Khamis, Mac 18, 2021

Teks penuh ucapan Perdana Menteri Program PEMERKASA

 

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sihat wal-afiat.

1. Kini, genap setahun negara kita melaksanakan pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP untuk menangani wabak COVID-19. Sepanjang tempoh ini, Kerajaan terus melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi.

2. Pada masa ini, negara kita sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu 'Revitalize' atau Memperkasa ekonomi. Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi, atau jump-start the economy.

3. Sehubungan itu, Kerajaan telah mengenal pasti 5 Fokus Utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021 iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.

PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI (PEMERKASA)

4. Bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi, sukacita saya umumkan Kerajaan akan melaksanakan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi atau PEMERKASA bernilai 20 bilion ringgit, dengan suntikan fiskal baharu oleh Kerajaan berjumlah 11 bilion ringgit.

5. PEMERKASA akan menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

FOKUS PERTAMA: MENGAWAL PENULARAN COVID-19

Inisiatif Pertama: Program Imunisasi COVID-19

6. Bagi fokus pertama, iaitu mengawal penularan COVID-19, Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan kesihatan awam untuk membendung COVID-19 di samping memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Setakat ini, lebih 300 ribu rakyat telah pun menerima suntikan pertama vaksin.

7. Kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada 3 bilion kepada 5 bilion ringgit untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022.

8. Untuk mencapai sasaran ini, seramai 15 ribu petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di seluruh negara. Mengambil kira pertambahan tugas tersebut, Kerajaan bersetuju Bantuan Khas COVID-19 dengan kadar 200 ringgit sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan.

Inisiatif Kedua: Tiada lagi Pelaksanaan PKP Menyeluruh

9. Kerajaan juga akan melaksanakan strategi kawalan penularan COVID-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara. Pada masa yang sama, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri. Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Inisiatif Ketiga: Penguatkuasaan Perundangan yang ketat dan telus

10. Selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan SOP dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

11. Bagi melindungi golongan pekerja, MITI akan melaksanakan inisiatif Safe@Work yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja. Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam "safe work bubble" sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19.

12. Sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program yang bersifat sukarela ini, Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja. Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada 50 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI dan telah lulus audit pematuhan Safe@Work. Syarikat boleh mendaftar mulai 1 April 2021.

13. Selain itu, majikan yang membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021.

FOKUS KEDUA: MEMACU PEMULIHAN EKONOMI

14. Kerajaan juga komited untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan melalui pelaksanaan segera projek pembangunan, penyediaan insentif penggajian serta pemberian insentif percukaian dan kemudahan pembiayaan mikro kredit.

Inisiatif Keempat: Pelaksanaan Projek-Projek Kecil Seluruh Negara

15. Sehubungan itu, bagi terus merancakkan aktiviti projek-projek berskala kecil di peringkat akar umbi, Kerajaan bersetuju menambah peruntukan projek berskala kecil tahun 2021 daripada 2.5 bilion ringgit kepada 5 bilion ringgit.

16. Antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ialah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam, serta pembinaan gerai di kawasan PBT.

17. Kerajaan akan memudahkan tatacara perolehan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek. Sebagai contoh, kaedah kerja secara undian bagi pembaikan bencana banjir telah ditingkatkan daripada 100 ribu kepada 200 ribu ringgit. Di samping itu, kerja-kerja kecil bagi kontraktor tempatan akan dikhususkan kepada negeri dan daerah berkenaan.

Inisiatif Kelima: Geran Khas Prihatin 3.0

18. Kerajaan akan terus memberi sokongan untuk memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya kepada PKS tempatan. Untuk itu, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Geran Khas Prihatin atau GKP 3.0 supaya perniagaan mendapat bantuan untuk beroperasi semula. Setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak 1,000 ringgit. Permohonan bagi GKP 3.0 akan dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini. Geran ini dijangka akan memanfaatkan lebih sejuta usahawan.

Inisiatif Keenam: Kemudahan Mikro Kredit

19. Semasa pengumuman Belanjawan 2021 yang lalu, Kerajaan telah meluluskan peruntukan sejumlah 1 bilion ringgit bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit. Prihatin dengan situasi yang mencabar ini, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp.

20. Melalui BSN, dana sebanyak 300 juta ringgit akan disediakan dengan had pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit, di mana kadar faedah telah dikurangkan daripada 3.5 kepada 3 peratus. Tempoh pinjaman adalah untuk 5 tahun dan bayaran ansuran hanya bermula selepas bulan keenam.

21. Bagi usahawan sektor informal, TEKUN Nasional akan menyediakan dana tambahan sebanyak 60 juta ringgit, terutamanya untuk Skim Pembiayaan Informal dengan had pembiayaan sehingga 5,000 ringgit bagi perniagaan secara kecil-kecilan daripada rumah, pasar malam dan pasar tamu.

22. Selain itu, program TEKUN Mobilepreneur akan diperluaskan untuk pembiayaan membaik pulih atau membeli motosikal baharu dengan had sehingga 10 ribu ringgit. Bagi melengkapi inisiatif ini, motosikal pemasangan tempatan dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah akan diberi pengecualian 100 peratus duti eksais mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.

23. TEKUN juga akan memperkenalkan program TEKUN POS-preneur di mana pemohon dapat menjana pendapatan melalui kontrak penghantaran barangan. Bantuan pembiayaan diberikan sehingga 20 ribu ringgit untuk tujuan baik pulih kenderaan, dan sehingga 50 ribu ringgit untuk pembelian van atau lori.

24. Melalui MARA, Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro akan dilaksanakan dengan keutamaan untuk membantu 1,000 PKS mikro Bumiputera untuk meneruskan kelangsungan perniagaan. Sebanyak 50 juta ringgit disediakan dengan nilai pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit pada kadar faedah serendah 3 peratus.

25. Di samping itu, SME Corp. akan menyediakan 50 juta ringgit untuk membantu PKS tempatan mendapatkan pembiayaan sehingga 250 ribu ringgit pada kadar faedah juga serendah 3 peratus.

Inisiatif Ketujuh: Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

26. Sejak pelancaran program PenjanaKerjaya 2.0 di bawah PERKESO, hampir 200 ribu pekerja dalam sektor formal berjaya ditempatkan. Bagi membantu golongan yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan, Kerajaan akan terus menambah baik program ini dengan memperluaskan skop insentif pengambilan pekerja untuk meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig, iaitu:

• Menyediakan peruntukan 300 juta ringgit yang akan memanfaatkan 60 ribu pekerja, di mana setiap pekerja akan menerima 600 ringgit sebulan selama tempoh maksimum 6 bulan; dan

• Bagi majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan PERKESO, mereka akan menerima 200 ringgit bagi setiap pekerja yang ditempatkan.

27. Di samping itu, sehingga 5 Mac 2021, Kerajaan telah menyalurkan lebih daripada 14.4 bilion ringgit bagi membiayai program subsidi upah yang telah membantu 2.7 juta orang pekerja dan lebih daripada 330 ribu majikan.

28. Namun, Kerajaan sedar bahawa masih terdapat sektor yang terkesan. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan 700 juta ringgit bagi melanjutkan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar. Ini terutamanya kepada sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, serta perniagaan lain yang ditutup semasa PKP seperti pusat sukan gimnasium dan spa. Inisiatif ini dijangka akan membantu 400 ribu pekerja dan 37 ribu majikan.

29. Di samping itu, program perantisan di bawah PenjanaKerjaya juga akan ditambah baik setelah mengambil kira maklumbalas daripada pihak industri yang mendapati tempoh 3 bulan program perantisan ini agak singkat dan tidak mencukupi. Oleh itu, Kerajaan akan melanjutkan tempoh program perantisan selama 6 bulan, di mana pelatih yang mengikuti program ini akan diberi insentif sebanyak 800 ringgit bagi tempoh perantisan 6 bulan.

30. Bagi menangani masalah pengangguran, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara, atau NEC. Bagi tahun ini, NEC menyasarkan pewujudan 500 ribu peluang pekerjaan, di mana sehingga akhir Februari, 66 ribu peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

31. Di bawah seliaan Perbadanan Sumber Manusia Berhad atau HRDF, beberapa inisiatif telah diperkenalkan. Ini termasuklah:

Pertama: Platform UpskillMalaysia yang berperanan sebagai pusat maklumat bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula; dan Kedua: Portal e-LATiH yang mengandungi lebih 300 kursus latihan dalam talian yang ditawarkan secara percuma.

Inisiatif Kelapan: Merangsang Semula Sektor Pelancongan dan Peruncitan

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

32. Industri pelancongan merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19. Bagi mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor ini, Kerajaan akan:

• Melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel sehingga 31 Disember 2021;

• Melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022;

• Membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 diberikan kepada

syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa;

• Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuan;

• Memperluas skop pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 1,000 ringgit untuk meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC; dan

• Memberi pengecualian levi HRDF bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun 2021.

33. Selain itu, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak 3,000 ringgit kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.

34. Kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan bantuan tunai secara one-off sebanyak 600 ringgit kepada pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC. Bantuan ini dijangkakan dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.

35. Saya percaya, sedikit masa lagi apabila sudah ramai antara kita telah mengambil vaksin, Kerajaan sedia untuk membenarkan pergerakan rentas negeri secara berperingkat, malah mewujudkan special green lane bagi perjalanan sempadan yang melibatkan pengangkutan udara. Berikan sedikit masa dan ruang untuk pihak Kerajaan meneliti segala risiko sebelum sesuatu keputusan diambil.

36. Untuk membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pengembaraan dan pelancongan, pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan selama 3 bulan lagi sehingga 30 Jun 2021. Dengan pemanjangan tempoh diskaun ini, Kerajaan akan menanggung jumlah kos sebanyak 135 juta ringgit.

Inisiatif Kesembilan: Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi

37. Bagi memastikan pembiayaan alternatif terus berkembang, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menambah baik peraturannya berdasarkan perkembangan semasa. Antara lain, had pengumpulan dana akan dinaikkan daripada 10 juta kepada 20 juta ringgit serta Equity Crowdfunding akan diperluaskan kepada syarikat berhad yang tidak tersenarai.

38. Untuk terus menggalakkan syarikat mengumpul dana menerusi pasaran saham, fi berkaitan penyenaraian akan dikecualikan selama 12 bulan bagi syarikat yang memohon penyenaraian di pasaran MAIN, LEAP atau ACE. Selain itu, rebat untuk fi penyenaraian tahunan bagi tahun 2021 juga akan diberikan kepada syarikat tersenarai yang telah melaporkan kerugian berdasarkan laporan suku tahunan mereka.

39. Seterusnya, bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersetuju nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold dinaikkan daripada 10 kepada 50 ribu ringgit.

40. Pada masa yang sama, SSM juga memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

41. Kerajaan menyedari bahawa gerakan koperasi turut terjejas berikutan pandemik COVID-19. Susulan itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan menyediakan insentif pembiayaan sehingga 100 ribu ringgit tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan. Permohonan pembiayaan ini akan dipermudahkan dan proses kelulusan akan dipercepatkan dengan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan. Sejumlah 50 juta ringgit dari Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan diperuntukkan yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi.

42. Selain itu, Kerajaan telah meluluskan geran padanan sebanyak 30 juta ringgit untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi industri sawit. Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak

20 juta ringgit dalam bentuk geran padanan bagi tujuan pembelian jentera kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan. Ini dijangka memanfaatkan 65 koperasi dengan keahlian sebanyak 6,000 pekebun kecil.

43. Geran Padanan Digitalisasi di bawah BSN yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat turut diperluaskan kepada koperasi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.

FOKUS KETIGA: MEMPERKUKUH DAYASAING NEGARA

44. Dalam memperkukuh daya saing negara, Kerajaan komited untuk menarik pelaburan, memperkasa perdagangan luar, meningkatkan adaptasi penggunaan teknologi digital dan menjamin pertumbuhan lestari.

Inisiatif Kesepuluh: Mengukuhkan Persekitaran Perniagaan

45. Untuk itu, Kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH sentiasa komited untuk memastikan peraturan yang tangkas atau agile regulation dilaksanakan bagi mendorong pelaburan semula perniagaan domestik. Ini termasuk perluasan program Authorised Economic Operator Nasional yang memberi kemudahan laluan hijau kepada syarikat yang layak bagi urusan eksport dan import dan pemendekan tempoh memproses permohonan pelaburan.

Inisiatif Kesebelas: Automasi dan Digitalisasi

46. Bantuan moratorium bersasar yang diumumkan oleh Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah berjaya mengurangkan beban 1.4 juta peminjam individu dan PKS yang terjejas, dengan kadar kelulusan sehingga 95 peratus. Saya ingin menekankan bahawa bantuan ini masih dibuka kepada orang ramai.

47. Bagi membantu PKS mendapatkan pinjaman, Bank Negara Malaysia telah meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sebanyak 2 bilion ringgit dan Fasiliti Automasi dan Digitalisasi sebanyak 700 juta ringgit. Dengan penambahan ini, kemudahan yang disediakan oleh Bank Negara untuk manfaat PKS berjumlah 6 bilion ringgit.

48. Di bawah MIDF, sebanyak 200 juta ringgit disediakan untuk skim pembiayaan pembangunan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau. MIDF juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dari 5 kepada 3 peratus bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April 2021.

49. Di samping itu, dana tambahan sebanyak 50 juta ringgit bagi Geran Automasi Pintar di bawah MIDA turut disediakan supaya lebih banyak PKS dan Syarikat Tahap Pertengahan, atau Mid-Tier Companies dapat meningkatkan kecekapan operasi dan pembuatan menerusi teknologi tinggi. Selain itu, bagi menyokong IR4.0, peruntukan berjumlah 50 juta ringgit akan diberi kepada program Industry4WRD di bawah MITI.

50. Bagi menggalakkan PKS meningkatkan automasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, SME Bank akan menyediakan dana pinjaman 200 juta ringgit untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin.

Inisiatif Keduabelas: Mengurangkan Jurang Digital

51. Semasa Belanjawan 2021, Kerajaan telah mengumumkan Program Jaringan Prihatin bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada internet, merapatkan jurang digital golongan B40 dan menyokong agenda pendigitalan negara.

52. Jika Belanjawan 2021 sebelum ini telah mengumumkan subsidi pembelian telefon sebanyak 180 ringgit kepada semua penerima BPR, sukacita diumumkan Kerajaan akan menambah baik subsidi ini kepada 300 ringgit khusus untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu. Dengan itu, peruntukan program ini akan ditingkatkan kepada 2 bilion ringgit dan insha-Allah, akan dilancarkan awal bulan Mei. Saya menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota data tambahan.

53. Rangka kerja MyDIGITAL dan Ekonomi Digital Malaysia telah menggariskan perkhidmatan 5G komersil sebagai keperluan terpenting kerana internet kelajuan tinggi adalah perlu untuk mencetuskan inovasi dan peluang kerja baru dalam ekonomi digital negara. Oleh itu, perkhidmatan 5G dijangka akan beroperasi secara berperingkat mulai hujung tahun ini.

54. Selain itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar terutamanya di luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM telah memperuntukkan 3.2 bilion ringgit untuk tahun 2021 di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat bagi menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menyediakan capaian gentian optik ke premis-premis berkaitan.

55. Seterusnya, SKMM akan memperkenalkan program MyBAIKHATI dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif crowdsourcing peranti. Program ini akan dimulakan dengan penganjuran kempen kutipan peranti terpakai seperti komputer riba yang akan dibaik pulih dan diagihkan kepada antara lain Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti.

Inisiatif Ketigabelas: Menggalakkan Pelaburan dan Pasaran Eksport

56. Sebagai pemboleh daya yang penting bagi program pemulihan negara, pelaburan asing dan perdagangan antarabangsa perlu diberi tumpuan khusus. Bagi tujuan ini, MITI akan terus meneroka potensi eksport baharu, serta menggalakkan penggunaan automasi serta mekanisasi dalam kalangan pemain industri.

57. Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuklah inisiatif eBizLink, iaitu platform pemasaran digital secara maya dan hibrid, serta inisiatif Globepreneur yang bertujuan mengetengahkan lebih banyak syarikat PKS berpotensi ke pasaran antarabangsa.

58. Kerajaan juga akan menaikkan siling Geran Pembangunan Pasaran atau MDG daripada 300 ribu kepada 500 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang menyertai platform pameran antarabangsa. Bagi menjana sumber kekayaan baharu negara, geran padanan bernilai 50 juta ringgit akan disediakan untuk membangunkan industri aeroangkasa dan peranti perubatan.

Inisiatif Keempatbelas: Menggalakkan Pembiayaan Mampan

59. Program PEMERKASA akan menyokong agenda kelestarian negara, terutamanya ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG menjelang 2030. Kerajaan bersama PBB Malaysia akan menubuhkan Dana Amanah MySDG sebagai platform yang membolehkan pembiayaan dari pelbagai sumber untuk membiayai projek yang menepati kriteria SDG.

60. Bagi menyokong matlamat negara untuk menjadi hab kewangan lestari, Kerajaan akan melancarkan Sukuk Lestari berjumlah tidak kurang dari 1 bilion dolar Amerika. Hasil dari sukuk berkenaan akan membiayai program dan projek yang mempunyai elemen kelestarian di samping menangani kesan sosio-ekonomi akibat wabak COVID-19.

FOKUS KEEMPAT: MEMASTIKAN AGENDA KETERANGKUMAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

61. Dalam menghadapi cabaran wabak ketika ini, Kerajaan akan terus memelihara kebajikan rakyat terutamanya mereka yang masih terjejas. Inisiatif kali ini akan lebih tertumpu kepada golongan rentan, kurang upaya dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

Inisiatif Kelimabelas: Bantuan Kehilangan Pendapatan

62. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit kepada 2.4 juta penerima untuk mendapatkan bantuan seperti berikut:

• Bantuan tunai secara one-off sebanyak 500 ringgit diberikan kepada golongan B40 yang telah hilang pendapatan; dan

• Bayaran tambahan sebanyak 500 ringgit diberikan kepada penerima BPR yang berpendapatan 1,000 ringgit dan ke bawah.

63. Kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan. Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO. Insha-Allah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing.

64. Untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan Kerajaan. Kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian (online) melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan.

65. Seterusnya, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada 31 Mac ini sehingga 30 Jun 2021. Jenis kontrak yang terlibat akan turut diluaskan bagi membantu rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka.

Inisiatif Keenambelas: Menambahbaik Program Bantuan Rentan Bandar

66. Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan semua golongan masyarakat dapat dibantu semasa tempoh yang sukar ini termasuk golongan gelandangan. Oleh yang demikian, DBKL telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Anjung Kelana di Taman Desa Kuala Lumpur sebagai pusat perlindungan sementara.

67. Seterusnya, bagi mengurangkan kos sara hidup terutama golongan miskin yang tinggal di bandar, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit bagi program bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai. Program ini dijangka akan memanfaatkan 300 ribu isi rumah miskin di bandar-bandar utama di seluruh negara untuk membolehkan mereka membeli barangan makanan asas.

68. Mengenai kesihatan rakyat pula, inisiatif mySalam berhubung COVID-19 telah memanfaatkan lebih 70,000 golongan B40 dengan jumlah bayaran 40 juta ringgit. Bagi menambah baik skim ini, golongan B40 yang dibenarkan untuk dikuarantin di rumah atas sebab COVID-19 layak untuk menerima manfaat bayaran penggantian pendapatan sebanyak 50 ringgit sehari selama maksimum 14 hari tertakluk kepada pengesahan oleh Pegawai Perubatan.

69. Selain itu, program klinik bergerak merupakan satu program melibatkan penyediaan rawatan asas dan pemeriksaan percuma kepada warga tempatan khususnya golongan rentan bandar bagi memperkasakan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Pada masa ini, MyMedic@Wilayah di bawah DBKL menyediakan perkhidmatan klinik bergerak meliputi kawasan PPR dan perumahan awam kepada golongan yang kurang berkemampuan serta rawatan secara terus kepada pesakit kronik dan uzur yang terlantar di rumah. Sehubungan itu, sejumlah 30 juta ringgit akan diperuntukkan bagi meluaskan perkhidmatan kesihatan ini ke seluruh negara melalui program KPT PRIHATIN, KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS) dengan kerjasama kumpulan pakar perubatan dari Hospital Pengajar Universiti.

70. Seterusnya, dalam melaksanakan proses verifikasi penerima bantuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melantik seramai 2,500 orang pegawai tambahan di bawah inisiatif MySTEP bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Inisiatif Ketujuhbelas: Prihatin Wanita

71. Bagi memperkasa usahawan wanita, Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro, serta Program Shop Malaysia Online, Kerajaan akan menyediakan dana 30 juta ringgit untuk membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian. Sebagai tambahan, BSN juga akan menyediakan sejumlah 50 juta ringgit bagi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk memberi galakan usahawanita menceburi bidang perniagaan.

72. Selain itu, peruntukan sebanyak 10 juta ringgit dalam bentuk dana padanan 70 peratus bagi usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri turut disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO.

Inisiatif Kelapanbelas: Prihatin OKU

73. Saya telah dimaklumkan golongan OKU yang bekerja turut terjejas dalam tempoh yang sukar ini. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada 1,200 kepada 1,500 ringgit sebulan. Untuk tujuan ini, sebanyak 26 juta ringgit akan disediakan di mana ia akan memanfaatkan seramai hampir 5,000 OKU.

74. Selain itu, bagi membantu program keusahawanan termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan oleh OKU dan warga emas,

Kerajaan bersetuju menambah 20 juta ringgit untuk memperkukuhkan program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

75. Di samping itu, golongan OKU akan berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.

76. BSN telah menyediakan sebanyak 25 juta ringgit di bawah Skim Mikrokredit ISTIMEWA bagi golongan OKU menceburi bidang perniagaan dengan had pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit dan kadar faedah serendah 3 peratus.

Inisiatif Kesembilanbelas: Prihatin Belia

Seterusnya buat anak muda,

77. Kerajaan telah memperkenalkan program eBelia bagi menggalakkan budaya transaksi tanpa tunai kepada golongan belia, khususnya mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar pendidikan tinggi sepenuh masa. Sukacita diumumkan bahawa program tersebut akan ditambahbaik dengan meningkatkan nilai kredit daripada 100 kepada 150 ringgit yang akan memanfaatkan 2 juta belia dengan jumlah peruntukan sebanyak 300 juta ringgit. Program ini akan dilaksanakan mulai bulan Jun 2021.

78. Bagi menggalakkan penyertaan anak muda bandar terlibat dalam projek-projek keusahawanan, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar atau PEKB akan diperluas dengan tambahan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit, menjadikan peruntukan keseluruhan tahun 2021 bagi program ini sebanyak 21 juta ringgit. Oleh itu, seramai 1,800 peserta akan mendapat manfaat dengan latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus yang disertai.

79. Selain itu, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera akan ditambah peruntukan bagi melahirkan seramai 250 usahawan belia Bumiputera baharu. Manakala, program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia.

80. BSN juga menawarkan Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-BELIA dengan kadar serendah 3 peratus untuk membolehkan anak muda menceburi bidang perniagaan mendapatkan pembiayaan sehingga 50,000 ringgit.

Inisiatif Keduapuluh: Penerusan Subsidi bagi Meringankan Kos Sara Hidup

81. Berdasarkan trend semasa, adalah dijangkakan harga minyak dunia akan meningkat dan terus menyebabkan kenaikan pada harga runcit petrol dan diesel.

82. Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak ini, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter. Kerajaan pada masa ini menanggung subsidi pada kadar hampir 30 sen seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung jumlah subsidi bernilai 3 bilion ringgit pada harga semasa.

83. Kerajaan juga menanggung subsidi yang tinggi ke atas produk gas cecair petroleum atau LPG. Harga sebenar di pasaran setong gas LPG bersaiz 14 kg pada masa ini adalah sekitar RM50. Namun, harga runcit telah ditetapkan pada paras RM26.60 setong. Oleh itu, Kerajaan telah memberi subsidi hampir 50 peratus bagi setiap tong LPG 14 kg yang digunakan oleh rakyat khususnya isi rumah. Kerajaan akan terus memberi subsidi berkenaan supaya harga barangan keperluan harian kekal berpatutan.

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

84. Setelah setahun Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara ini, kami terus merencana pelbagai strategi pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Kami telah berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat.

PEMERKASA dengan nilai keseluruhan 20 bilion ringgit adalah satu lagi inisiatif Kerajaan Perikatan Nasional untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat, mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan.

85. Kerajaan Perikatan Nasional sebagai Kerajaan yang Prihatin akan sentiasa mendengar dan peduli terhadap nasib rakyat. InsyaAllah, amanah ini akan sentiasa kami pikul dengan penuh tanggungjawab dan ikhlas, demi rakyat dan negara.

86. Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala jasa dan pengorbanan seluruh petugas barisan hadapan dan penjawat awam yang sekian lama berdiri teguh dan setia sebagai tunjang pentadbiran Kerajaan. Saya juga menyanjung tinggi peranan sektor korporat, NGO dan para sukarelawan yang turut menyumbang kepada bantuan kewangan dan bantuan sosial kepada rakyat.

87. Saya juga ingin menyeru saudara dan saudari supaya segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera. Jangan bertangguh, terus daftar sekarang. Lebih cepat kita mendaftar dan mendapat vaksin, lebih cepatlah kita dapat menikmati kembali kehidupan yang normal.

88. Lindung diri, lindung semua. Insha-Allah, kita terus berikhtiar dan bertawakkal sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Faiza 'azamta fa tawakkal 'ala Llah.

Teguh Kita, Menang Bersama.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

 

 

 

Rabu, Mac 17, 2021

Bazar Ramadan mungkin dibenarkan - Zuraida

 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan dibenarkan beroperasi pada tahun ini.

Beliau berkata, kebenaran itu akan dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan pembukaannya kelak lebih kemas dan berkesan dengan pematuhan penuh prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

"Saya rasakan dengan keadaan sekarang yang mana kita sudah buka banyak aktiviti ekonomi termasuk pasar raya, maka (bazar Ramadan) sudah boleh dibuka. Mungkin SOP operasinya akan diteliti lagi supaya lebih kemas dan efisyen.

"Jika tiada masalah dengan pembukaan pasar, maka pasar Ramadan boleh buka. Maka Insya-Allah kita akan bincang dan boleh dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Penggunaan Teknologi Sentuhan Rendah di Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh, Perak.

Pelancaran itu menyaksikan penggunaan aplikasi robotik dan kecerdasan buatan (AI) merangkumi tiga robot pembersihan dan satu sistem kawalan keselamatan AI melalui kerjasama strategik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizai Baharin. 

Terdahulu media melaporkan beberapa negeri seperti Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka memberi bayangan untuk membenarkan bazar Ramadan dibuka pada Ramadan tahun ini.

Sementara itu, Zuraida berkata, teknologi AI itu adalah projek perintis cetusan empat syarikat tempatan yang dirancang untuk diterapkan ke pasar lain dalam tempoh terdekat dalam usaha mewujudkan pasar selamat dan moden.

Katanya, penggunaan teknologi itu dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing serta meningkatkan produktiviti dan tahap kecekapan pengurusan logistik.

"Insya-Allah selepas ini ia akan diterapkan di pasar di bawah pentadbiran Majis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT). Namun setakat ini kita akan mensasarkan pasar yang baharu siap pembinaannya atau yang baru dinaik taraf.

"Selepas ini, penggunaan teknologi moden tempatan di pasar juga akan turut dimasukkan dalam pelan reka bentuk pasar baharu yang ingin dibangunkan supaya berlaku pemindahan teknologi sehingga ke penjualan, logistik, pembayaran, pembersihan, pengurusan sisa dan kelestarian alam," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Isnin, Mac 15, 2021

Permohonan biasiswa Yang Di-Pertuan Agong dibuka

 

Permohonan bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2021 untuk peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di dalam dan luar negara dibuka mulai 5 petang ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini berkata permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my

Menurut JPA, tarikh akhir bagi mengemukakan borang permohonan yang lengkap berserta dokumen sokongan secara serahan tangan atau pos adalah pada 9 April ini.

"BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam di peringkat sarjana dan enam di peringkat PhD untuk calon mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam," katanya.

JPA berkata keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat keputusan akademik amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana.

JPA berkata keutamaan juga diberikan kepada calon yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kokurikulum, mahir dalam lebih satu bahasa antarabangsa, atau menghasilkan kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan dan reka cipta. 

Katanya, calon yang telah mendapat tawaran pengajian secara sepenuh masa atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penajaan di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan JPA mengikut bidang pengajian turut diberi keutamaan.

Syarat kelayakan lain ialah warganegara Malaysia dan berumur tidak lebih 35 tahun pada 1 Jan 2021.

"Calon yang memenuhi syarat permohonan serta melepasi saringan lanjut akan disenarai pendek untuk menghadiri temu duga," katanya.

JPA berkata pengajian peringkat sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis.

Maklumat lanjut mengenai penawaran itu boleh didapati melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03–8885 3879/3569 pada setiap hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 5 petang atau e-mel kepada penawaranldp@jpa.gov.my

 

Lagu Gila Juara AJL35

 

Lagu Gila dendangan Kaka Azraff, Loca B dan Noki diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Kemenangan lagu ciptaan Ezra Kong, Noki dan Loca B itu melayakkan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Naib juara AJL35 menjadi milik lagu Semalam nyanyian dan ciptaan Aina Abdul menyaksikannya membawa pulang trofi dan wang tunai RM35,000.

Menduduki tempat ketiga pula lagu Belenggu Rindu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong nyanyian Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita. Kemenangan itu melayakkan mereka memenangi trofi dan wang tunai RM20,000.

Suara penuh emosi Ernie Zakri mendendangkan lagu Gundah ciptaannya dan Sharon Paul membawa tuah apabila diumumkan pemenang trofi Vokal Terbaik dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.

Seterusnya, ​kategori Persembahan Terbaik pula menerima trofi dan wang tunai RM12,000 serta baucar McDonald's Malaysia selama setahun menjadi milik Zizi Kirana menerusi lagu Eh.

Lagu lain yang turut bertanding adalah Kau Sakiti dendangan Amir Masdi, Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter).

Turut bersaing, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta), Hati (Hael Husaini), Peluang Kedua (Nabila Razali), Semalam (Aina Abdul) dan Hutang (Floor 88). 

Persembahan 12 finalis AJL35 diadili oleh 10 juri profesional yang diketuai oleh ​Datuk Mokhzani​. Juri lain termasuklah Azmeer, Ajai, Datuk Syafinaz Selamat, Edrie Hashim, Helen Yap, AG Coco, LY, Datuk Acis dan Lukhman S.

Penghakiman dilakukan berdasarkan markah 80 peratus diadili terlebih awal iaitu dari segi melodi, lirik, vokal, produksi dan susunan dalam rakaman, manakala baki 20 peratus melalui persembahan, vokal termasuk susunan muzik secara langsung pada malam kemuncak.

AJL35 yang disiarkan dalam norma baharu itu menyaksikan gandingan tiga pengacara, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Husni.

Malam kemuncak AJL35 turut diserikan dengan persembahan pembuka tirai oleh Ratu Rock, Ella bersama Naim Daniel dan Yonnyboii.

Selain itu, buat kali pertama, lagu istimewa nyanyian Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Tuju K-Clique yang berjudul Baik Semula dipersembahkan. Lagu berkenaan berkisar situasi semasa pandemik COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia.

Kemudian, segmen interlude pula mengetengahkan persembahan bertemakan Projek Band menampilkan Hujan, Hazama & The Penglipur Lara dan Akim & The Majistret.

Semua kumpulan mempersembahkan aksi medley dan 'mash up' lagu-lagu terbaik, bergandingan dengan Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Sabtu, Mac 13, 2021

Vaksin: Bekas pesakit COVID-19 peroleh perlindungan tinggi

 


ajian dijalankan sekumpulan saintis Icahn School of Medicine di Mount Sinai, New York mendapati bekas pesakit COVID-19 yang menerima satu dos vaksin sama ada Pfizer atau Moderna mendapat perlindungan sama atau lebih baik berbanding individu bebas jangkitan.

Hasil kajian itu diterbitkan dalam New England Journal of Medicine, kelmarin.

Kajian itu membabitkan sampel darah 110 individu termasuk 67 yang belum dijangkiti, manakala bakinya adalah bekas pesakit COVID-19.

Individu berkenaan diberikan vaksin Pfizer atau Moderna, berdasarkan teknologi RNA (asid ribonukleik) baharu.

Kumpulan penyelidik mendapati bekas pesakit COVID-19 yang menerima suntikan pertama menunjukkan peningkatan antibodi yang cepat dalam beberapa hari selepas vaksinasi.

Saintis berulang kali mengambil sampel darah peserta dan mendapati selepas suntikan pertama, tahap antibodi peserta yang mempunyai jangkitan sebelumnya adalah 10 hingga 45 kali lebih tinggi daripada mereka yang tidak dijangkiti.

Tahap antibodi individu bekas pesakit COVID-19 juga mencatatkan enam kali lebih tinggi daripada mereka yang bebas jangkitan selepas kesemua mereka diberikan suntikan dos kedua.

Kajian juga mendapati tiada kesan sampingan serius yang menyebabkan kemasukan ke hospital bagi dua kumpulan penerima vaksin itu.

Penerima vaksin hanya mengalami kesan sampingan ringan hingga sederhana seperti keletihan, sakit kepala, menggigil, sakit otot, demam dan sakit sendi.

Bagaimanapun saintis menjelaskan data terhad dan lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengesahkannya. 

Sumber : AFP

 

 

 

Pantai Cherating pilihan penyu agar bertelur

 

abatan Perikanan Pahang merekodkan sebanyak 146 pendaratan penyu jenis agar betina yang menghasilkan kira-kira 12,267 telur sepanjang tahun lalu, di Pantai Cherating, di Pahang.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar, berkata bulan Julai mencatat jumlah terbanyak pendaratan penyu iaitu 47 kali yang menghasilkan sebanyak 4,123 telur diikuti, Ogos 35 kali (2,872); September 25 kali (2,777); Oktober 16 kali (1,447) dan November 12 kali (916) manakala Disember tidak ada pendaratan penyu dicatat.

Katanya, daripada 12, 267 telur yang dikumpul selama sembilan bulan hanya 6,286 sahaja yang menetas dan anak penyu dilepaskan ke laut secara berperingkat oleh kakitangan jabatan.

"Sepanjang tahun lalu tidak ada penyu jenis karah mendarat ditemui untuk bertelur. Perkara ini membimbangkan dan kami berharap, episod sama tidak berlaku tahun ini.

"Hampir setiap malam petugas meronda pantai Cherating di kawasan yang diwartakan untuk mengesan kehadiran penyu," katanya dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, tahun lalu seramai 36,923 pelancong tempatan dan luar negara berkunjung ke Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu, Cherating, bagi melihat pameran hidupan laut serta paling ditunggu, aktiviti melepaskan anak penyu ke laut bermula 6 petang.

Abdullah berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, hampir setiap minggu pelancong datang bersama keluarga termasuk secara rombongan.

Buktinya, seramai 36,923 orang, kemuncak pelancong datang pada Ogos membabitkan seramai 14, 209 orang dan September (5,584).

"Sepanjang 2019 sebanyak 42,162 telur jenis agar dikumpul dan 28,420 menetas serta dilepaskan ke laut, berbanding 12,683 telur pada 2018.

"Banyak faktor yang mempengaruhi penyu betina mendarat untuk bertelur, antaranya gangguan daripada manusia, cahaya lampu selain persekitaran," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Shopee tingkat usaha pendekkan masa penghantaran

 

Shopee meningkatkan usahanya untuk memendekkan masa penghantaran untuk penjual dan pembeli di Malaysia bagi memenuhi kebergantungan yang semakin meningkat kepada e-dagang dan keperluan untuk penghantaran yang lebih cepat.

Inisiatif ini termasuk pengenalan 10 lokasi 'drop-off' baharu bagi Shopee Xpress selain kerjasama dengan Parcelhub dan MBE, yang menjadikan jumlah keseluruhan lokasi 'drop-off' kepada lebih 300 di seluruh negara.

Pengarah Urusan Serantaunya, Ian Ho berkata penghantaran yang sebelum ini mengambil masa sehingga 10 hari, malah lebih lama di Malaysia Timur, kini dikurangkan kepada antara satu dan empat hari.

"Kami mengukuhkan lagi infrastruktur ini melalui Shopee Xpress dan kerjasama strategik bersama pemain logistik supaya pembeli dan perniagaan di luar sana dapat menikmati perkhidmatan penghantaran yang lebih baik," katanya dalam kenyataan

Selain itu, Shopee memperluaskan rangkaian gudang, hab dan pusat pengasingan di lebih 50 lokasi strategik di seluruh negara termasuk di kawasan seperti Senawang, Bagan Serai, Batu Pahat, Simpang Ampat dan Bayan Lepas untuk menambah baik kecekapan penghantaran termasuk ke bandar-bandar kecil.

Melalui rangkaian logistiknya yang diperluas, Shopee akan memperkenalkan penghantaran hari berikutnya di Semenanjung Malaysia (kecuali di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) melalui Shopee Xpress, bersempena kempen 3.3 Jualan Pasar Raya. 

Pengguna yang melakukan pembelian sebelum jam 12 tengah hari untuk barangan yang bertanda 'Penghantaran Hari Berikutnya' di Shopee Mart akan menikmati perkhidmatan penghantaran pada hari berikutnya (tidak termasuk cuti umum).

Pelanggan yang mengunjungi Shopee semasa 3.3 Jualan Pasar Raya dapat menikmati penghantaran percuma dengan pembelanjaan minimum RM10, tawaran potongan harga 50 peratus setiap hari serta tawaran dari serendah 33 sen.

"Perkhidmatan penghantaran hari berikutnya adalah satu lagi inisiatif apabila Shopee menggunakan teknologi untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna dan penjual kami dengan lebih baik.

"Ekosistem e-dagang kami yang kukuh dimantapkan menerusi perkhidmatan logistik kami, beserta sistem pembayaran bersepadu seperti dompet mudah alih kami iaitu ShopeePay dan ciri dalam aplikasi seperti Shopee Live dan Shopee Chat yang meningkatkan pengalaman membeli-belah," katanya.

Pembayaran dengan ShopeePay turut disaran berikutan pendaftaran keluar lebih cepat, terutamanya apabila cuba mendapatkan tawaran yang terhad.

Saluran penstriman langsung platform e-dagang itu, Shopee Live, turut bekerjasama dengan TV3 untuk membawakan pengalaman membeli-belah TV yang terbaik melalui 3.3 Supermarket Show.

Rancangan ini yang akan menghiburkan rakyat Malaysia dan menampilkan tawaran menarik akan ditayangkan pada 3 Mac, pada 9 malam.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai 3.3 Jualan Pasar Raya, layari https://shopee.com.my/m/3-3

Platform e-dagang itu mengambil langkah terbabit selepas Parcel Monitor dan iPrice Group mendapati sekatan pergerakan berikutan COVID-19 telah memberi impak kepada aspek penghantaran logistik kepada pengguna, iaitu menambah masa penghantaran sebanyak 119 peratus bagi Malaysia.

Pada 2019, Parcel Perform dan iPrice Group melaporkan bahawa penduduk negara Malaysia menghadapi masa menunggu paling lama untuk penghantaran pesanan dalam talian mereka di rantau Asia Tenggara.

Sumber : BERNAMA

 

 

Fenomena Awan Karpet menakjubkan

 

Dengan populasi penduduk seramai 255,000 orang dan keluasan 819 kilometer persegi, Perlis sering kali dipandang sepi oleh pelancong yang hanya menjadikan negeri itu sebagai transit untuk melancong ke Langkawi atau menuju ke Hatyai, Thailand.

Malah, sebagai negeri terkecil di Malaysia, Perlis juga dilihat tidak mempunyai tarikan pelancongan, selain Arked Beli-Belah Padang Besar yang terletak berhampiran pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand.

Namun, 'awan karpet' dilihat dari View Point Wang Kelian, di sini mencetuskan fenomena apabila ramai pelancong datang untuk menyaksikan panorama indah itu pada awal pagi.

Lazimnya, cuti hujung minggu atau hari kelepasan am pengunjung beriadah di kawasan View Point Wang Kelian, di samping melihat panorama 'awan karpet' terbentuk saujana mata memandang.

View Point Wang Kelian terletak di ketinggian 303 meter dari aras laut. Perjalanan ke sana selama 30 minit dari Kangar manakala 20 minit dari dari pekan Padang Besar.

Kawasan Wang Kelian juga salah satu pintu sempadan ke Thailand di Perlis, selain di Padang Besar.

Penulis berkesempatan melihat karpet awam yang menakjubkan, baru-baru ini.

Ketika menghampiri kawasan itu, ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.

Kelihatan ada pengunjung berbasikal atau berjoging menuju ke kawasan itu dan rata-rata teruja melihat 'awan karpet' yang tular sejak awal tahun lalu.

Sebaik tiba, kelihatan gumpalan awan yang terbentang luas bak permaidani melewati dua puncak Bukit Chabang.

Gumpalan corak awan terbentang juga dapat dilihat sehingga Empangan Timah Tasoh yang terletak 16.2 kilometer dari kawasan itu.

Disebabkan Perlis tiada banyak bangunan pencakar langit dan amat kurang pencemaran udara jadi awan karpet ini mudah terbentuk.

Pengunjung, Jasni Hashim, 44 yang bertugas sebagai jurutera di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), berkata fenomena 'awan karpet' ini lazimnya berlaku jam 6.50 pagi sehingga jam 7.30 pagi.

"Fenomena ini sebenarnya sudah lama berlaku, namun hanya kebelakangan ini selepas tular gambar keindahan awan berkenaan ramai berpusu-pusu ke kawasan itu.

"Di kawasan sini sangat sesuai untuk melihat keindahan fenomena awan, di samping menikmati cuaca sejuk di kawasan ini," katanya.

Beliau juga dikenali sebagai Ved Vedder dalam kalangan komuniti jurugambar alam semula jadi berkata, kewujudan View Point Wang Kelian untuk melihat fenomena 'awan karpet' ini memberi 'nafas' baru industri pelancongan di Perlis yang sebelum ini agak suram. 

Pengunjung, Ahmad A'fifi Azme, 25, dari Kangar berkata, sebelum ini ramai tidak ambil peduli fenomena itu khususnya penduduk di negeri ini.

"Selepas tular di media sosial tiba-tiba menarik ramai pengunjung sedangkan sebelumnya sepi," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, rancangan mengkomersilkan lokasi itu sama seperti di Betong,Thailand.

"Perlis jarang diletakkan sebagai destinasi pelancong domestik dan antarabangsa kerana lebih terarah ke Langkawi, Kedah atau Hatyai di Thailand.

"Perlis hanya sebagai transit persinggahan sementara sebelum ke destinasi berkenaan.

"Selepas tersebar foto keindahan fenomena 'awan karpet' ini, kita melihat ia wajar dibangunkan menjadi tarikan di kawasan View Point Wang Kelian," katanya.

Antara lokasi boleh dikunjungi seperti Muzium Kota Kayang, Hutan Lipur Bukit Kubu, Kampung Pulau Ketam, Trek Kurong Tengar, Masjid Terapung al-Hussein Kuala Perlis, Warung Tepi Sawah, Tasik Melati, Empangan Timah Tasoh dan pelbagai lagi.

Info: View Point Wang Kelian

  • Lokasi terletak berhampiran bandar Satun, Thailand.
  • Menjadi pintu keluar antara Malaysia-Thailand.
  • Fenomena 'awam karpet' dilihat pada awal pagi.
  • Terletak di ketinggian 303 meter dari aras laut.
  • Perjalanan 30 minit dari Kangar, 20 minit dari pekan Padang Besar.
  • Boleh dilihat dari Ampangan Timah Tasoh, 16.2 kilometer dari Menara Pandang Wang Kelian.
  •  Sumber : Berita Harian

     

     

     

     

     

    Rabu, Mac 10, 2021

    Pelancongan rentas negeri PKPP dibenarkan

     

    Kerajaan mengumumkan Gelembung Pelancongan Bersasar yang membenarkan pelancong bergerak dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), merentas negeri PKPP lain.

    Kebenaran pergerakan itu tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar, merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mesyuarat jawatankuasa teknikal meluluskan cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai Gelembung Pelancongan Bersasar, bagi membantu memulihkan kembali ekonomi pelancongan.

    "Selepas mengambil kira penilaian risiko dan data daripada agensi-agensi berkaitan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP lain.

    "Namun mereka perlu menggunakan perkhidmatan syarikat berdaftar dan pergerakan menggunakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan," katanya dalam sidang media harian COVID-10 hari ini.

    Ismail Sabri berkata, syarikat agensi pelancongan perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pergerakan rentas negeri.

    "Perjalanan mestilah terus ke negeri PKPP dan tidak dibenarkan berhenti di mana-mana negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala tempat penginapan sudah ditetapkan dan aktiviti pelancongan juga perlu ditetapkan lebih awal," katanya.

    Ismail Sabri berkata, Gelembung Pelancongan Bersasar juga memberikan kebenaran melancong ke Pulau Langkawi yang ditukarkan status kepada PKPP meskipun negeri Kedah masih dilaksanakan PKPB.

    Katanya, pulau berkenaan dalam zon hijau, selepas kes positif COVID-19 terakhir yang dikesan pada 20 Februari lalu dengan dua kes positif.

    Sumber : Berita Harian

     

    COVID-19 antara punca utama kemahiran 3M murid terjejas

     

    Oleh Hazhari Ismail

    Pensyarah, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

    Antara hala tuju pendidikan prasekolah negara ialah menyasarkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) berada pada tahap yang sepatutnya sebelum murid masuk ke Tahun Satu.

    Kemahiran 3M mempunyai proses tertentu untuk dikuasai dengan baik supaya pembelajaran di sekolah rendah menjadi lebih mudah.

    Bagaimanapun, sehingga Oktober 2020, murid kehilangan 54 hari atau 3240 jam waktu persekolahan yang menyebabkan mereka tidak berpeluang untuk meningkatkan kemahiran 3M.

    Dua bulan pertama persekolahan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan adalah tempoh kanak-kanak ini hendak menyesuaikan diri dengan keadaan persekolahan yang menyeronokkan, namun ia terhenti. 

    Nyanyian lagu kanak-kanak, bacaan buku cerita, contengan bebas di tadika bersama kawan-kawan terpaksa dilupakan dan digantikan dengan gajet yang ada sebahagiannya berebut dengan adik beradik lain atau terputus talian internetnya malah terdapat murid yang tiada sebarang peranti pun.

    Secara jelas, penutupan sekolah antara punca utama kenapa pencapaian kemahiran 3M berada di tahap yang membimbangkan jika tiada sokongan dan bimbingan yang baik.

    Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) jumlah keciciran pelajar sedia akan meningkat enam kali ganda jika tiada langkah pencegahan diambil sekali gus meningkatkan jurang sistem sosio ekonomi negara.

    Melihat daripada hasil kajian #untukMalaysia, 79.5 peratus atau lapan daripada 10 kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai mereka yang tercicir adalah golongan B40.

    Jurang ekonomi yang tinggi, menyebabkan peluang mereka kepada akses pendidikan dipinggirkan. Inilah gangguan pembelajaran atau 'interrupted learning' yang dicanangkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai kesan yang merugikan kepada negara.

    Usah bercerita mengenai teknologi untuk pembelajaran dalam talian jika mereka masih berjuang untuk mendapatkan sesuap nasi.

    Kesan pada murid luar bandar

    Apabila proses kemahiran 3M ini tidak dijadualkan dengan baik kepada kanak-kanak, mereka mempunyai masalah di sekolah rendah. Pada 2018, di daerah Kuantan sahaja 3,677 daripada 8,256 murid Tahun Satu masih lagi tidak tahu mengenal huruf seperti yang dihebahkan sebelum pandemik berlaku. Itu hanya statistik untuk Tahun Satu, bagaimana pula dengan tahun yang berikutnya? Lebih membimbangkan, ia adalah hasil kajian dari kawasan bandar, bagaimana pula dengan luar bandar?

    Kanak-kanak ini perlu mendapat akses pendidikan yang sepatutnya kerana ia adalah hak dan bukan pilihan. Hanya dengan pendidikan mampu merubah status kelas sosial mereka dan keluar daripada kemiskinan. Kita tidak mahu kanak-kanak di bandar sedang bermewah dilimpahi teknologi dan kemudahan, sedangkan di satu kawasan yang lain, mereka masih tidak tahu membaca.

    Banyak badan bukan kerajaan bersiap siaga untuk membantu kanak-kanak tercicir ini daripada pelbagai aspek kerana masalah kanak-kanak bukan sahaja dari segi kognitif dan sosialnya, malah emosi mereka juga turut perlu dibantu. Pengabaian kanak-kanak boleh menyebabkan kita mendera bukan sahaja secara fizikal, malah mencakupi pengabaian emosi. 

    Murid tercicir

    Dasar penutupan sekolah ini bagaimanapun diamalkan di seluruh dunia sebagai respons pantas bagi mengurangkan hubungan sosial sebagai usaha menghentikan penularan wabak COVID-19.

    Tindakan itu membabitkan sekitar 1.5 bilion kanak-kanak seluruh dunia dari 192 buah negara.

    Bagaimanapun, sehingga hari ini keberkesanan tindakan penutupan sekolah masih diragui, dan dalam pada masa yang sama pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak berdepan dengan akibat yang buruk.

    Kajian menunjukkan antara implikasi negatif yang dihadapi oleh kanak-kanak ialah masalah pengambilan makanan (kurang makan daripada biasa), corak tidur yang tidak tetap, tempoh penggunaan skrin yang lebih lama, kekurangan aktiviti fizikal, peningkatan stres, serta kekurangan interaksi sosial bersama rakan-rakan. Hal ini mampu mengakibatkan risiko masalah kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak pada masa akan datang.

    Dalam situasi yang biasa, persekolahan yang formal menyediakan ilmu dan pengetahuan untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak secara optimum.

    Namun, hal ini ini tidak dapat disediakan di era pandemik COVID-19 sekali gus menyaksikan 150 juta daripada kanak-kanak seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada pendidikan. Apa yang lebih membimbangkan ialah kanak-kanak ini bukan sahaja berdepan dengan masalah akses pendidikan, malah turut diburukkan dengan tidak mendapat kesihatan dan nutrisi yang baik.

    Sekurang-kurangnya pertambahan 140 juta kanak-kanak hidup di dalam keadaan kemiskinan tegar sejak COVID-19 melanda. Sekolah bertukar dalam talian yang mana 463 juta kanak-kanak yang berdepan dengan kemiskinan sebelum era COVID-19 terus keciciran.

    Malaysia juga tidak terlepas daripada bencana ini. Hampir 36 peratus atau 1.8 juta kanak-kanak di Malaysia tidak mempunyai akses kepada pembelajaran dalam talian atas pelbagai faktor.

    Apa yang menambah kerunsingan ialah jika tiada pembaikan dijalankan, kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah akan tercicir sekali gus mampu meningkatkan kadar buta huruf dalam kalangan rakyat pada masa hadapan. Ketika ini Malaysia berada pada kedudukan ke-53 dengan 94.85 peratus kadar celik huruf.

    INFO Langkah menangani impak COVID-19 kepada kemahiran 3M

    • Guru perlu mengenal pasti dengan mengumpulkan data dan pengesanan keciciran 3M kanak-kanak

    • Menggunakan khidmat agensi bukan kerajaan seperti Untuk Malaysia, Helping Hands, Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia yang menjadi sukarelawan membantu kanak-kanak dari golongan B40 yang tercicir.

    • Sistem persekolahan hari ini tidak secara sepenuhnya bergantung kepada guru sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa. Kembali kepada yang asas, kemahiran membaca bermula dari rumah.

    • Ibu bapa yang rajin membaca dan menyediakan suasana membaca yang baik membantu memberikan kesediaan 3M kepada kanak-kanak.

    • Ibu bapa membaca juga boleh kembali menjadi amalan membaca sebagai sebahagian norma baharu, jika sudah lama tidak berbuat demikian.

    Sumber : Berita Harian

     

     

     

    Semakan Keputusan ke MRSM Tahun 2021

     


    Tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sesi 2021, bagi ke Tingkatan 1 dan 4, boleh mula disemak mulai 10 Mac 2021.

    MARA memaklumkan, kemasukan pada tahun ini mengambil kira dua kriteria, iaitu lulus Ujian Kecenderungan Kecemerlangan Kemasukan ke MRSM (UKKM) atau Ujian Khas Ulul Albab dan merit Status Sosio Ekonomi (SES) keluarga.

    Katanya, calon berjaya ditawarkan ke MRSM akan menerima sistem pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang didaftarkan semasa permohonan.

    "Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi MARA di www.mara.gov.my. Pemohon atau ibu bapa perlu mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan menerusi pautan sistem mymrsm dalam portal MARA.

    "Sekiranya calon tidak membuat pengesahan penerimaan tawaran dalam tempoh tujuh hari, tawaran kepada calon berkenaan dianggap terbatal," katanya.

    Katanya, permohonan rayuan ke MRSM dibuka pada 7 April sehingga 30 Mei depan secara atas talian dan pemohon tidak perlu menghantar permohonan fizikal kerana proses dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian.

    "Pada tahun ini, MARA menerima 102,329 ribu permohonan bagi kemasukan ke Tingkatan 1 dan 4. Kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 seramai 7,783 orang pelajar, manakala bagi Tingkatan 4 pula seramai 2,426 orang pelajar.

    "Pelajar MRSM sedia ada kini berjumlah 28,087 orang pelajar setakat Februari lalu di 53 MRSM," katanya turut memaklumkan dua MRSM baru akan mula beroperasi awal Jun, iaitu MRSM ATM Bera, Pahang dan MRSM Bagan Datuk, Perak.

    Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata MARA masih meneruskan dasar sedia ada dengan 60 peratus pengambilan daripada golongan berpendapatan rendah atau B40.

    "Keutamaan juga diberi kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar. Bagi memastikan pelajar B40 dapat meneruskan pengajian di MRSM, MARA akan meneruskan program BUDI MARA. Pelajar B40 tidak perlu bimbang kerana MARA menyediakan program bantuan di bawah program BUDI MARA.

    "Pelajar terpilih akan diberi bantuan wang tunai berjumlah RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian persekolahan, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan dan sebagainya," katanya.

    Melalui pendekatan ini, katanya, akan memberi peluang yang lebih besar kepada pelajar dari kalangan B40 untuk mengikuti pengajian di MRSM.

    Sumber : Berita Harian

    Selasa, Mac 09, 2021

    Kira anggaran penggunaan elektrik di rumah

     

    Orang ramai boleh membuat kiraan penggunaan perkakas elektrik menggunakan kalkulator tenaga di rumah di laman web myTNB, Tenaga Nasional Bhd (TNB).

    TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/home-energy-..., anggaran pengiraan itu berdasarkan keadaan peralatan yang berfungsi dengan sempurna, kerana kecekapan peralatan akan berkurangan jika semakin lama ia digunakan berikutan faktor usia.

    "Pengguna yang berhasrat untuk membeli peralatan elektrik yang baharu dinasihatkan memilih perkakas elektrik berpandukan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Peralatan berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang lebih menjimatkan penggunaan elektrik," kata kenyataan itu.

    Sementara itu, TNB menyatakan akibat taburan hujan yang agak rendah sejak Februari serta gelombang haba baru-baru ini, permintaan elektrik puncak bagi Semenanjung Malaysia melonjak kepada 18,035 megawatt (MW) pada 2 Mac lalu, berbanding 17,501MW pada Februari dan 16,585MW pada Januari. 

    Mengikut TNB, permintaan elektrik yang tinggi itu antaranya didorong oleh penggunaan penyaman udara yang lebih kerap dan tempoh yang panjang.

    Untuk rekod, permintaan puncak tertinggi pernah direkodkan adalah 18,808MW pada 10 Mac 2020, lapan hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan. 

    Sumber : Berita Harian

     

     

    Isnin, Mac 08, 2021

    Pemohon IPTA, ILKA dikecualikan bayaran UPUOnline

     

    Tiada caj dikenakan untuk membuat permohonan melanjutkan pengajian melalui UPUOnline membabitkan pemohon bagi sesi akademik 2021/2022.

    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata ini kerana pihaknya bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran proses berkenaan.

    Keputusan itu diharapkan dapat meringankan beban pelajar dan melancarkan urusan mereka untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah.

    "Untuk makluman, bayaran proses UPUOnline sebelum ini dikenakan kepada pemohon untuk mendapatkan nombor Unik ID Bank Simpanan Nasional sebagai syarat untuk mengisi borang permohonan bagi melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA). 

    "Justeru, melalui pengecualian ini, permohonan kemasukan ke IPTA dan ILKA bagi sesi akademik 2021/2022 boleh dibuat terus oleh pemohon di laman web upu.mohe.gov.my," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas mengenai proses permohonan, Noraini menjelaskan pengecualian bayaran itu membabitkan empat kategori permohonan iaitu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM); matrikulasi dan Diploma atau setaraf. Ia membabitkan tempoh permohonan bermula 4 Januari hingga 31 Mac.

    "Bagi pilihan program pengajian, lepasan SPM boleh berbuat demikian bermula 21 Mac hingga 31 Mac. Lepasan STPM, Asasi dan STAM pada 16 Mac hingga 31 Mac.

    "Lepasan Matrikulasi pula boleh memohon mulai 23 Mac hingga 31 Mac manakala lepasan Diploma dan setaraf pada 9 Mac hingga 31 Mac," katanya.

    Sumber : Berita Harian

     

    Khamis, Mac 04, 2021

    Vaksin AstraZeneca berkesan bagi golongan lebih 80 tahun

     

    Vaksin COVID-19 AstraZeneca/Oxford didapati berkesan lebih 80 peratus mencegah penyakit serius dalam kalangan warga emas yang berisiko selepas satu dos pengambilan, demikian hasil penyelidikan awal yang diterbitkan semalam.

    Keputusan yang belum dikaji semula itu meningkatkan bukti bahawa vaksin yang dinasihatkan tidak diberikan kepada golongan berusia lebih 65 tahun di beberapa negara itu adalah selamat dan berkesan kepada warga emas.

    Penyelidik di University of Bristol melakukan analisis terhadap pesakit berusia lebih 80 tahun, yang dimasukkan ke hospital di Britain dengan penyakit pernafasan.

    Semua pesakit menjalani ujian COVID-19 dan kes positif serta negatif diasingkan kepada dua kumpulan data.

    Penyelidik kemudian melihat jumlah individu dalam setiap kumpulan itu yang sudah menerima satu dos vaksin sama ada AstraZeneca atau yang dibangunkan Pfizer.

    Mereka mendapati sembilan dari 36 pesakit (25 peratus) positif COVID-19 menerima suntikan AstraZeneca.

    Dalam kalangan pesakit negatif COVID-19, 53 daripada 90 pesakit (58.9 peratus) menerima suntikan.

    Penyelidik berkata, perbezaan antara bahagian kes positif dan negatif yang menerima satu dos vaksin mewakili keberkesanan 80.4 peratus dalam mengurangkan COVID-19 yang teruk.

    Bagi vaksin Pfizer, 18 daripada 245 pesakit positif COVID-19 menerima satu dos suntikan, berbanding 90 daripada 269 pesakit negatif. Ia menunjukkan keberkesanan sebanyak 71.4 peratus.

    "Satu dos sama ada vaksin (Pfizer) atau (AstraZeneca) menyebabkan penurunan yang ketara terhadap risiko kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19 dalam kalangan warga emas, pesakit yang lemah dengan penyakit komorbid," katanya.

    Profesor farmakepidemiologi di London School of Hygiene and Tropical Medicine, Stephen Evans, berkata hasil kajian itu 'memberi bukti lebih lanjut vaksin itu berkesan kepada kumpulan usia yang lebih tua, yang kurang dikaji dalam ujian percubaan'.

    Kedua-dua vaksin ini dibangunkan dan diuji secara klinikal untuk diberikan dalam bentuk dua dos dalam tempoh selang beberapa minggu. -

    Sumber : AFP