2 Undang Luak di Sungai Ujong?

Sudah 26 tahun berlalu, namun pelantikan Undang Luak Sungai Ujong masih jadi pertikaian.

Bersemayam di takhta rasmi sebagai Undang Luak Sungai Ujong Ke-11 pada masa ini ialah Datuk Mubarak Dohak.

Beliau dimasyhurkan pada 1993 menggantikan Datuk Mohamad Kassim Nika Ab. Rashid, Undang Luak Sungai Ujong Ke-10 yang meninggal dunia pada 1983.

Pertabalan pada 16 tahun lalu itu sendiri dibuat selepas 10 tahun pertikaian genting mengenai penyandang paling layak.

Ia jawatan adat, tetapi bertaraf raja dan dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Dari segi hierarki, Undang Luak Sungai Ujong paling kanan di kalangan empat Undang Luak di Negeri Sembilan.

Malah dalam pemasyhuran dan pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru, istiadat itu dilakukan Undang Luak Sungai Ujong.

Hari ini, Sungai Ujong mempunyai 'dua Undang Luak'. Mubarak adalah penyandang rasmi yang diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Sembilan dan disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang, Negeri Sembilan.

Ahad lalu seorang lagi 'Undang Luak Sungai Ujong' dimasyhurkan menerusi satu upacara adat di Tapak Waris Di Darat, Kampung Gedang, Seremban.

Datuk Othman Ismail, seorang Sarjana Kewangan dari University of Hull, United Kingdom dimasyhurkan oleh sekumpulan anak negeri 'waris di darat' sebagai 'Undang Luak Sungai Ujong Ke-11'.

'Pemasyhuran' Othman itu merupakan kemuncak bantahan waris-waris tersebut terhadap pertabalan Mubarak sebelum ini yang dianggap tidak sah dari segi aturan adat pesaka.

Ahli Lembaga Kanan Luak Sungai Ujong, Datuk Sri Maharaja Diraja Raja Zulkepley Dahalan berkata, pelantikan Mubarak pada 1993 bercanggah Perkara 14 (1) Perlembagaan Negeri Sembilan dan Perkara 71 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Pemasyhuran (Othman) Ahad lalu adalah hasil muafakat 95 peratus anak waris negeri. Beliau Undang Luak yang sah," katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Othman, di sini hari ini.

Raja Zulkepley meminta Dewan Keadilan dan Undang membentangkan usul mengesahkan pelantikan Othman dan menyingkirkan Mubarak sebelum Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hujung tahun ini.

"Pertabalan Tuanku Muhriz tidak boleh dilakukan kerana Mubarak bukan seorang Undang Luak yang sah untuk memberi perkenan.

"Kami mengalu-alukan pertabalan Tuanku Muhriz namun baginda tentu maklum mengenai kesannya termasuk dipersoalkan kesahihan sebagai Yang Dipertuan Besar oleh mana-mana pihak kelak," tegasnya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara tersebut.

Sebelum ini, Mohamad dalam satu kenyataannya berkata, kerajaan negeri menerima serta memperakui sebarang keputusan Dewan Keadilan dan Undang berhubung soal adat dan istiadat.

Menurut Mohamad, apabila perbincangan dan keputusan dibuat oleh Dewan Keadilan dan Undang, ia tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak dan kerajaan negeri tidak campur tangan mengenai soal adat istiadat di negeri itu.

- UTUSAN 2 Undang Luak di Sungai Ujong?

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.