Jumaat, Februari 13, 2009

DiGi masih kekurangan tenaga kerja

DiGi.Com Bhd. (DiGi) tidak akan memberhentikan para pekerjanya walaupun berdepan dengan kemelesetan ekonomi dunia ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Dennelind berkata, malah, syarikat telekomunikasi itu bercadang mengambil tenaga kerja berikutan pelaburan baru yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menurutnya, DiGi sentiasa mencari mereka yang mahir dan berhasrat untuk mengukuhkan tenaga kerja terutamanya dalam segmen jalur lebar, teknologi maklumat (IT) dan media baru.

‘‘Kami masih ingin menjadi efisien dalam apa yang kami buat, oleh itu DiGi perlu melabur bagi mengambil pekerja atau membangunkan pekerja sedia ada sebagai melengkapi kemahiran baru.

‘‘Kami masih optimis dalam jangka panjang dan akan terus melabur tetapi akan mengambil langkah berjaga-jaga dalam perbelanjaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal mySimplifieds (www.mySimplifields.com), di sini hari ini.

Sehingga kini, DiGi mempunyai kira-kira 3,000 pekerja.

Dennelind berkata, pelaburan itu akan memberi tumpuan terhadap sektor perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan dalam talian bagi memenuhi keperluan pelanggannya.

Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu perbelanjaan modal yang diperuntukkan pada tahun ini kerana perlu bersedia menghadapi cabaran semasa tetapi hanya mengunjur hampir sama atau melebihi jumlah tahun lalu, iaitu RM893 juta.

‘‘Kami menjangka aliran tunai operasi akan kekal pada RM1.27 bilion atau bertambah seperti yang dicatatkan pada tahun lalu,” ujarnya.

Mengenai portal mySimplifieds, Dennelind berkata, portal itu adalah sebahagian strategi syarikat itu untuk mengembangkan perkhidmatan telekomunikasinya.

Dennelind menjelaskan, mySimplifieds merupakan inisiatif DiGi untuk meluaskan rangkaian Internet agar relevan dengan kehendak pengguna.

‘‘Ini adalah contoh bagaimana pengalaman pengguna telefon mudah alih mampu dipertingkatkan ekoran ramai orang kini membiasakan diri dengan melayari Internet menerusi peralatan mereka.

‘‘Penglibatan ini adalah selaras dengan matlamat kami untuk membawa Internet kepada orang ramai yang akan mewakili pelaburan kami pada masa depan,” kata beliau.

Portal mySimplifieds yang ditubuhkan oleh DiGi dengan pemaju kandungan tempatan, Kasatria Technologies Sdn. Bhd. merupakan pengiklan dalam talian yang memudahkan orang ramai menjual dan membeli produk.

Katanya, portal itu merupakan platform yang mana pengguna boleh memaparkan apa yang ingin dibeli atau dijual secara percuma.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.