Komentar - Ke arah mana Pemuda PAS selepas ini?

Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Dewan Pemuda Pas pusat pada tahun 2006, Ketuanya, Salahuddin Ayup dengan tegas mempertikaikan sikap kepimpinan parti itu yang dilihat terlalu lambat melakukan pendekatan bagi menerajui kebangkitan rakyat.

Salahuddin membuat teguran berkenaan kerana sepanjang berada di bawah kepimpinannya Pemuda Pas telah menerokai hubungan, melaksanakan engagement dan berinisiatif menggerakkan usaha menangani kelemut politik negara.

Berikutan kelantangan Salahuddin dan Dewan Pemuda Pas juga, suatu ketika sayap Pas tersebut pernah dianggap oleh Presiden Parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai mempunyai semangat pepsi cola. Namun semua itu tidak melemahkan Salahuddin dan rakan-rakannya untuk terus memperkukuhkan perjuangan Pas dalam meraih sokongan rakyat.

Akhirnya, hasil daripada kesabaran itu, pilihan raya umum 2008 menyaksikan Pas mencatatkan kejayaan cemerlang, selain berjaya menawan Kedah dan mempertahankan penguasaan di Kelantan, Pas turut bersama-sama pakatan pembangkang menguasai Perak dan Selangor.

Kejayaan dalam pilihan raya umum lalu serta mengemudi jentera Pemuda Pas dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan tidak lama lagi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau akan menjadi tugas terakhir Salahuddin.

Ia kerana selepas tiga penggal menjadi Ketua Pemuda dan selama 28 tahun bergelumang dalam perjuangan Dewan Pemuda Pas, Salahuddin akan berundur. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian bukannya bersara daripada politik tetapi ingin memberi peluang kepada generasi muda menerajui sayap parti itu.

Persoalannya, bagaimanakah bentuk kepimpinan Pemuda Pas selepas ini? Apakah segala yang dilakukan oleh Salahuddin akan diteruskan atau ia akan ditinggalkan begitu sahaja?

Pertanyaan ini sukar dijawab. Tetapi apa yang pasti biarpun hanya tiga penggal menjadi Ketua Pemuda berbanding Datuk Mustafa Ali yang memimpin selama tujuh penggal dan Abu Bakar Chik lima penggal, Salahuddin berjaya membentuk Pemuda Pas sebagai salah satu jentera parti yang paling berkesan dan dihormati.

Sikap terbuka Pemuda Pas dalam berhadapan dengan sesuatu isu telah menjadi bukti bagaimana Salahuddin berjaya menjadikan Pemuda Pas tidak menjadi gerakan yang terlalu agresif tidak bertempat.

Sebaliknya Pemuda Pas kini dikenali sebagai kelompok yang tegas menegakkan kebenaran dan menentang ketidakadilan tetapi dalam masa yang sama sentiasa mengamalkan sikap bersedia berunding dan bekerjasama dengan mana-mana juga pihak termasuklah Pergerakan Pemuda UMNO. Berikutan sikap keterbukaan ini yang sudah tentulah hasil daripada pendekatan Salahuddin, Pemuda Pas dilihat begitu mudah didekati masyarakat.

Oleh itu, siapa yang menggantikan Salahuddin harus mempunyai pendekatan yang sama. Mereka tidak boleh menggerakkan Dewan Pemuda Pas melalui pendekatan yang agresif sehingga tidak memberi ruang kepada usaha perundingan demi kebaikan rakyat. Selain itu pemimpin berkenaan juga perlu meneruskan perjuangan Salahuddin yang tidak mahu Pas hanya bersandarkan kepada slogan-slogan indah bagi menjana perjuangannya.

Apa yang paling penting ketegasan dan keberanian Pemuda Pas menegur pimpinan atasan harus diteruskan. Langkah itu bukanlah bertujuan untuk memecah-belahkan parti tetapi ia menunjukkan bahawa Pas mengamalkan sikap terbuka dalam memperbaiki kelemahannya. Selain agenda dalaman parti harus menjadi keutamaan, pengganti Salahuddin juga perlu meneruskan usaha-usaha menyatukan orang Melayu terutamanya mewujudkan persefahaman antara Pemuda Pas dan Pemuda UMNO dalam berhadapan suatu isu.

Dalam soal ini, penulis teringat pandangan beberapa pemimpin Pemuda UMNO yang menganggap Salahuddin adalah seorang pemimpin Pemuda Pas yang mudah didekati dan dibawa berbincang. Sikap inilah yang harus ada kepada pengganti beliau. Mungkin di dalam soal kepentingan kepartian masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza tetapi perbezaan berkenaan tidak harus diteruskan jika ia menyentuh kepentingan orang Melayu, umat Islam dan negara. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk melihat Pemuda Pas dan Pemuda UMNO bekerjasama, sebelum ini pun ia sudah berlaku cuma apa yang diharapkan pendekatan ini dapat diteruskan.

Apa pun keadaannya dengan keputusan Salahuddin, sudah jelas kini Pemuda Pas akan mendapat kepimpinan baru dalam pemilihan parti yang bakal diadakan dalam Jun nanti.

Ketika diminta mengulas apa harapannya kepada pengganti beliau, Salahuddin ketika dihubungi penulis berkata, mereka perlu meneruskan hubungan rapat dengan masyarakat.

''Walaupun kita perlu bersikap agresif di dalam sesuatu isu tetapi dalam masa yang sama kita mahu memberikan sumbangan yang bermakna kepada negara. Tentang sumbangan saya biarlah ahli-ahli Pemuda menilainya,'' kata beliau.

Satu lagi persoalan yang timbul, ke manakah Salahuddin selepas ini? Apakah beliau sekadar menjadi pemimpin biasa dalam Pas atau melangkah setapak lagi untuk memegang jawatan Naib Presiden pula? Ketika diajukan soalan ini, Salahuddin berkata, ''Nantilah saya ukur dulu baju di badan.''

Salahuddin sudah pasti mempunyai perancangannya sendiri ke arah mana beliau selepas ini. Tetapi dengan tempoh selama 28 tahun dalam Pemuda serta dilihat pemimpin masa depan, ahli Pas sudah pasti tahu menilai di mana beliau harus ditempatkan. Komentar - Ke arah mana Pemuda PAS selepas ini?

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.