Sabtu, Mac 30, 2024

Berbuka Puasa di Drawbridge Kuala Terengganu

 


Ingin berbuka puasa di atas air berlatarbelakang Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu? Pakej berbuka puasa di atas bot Payang Water Taxi siap dengan makan dan minum serendah RM40 seorang dewasa.
Anda akan dihidangkan dengan Nasi Tenong, hidangan nasi, lauk dan pencuci mulut yang diletakkan di dalam Tenong (Mangkuk Tingkat) tradisi orang Terengganu.
Bila masuk waktu berbuka puasa anda dapat lihat percikkan bunga api Bedil iaitu bunyi meriam tanda masuknya waktu berbuka di Kuala Terengganu.
Payang Water Taxi diuruskan oleh Cas Ligas, anak syarikat Kerajaan Terengganu yang beroperasi di Jeti Cruise Pulau Warisan.


𝐏𝐚𝐤𝐞𝐣 𝐀
𝐑𝐌𝟒𝟎.𝟎𝟎 𝐃𝐞𝐰𝐚𝐬𝐚 / 𝐑𝐌𝟑𝟓.𝟎𝟎 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐤²
Nasi Putih
Seafood Shellout
Telur Dadar
Buah-buahan
Air Mineral
Sunquick Ais / Sirap Ais
𝐏𝐚𝐤𝐞𝐣 𝐁
𝐑𝐌𝟒𝟎.𝟎𝟎 𝐃𝐞𝐰𝐚𝐬𝐚/𝐑𝐌𝟑𝟓.𝟎𝟎 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐤²
Nasi Arab
Buah buahan
Kuih pencuci Mulut
Air Mineral
Sunquick Ais / Sirap Ais

Untuk Tempahan:
☎️ www.wasap.my/60143753744/PakejBerbukaPuasa
☎️ www.wasap.my/60146055454/PakejBerbukaPuasa


Isnin, Mac 25, 2024

550,000 pelajar dapat manfaat Kad MySiswa


 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam melancarkan secara rasmi inisiatif Kad MySiswa yang dulunya dikenali sebagai Kad Prihatin Siswa.


Hampir 550,000 pelajar di 20 universiti awam seluruh negara sudah mendapat manfaat penggunaan kad MySiswa itu sejak dilaksanakan Mac tahun lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelancaran kad itu menepati matlamat KPT untuk memperkasa dan memartabatkan pelajar universiti menerusi transformasi kad matrik sedia ada menjadi sekeping kad pintar pelbagai fungsi.

"Antara kelebihan kad ini ia boleh menjadi kad debit bank, kad akses kepada kemudahan dan fungsi dalaman kampus yang bersepadu seperti sistem kehadiran, sistem perpustakaan malah ia turut dilengkapi dengan kemudahan e-dompet.

Selain itu, Kad MySiswa akan berfungsi sebagai kad promosi dan diskaun yang melayakkan pemegangnya menikmati pelbagai tawaran istimewa, potongan harga serta rebat sama ada di dalam mahu pun di luar kampus," katanya selepas perasmian Semarak Ramadan KPT@ UniMAP dan Majlis Peluncuran Kad MySiswa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Pauh Putra, semalam.

Turut hadir adalah Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.

Menurut kenyataan media daripada KPT sempena majlis itu memaklumkan Kad MySiswa merupakan inisiatif bersepadu KPT bersama RHB Islamic Bank Berhad selaku rakan strategik pelaksana.

Ia sebagai komitmen dalam mendukung Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang turut berpotensi memartabatkan gaya hidup mereka.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda yang membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar menerima sumbangan, ia tetap tertakluk kepada sistem audit bagi memastikan tidak wujud penyelewengan pengurusan dana.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Mac 24, 2024

Serangan lelaki bersenjata di Moscow menyebabkan 62 terbunuh


Seorang wartawan AFP melihat pegawai polis bersama anjing pengesan sedang memeriksa kenderaan yang diletakkan di sebelah bangunan itu.

Kumpulan Daesh, dalam satu kenyataan, mengakui pejuangnya menyerang 'sebuah perhimpunan besar' di pinggir Moscow dan 'berundur ke pangkalan mereka dengan selamat'.

Perkhidmatan keselamatan yang dipetik Interfax berkata, antara dua dan lima orang 'memakai seragam taktikal dan membawa senjata automatik', melepaskan tembakan ke arah pengawal di pintu masuk dan kemudian mula menembak ke arah penonton.

"Orang ramai yang berada dalam dewan itu menundukkan badan untuk melindungi diri mereka daripada tembakan selama 15 atau 20 minit," kata wartawan RIA Novosti.

Tambah beliau, pada awalnya berlaku rempuhan apabila penonton berpusu-pusu mencari jalan keluar, disusuli orang ramai yang mula merangkak keluar apabila keadaan selamat.

Kementerian perkhidmatan kecemasan melalui Telegramnya, berkata kira-kira 100 orang melarikan diri melalui ruang bawah tanah teater, manakala yang lain mencari perlindungan di atas bumbung.

Bagaimanapun, kira-kira satu pertiga daripada kompleks itu terbakar, lapor wartawan media Russia.

Tiga helikopter terbabit dalam usaha memadam kebakaran dengan melepaskan air di dewan konsert gergasi yang boleh memuatkan beberapa ribu orang itu dan sebelum ini menjadi tuan rumah kepada persembahan artis antarabangsa terkemuka.

Tragedi kali ini adalah yang terburuk di Russia sejak kumpulan pengganas menjadikan lebih 1,000 orang termasuk ratusan kanak-kanak, sebagai tebusan di Beslan pada 2004.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali, berkata pihaknya sudah memberi amaran yang secukupnya kepada Russia supaya berwaspada terhadap serangan seumpamanya.

Katanya, Kedutaan AS pada 8 Mac lalu memberi amaran kepada Russia bahawa 'pengganas' membuat perancangan segera untuk menyerang Moscow, beberapa jam selepas pasukan keselamatan Russia menggagalkan serangan kumpulan Daesh terhadap sebuah pusat ibadat Yahudi.

Jurucakap kementerian luar Russia, Maria Zakharova berkata, ia adalah 'serangan pengganas paling berdarah'.

"Seluruh masyarakat antarabangsa mesti mengutuk jenayah keji ini," katanya di Telegram.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan serangan itu 'mengerikan', namun menegaskan tiada tanda yang menunjukkan ia ada kaitan dengan konflik di Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Kyiv 'tiada kaitan' dengan serangan itu, manakala perisikan tenteranya menyifatkan punca serangan itu sebagai 'provokasi' Russia dan mendakwa wujud peranan perkhidmatan khas Moscow di sebalik kejadian itu.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," kata Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, yang membatalkan semua acara awam di bandar ini pada hujung minggu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Perancis, Sepanyol dan Itali menyertai beberapa negara lain dalam mengutuk serangan itu, dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengecam 'tindakan keganasan yang menjijikkan'.

Agensi berita TASS berkata, SOBR, pasukan polis khas dan skuad anti rusuhan OMON sudah dihantar ke Dewan Bandaraya Crocus untuk menjalankan siasatan. -

Sumber : AFP

Jumaat, Mac 22, 2024

Prabowo menang jawatan presiden Indonesia


Prabowo Subianto dipilih sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) sekali gus menewaskan dua pesaingnya yang kini berikrar untuk memfailkan aduan undang-undang mengenai undian itu.

Pengerusi KPU, Hasyim Asy'ari berkata Prabowo yang juga Menteri Pertahanan dan gandingannya selaku naib presiden, Gibran Rakabuming Raka menerima lebih 96 juta undi atau kira-kira 58.6 peratus daripada jumlah keseluruhan dan cukup untuk memperoleh majoriti pusingan pertama.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Dua pencabarnya iaitu Anies Baswedan pula memperoleh hampir 41 juta undi atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan manakala Ganjar Pranowo menerima 27 juta undi atau lebih 16 peratus.

Prabowo dan Gibran yang juga anak sulung kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo sudah diisytihar menang bulan lalu selepas kiraan tidak rasmi menunjukkan mereka memenangi majoriti.

Sebelum ini, Prabowo, 72, diramalkan secara meluas akan memenangi jawatan presiden dan beliau akan mengambil alih kepimpinan pada Oktober selepas tempoh peralihan.

Menurut pakar, popularitinya melonjak kerana semangat nasionalisnya dalam ucapan populis selain kelayakannya sebagai Menteri Pertahanan dan sokongan daripada Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi.

Sebelum ini, Prabowo, 72, diramalkan secara meluas akan memenangi jawatan presiden dan beliau akan mengambil alih kepimpinan pada Oktober selepas tempoh peralihan.

Menurut pakar, popularitinya melonjak kerana semangat nasionalisnya dalam ucapan populis selain kelayakannya sebagai Menteri Pertahanan dan sokongan daripada Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi.

Dalam pada itu, Anies dan Ganjar berikrar untuk mengemukakan aduan kepada Mahkamah Perlembagaan mengenai penyelewengan dan dakwaan penipuan ketika pilihan raya.

Tetapi pasukan peguam Prabowo yakin keputusan itu tidak akan berjaya dicabar kerana majoriti dan margin kemenangannya yang besar.

Sumber : AFP

Khamis, Mac 21, 2024

Mahkamah kekalkan hukuman pembunuh pelajar tahfiz yang dibakar hidup-hidup

 


Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu kejadian kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, dekat sini, tujuh tahun lalu adalah jenayah terancang sehingga mengorbankan nyawa 23 anak tahfiz yang ditemui rentung sehingga tidak dapat dicam pihak bomba.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling berhujah, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu adalah mangsa kekejaman yang sangat serius kerana dibakar hidup-hidup, manakala sebahagiannya lemas akibat asap.

Katanya, keterangan menunjukkan dua tong gas masing-masing seberat 14 kilogram (kg) diletakkan di depan pintu bilik asrama adalah satu-satunya jalan keluar, sebelum melepaskan gas ketika penghuni-penghuninya sedang nyenyak tidur.

"Pelakunya memilih untuk meletakkan kedua-dua tong gas di tingkat dua, bukan di bahagian halaman tingkat bawah kerana menyedari aras berkenaan menempatkan bilik asrama.

"Perbuatan pelaku adalah satu jenayah terancang yang mengorbankan penghuni pusat tahfiz itu dalam satu malam," katanya ketika berhujah dalam rayuan seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu.

Lelaki berkenaan merayu perintah dan sabitan ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong diketepikan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir pemuda itu dan dia kekal ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam penghujahannya, Mei Ling memohon perintah itu dikekalkan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam serta kepentingan keluarga yang menghantar anak-anak mereka berusia antara enam dan 16 tahun ke pusat tahfiz berkenaan.

Beliau turut menggambarkan rentetan kejadian berhubung penemuan mayat semua mangsa dalam keadaan rentung dan mengekot sambil berpelukan kerana dibakar hidup-hidup, serta tidak boleh keluar dan hanya menunggu untuk diselamatkan.

Katanya, keadaan mayat mangsa sangat menyayat hati sehingga menggagalkan usaha pengecaman oleh pihak bomba dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terpaksa dilakukan.

"Ketika pihak bomba tiba, tiada lagi bunyi teriakan... yang tinggal hanya suasana sepi yang menyeramkan," katanya.

Terdahulu, Mei Ling berhujah, pihak pendakwaan mengemukakan keterangan ikut keadaan yang kukuh bahawa pemuda itu bertanggungjawab menyebabkan kebakaran itu.

Hujah beliau, perayu adalah pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran dan perbuatan itu dilihat oleh dua saksi penting pendakwaan iaitu SP68 dan SP69.

Katanya, tiada asas bahawa kedua-dua saksi itu berniat memerangkap perayu dengan memberi keterangan sedemikian kerana mereka bersahabat baik.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili perayu berhujah, keterangan ikut keadaan dikemukakan pihak pendakwaan tidak cukup kuat untuk mensabitkan anak guamnya terhadap kesalahan itu.

Hujah Haijan, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan anak guamnya yang membawa botol mineral mengandungi petrol ke tingkat dua asrama itu.

Malah, beliau berkata, ketika berbual di kedai makan berdekatan tempat kejadian, semua saksi mengesahkan tiada perbualan untuk membakar tahfiz dibuat.

"Mereka hanya berbual untuk main 'snuker' dan tiada niat untuk membakar, kecuali timbul perkataan 'belilah petrol' daripada seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.

"Seorang saksi pakar forensik juga menyatakan kebakaran mula berlaku pada jam 5.25 pagi sedangkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) menunjukkan anak guam saya beredar daripada kawasan itu pada jam 4.48 atau 4.49 pagi," katanya.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts