelaskan kembali dengan lebih menyeluruh dan responsif supaya golongan muda ini dapat menilai semula persepsi dan penilaian mereka selama ini. Ini penting kerana politik dan persepsi orang muda sekarang sangat jauh berbeza dan jika BN lambat bertindak ia pasti akan mengeruhkan lagi keadaan.

Pemimpin UMNO perlu membuktikan mereka berupaya untuk melakukan apa yang mereka kata dan janjikan. Kita tidak mahu pemimpin yang cakap tak serupa bikin seperti ini dalam UMNO kerana mereka ini perlu menunjukkan contoh dan teladan terbaik yang seharusnya menjadi ikutan rakyat.

Apakah golongan muda ini akan terus tenggelam dengan persepsi dan kemarahan mereka dan apakah yang perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan mereka?

IRMOHIZAM: Saya secara dasarnya yakin dan percaya golongan muda masih sayang dan percaya pada UMNO dan BN berdasarkan “track record” yang telah ditunjukkan sebelum ini. Dari segi falsafah perjuangan dan perlembagaan UMNO dan BN itu sendiri itu tidak ada salahnya namun akibat dari kesilapan sesetengah pemimpin dan juga persepsi yang dibuat berdasarkan pengalaman golongan muda ini menyebabkan mereka terasa dan “terluka di hati” dan kemudian merebak menjadi barah yang kemudian bertukar menjadi kecewa dan marah.

Namun sebenarnya masih ramai lagi barisan pemimpin muda UMNO yang boleh diharap dan dilihat mampu membawa perubahan terutama selepas pemilihan UMNO tidak lama lagi. Apa yang penting barisan kepimpinan baru ini dapat menjiwai dan mengangkat ketokohan mereka sejajar dengan nilai perjuangan UMNO sendiri. Pemimpin ini mesti mempunyai kredibiliti untuk mengembalikan kepercayaan golongan muda untuk kembali menyokong UMNO.

Orang muda ini sememangnya dikenali dengan sifat cepat sensitif dan anti-establishment. Namun ini tidak bermakna mereka tidak sayangkan negara, kerajaan serta UMNO tetapi mereka beranggapan suara mereka tidak didengari dan mereka berpandangan jika sesuatu yang difikirkan baik untuk negara mengapa ia tidak dilaksanakan. UMNO dan BN perlu merapatkan hubungan mereka dengan golongan ini supaya mereka tidak lagi merasa terpinggir dan diketepikan.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts