Selasa, November 11, 2008

Tukar perkhidmatan mudahalih dengan Switch DiGi

Menerusi kemudahan platform Pengalihan Nombor Mudah Alih (MNP), pengguna telefon mudah alih kini berpeluang untuk menukar perkhidmatan mobil ke pembekal rangkaian yang lain tanpa perlu menukar nombor telefon bimbit asal.

Platform MNP yang merupakan inisiatif kerajaan itu memberikan kelebihan kepada pengguna untuk mengekalkan nombor telefon bimbit agar pengguna tidak terputus hubungan dengan kenalan.

Justeru, pengguna tidak lagi perlu membuang masa dan wang untuk mengumumkan penukaran nombor sekiranya bertukar kepada pembekal rangkaian telekomunikasi yang lain.

Ini bermakna, pengguna pra bayar mahupun pasca bayar berpeluang untuk bertukar ke mana-mana rangkaian lain bagi mendapatkan penjimatan dari segi kadar mahupun menikmati nilai tambah yang terbaik ditawarkan di pasaran tanpa menukar nombor telefon mereka.

Sehubungan itu, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan kedudukannya di pasaran dengan mengumumkan kempen Switch kepada orang ramai dalam menawarkan struktur pelan pada kadar rata yang terendah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Dennelind, pihaknya merupakan pembekal rangkaian mudah alih yang pertama untuk menawarkan kadar rata yang terendah dalam lingkungan persekitaran MNP.

‘‘Maka, pengguna tidak perlu risau tentang kos panggilan apabila membuat panggilan terhadap rangkaian lain.

‘‘Oleh yang demikian, kehadiran platform MNP ini membuka ruang kepada para pengguna yang sensitif terhadap penukaran nombor untuk membuat pilihan bijak selain menikmati penjimatan dari segi kadar, liputan meluas, mengeratkan hubungan terhadap sahabat dan kaum famili, inovasi terkini, penawaran ganjaran dan juga pengalaman pengguna yang terbaik,’’ katanya ketika mengumumkan kempen Switch di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menarik, tiada sebarang kos dikenakan terhadap pengguna talian mudah alih yang berminat untuk bertukar kepada rangkaian DiGi.

Tawaran ini terbuka kepada mana-mana pengguna prabayar dan pasca bayar daripada rangkaian yang lain.

Di samping itu, DiGi kini menawarkan pelbagai struktur pelan bagi pelanggan prabayar dan pasca bayarnya pada kadar rata yang terendah.

Proses penukaran itu boleh dilakukan dengan mudah , pengguna hanya perlu membawa dokumen pengenalan diri seperti MyKad atau pun pasport untuk tujuan pendaftaran ke kedai DiGi yang berhampiran di seluruh negara.

Selain itu, pengguna juga boleh melayari laman web www.digi.com.my/switch untuk menghantar permohonan melalui Internet.

Bagaimanapun, permintaan proses penukaran pengguna boleh ditolak sekiranya pengguna tersebut masih terikat dengan kontrak ataupun mempunyai bil tertunggak antara pembekal rangkaian asal.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts