Selasa, Oktober 27, 2020

Vespa Primavera Sean Wotherspoon ada kelainan

 

Didi Resources Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia melancarkan model istimewa Primavera Sean Wotherspoon, yang dipasarkan di Malaysia pada harga RM24,960.

Model penuh 'ranggi itu' diperkenalkan menerusi hasil kerjasama antara Vespa dengan pereka dan ikon fesyen yang terkenal dalam dunia street wear, Sean Wotherspoon.

Keistimewaan model ini adalah pada penampilannya, di mana ia tampil dengan idea dan sentuhan idea Whotherspoon.

Dari segi penampilan, Primavera Sean Wotherspoon hadir dengan campuran warna kuning, merah, hijau gelap, putih dan biru muda pada keseluruhan bahagian motosikal ini.

Anda juga boleh menyaksikan pada bibir rimnya terdapat tulisan Vespa manakala pada panel tepi diletakkan tulisan Primavera yang bersusun.

Sentuhan memukau

Selain warna pada panel badan, Wotherspoon juga telah memilih warna khas untuk beberapa bahagian lain seperti tempat duduk coklat muda, lapik kaki merah (sama seperti penyerap hentak) serta kemasan getah biru.

Melengkapkan penampilan model ini adalah kemasan krom pada perumah lampu, rak barangan hadapan, cermin sisi serta pemegang untuk penumpang belakang.

Bahagian mekanikal model ini masih sama seperti Primavera 150 biasa di mana ia menggunakan enjin empat strok, satu silinder i-GET 155 cc, suntikan bahan api serta transmisi automatik CVT, sekali gus mampu menghasilkan kuasa 12.9 hp pada 7,750 rpm.

Rim adalah bersaiz 12 inci dan kelengkapan lainnya termasuk brek cakera 200 mm di hadapan, brek dram di belakang, ABS one-channel, satu penyerap hentak di hadapan dan belakang, tangki bahan api lapan liter, tinggi tempat duduk 790 mm dan tahap emisi Euro 4.

Vespa Primavera Sean Wotherspoon boleh didapati bermula bulan ini di semua rangkaian Vespa di Malaysia.

Sumber : Berita Harian

 

 

Perodua, Proton kekal paling laris

 


Perodua dan Proton kekal mendominasi carta jualan kereta penumpang untuk suku ketiga 2020 dengan kedua-dua jenama itu mencatat peningkatan jualan pada September berbanding Ogos.

Menurut data jualan yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kereta penumpang Perodua meningkat daripada 22,604 pada Ogos kepada 25,035 pada September.

Ini menjadikan jualan keseluruhan Perodua tahun ini sehingga September sebanyak 145,012 buah kenderaan.

Proton pula berjaya meningkatkan jualan daripada 11,378 pada Ogos kepada 11,875 pada September, menjadikan jualan keseluruhan mereka pada 2020 sehingga September sebanyak 73,547 buah kenderaan.

Honda tampil lebih cemerlang pada September apabila berjaya memintas Toyota di tempat ketiga dengan jualan sebanyak 5,875 buah kenderaan, berbanding 5,520 buah kenderaan untuk Toyota.

Walau bagaimanapun, Toyota masih mendahului dari segi jualan keseluruhan dengan 36,834 buah kenderaan berbanding 34,655 buah untuk Honda.

Secara keseluruhannya, jualan kenderaan pada September 2020 adalah sebanyak 56,444 buah, lebih baik berbanding catatan pada September 2019 dengan 44,666 buah.

Namun, jualan keseluruhan tahunan sehingga September pada 2020 masih rendah berbanding tahun lalu, iaitu hanya 341,489 berbanding 442,985.

Menurut MAA, jualan yang baik pada September tahun ini berbanding bulan sama tahun lalu dan Ogos tahun ini disebabkan kempen promosi berterusan oleh syarikat kereta serta penghasilan kenderaan yang lebih banyak.

Namun begitu, MAA menjangkakan penurunan jualan pada Oktober berdasarkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan penamatan moratorium automatik yang menjadikan pengguna lebih berhati-hati ketika berbelanja. 

Sumber : UTUSAN

 

 

AgroBank lulus 9,101 permohonan bantuan penjadualan semula pinjaman

 

Agrobank meluluskan 9,101 permohonan untuk bantuan penstrukturan dan penjadualan semulanya.

Bank itu berkata permohonan itu terdiri daripada pelanggan komersial, pengguna dan perusahaan mikro yang memohon bantuan kewangan tambahan bagi meredakan aliran tunai mereka yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Penanggung Tugas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khatijah Iskandar, berkata Agrobank komited untuk memberikan sokongan kepada pelanggannya pada masa yang mencabar ini.

"Bagi pelanggan yang masih menghadapi kesukaran untuk membayar ansuran bulanan mereka, Agrobank akan terus menawarkan bantuan pembayaran balik dan menerima permohonan sehingga Jun 2021.

"Kami ingin memaklumkan kepada semua pelanggan kami bahawa sebarang bantuan kewangan yang diambil tidak akan mempengaruhi Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Agrobank juga menggalakkan semua pelanggannya untuk tampil menyusun semula atau menjadualkan semula kemudahan pembiayaan mereka, sebagai penyelesaian jangka panjang selepas tamat tempoh pelaksanaan moratorium.

Setakat hari ini, Agrobank telah meluluskan semua permohonan moratorium lanjutan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai.

Memandangkan bank berkenaan menyediakan pembiayaan dalam seluruh rantaian nilai pertanian, Khatijah berkata bantuan tersebut terbuka kepada individu, perusahaan mikro, perusahaan kecil dan sederhana, juga pelanggan korporat.

"Kami mengalakkan agar pelanggan kami untuk berhubung dengan pegawai bank mengenai pilihan yang ada atau sekiranya mereka tidak pasti apa yang harus dilakukan selanjutnya," tambahnya.

Sumber : BERNAMA

 

Hong Leong Bank lanjut bantuan bayar balik pinjaman hingga Jun 2021

 

Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) akan melanjutkan Pelan Bantuan Pembayaran HLB (HLB PRAP) kepada pelanggan masing-masing sehingga 30 Jun 2021.

Dalam satu kenyataan, HLB mengulangi pelan bantuan pembayaran itu bertujuan untuk membantu pelanggan memulihkan kedudukan mereka dan ia termasuk permohonan untuk pelanggan yang telah mula membuat pembayaran tetap tetapi mungkin masih berdepan dengan halangan.

"Bentuk bantuan itu meliputi, tetapi tidak terbatas kepada, tempoh penangguhan pembayaran tambahan untuk pelanggan yang telah kehilangan pekerjaan atau menutup perniagaan mereka, atau pengurangan ansuran pinjaman bulanan dengan jangka masa pinjaman dilanjutkan bersesuaian dengan tahap pengurangan pendapatan pelanggan," katanya.

HLB berkata pihak bank juga telah mendedikasikan Pelan Bantuan Penukaran Baki Kad Kredit untuk membantu pelanggan menguruskan hutang kad kredit mereka.

Pelan itu membenarkan pelanggan menukar baki kad kredit tertunggak mereka ke dalam pinjaman berjangka dengan memilih pelan ansuran 36 bulan pada kadar faedah efektif 13 peratus setahun (kadar faedah rata 7.1 peratus setahun).

Pihak bank akan menerima permohonan untuk fleksibiliti tersebut sehingga 30 Jun 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif HLB dan Pengarah Urusan Kumpulan, Domenic Fuda, berkata bank itu kekal fokus dan tangkas bagi memastikan bantuan tambahan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Kami juga memberi bantuan kepada pelanggan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka, atau mengautomasikan atau mendigitalkan operasi mereka, atau khususnya kepada individu yang sedang mencari pembiayaan baharu untuk memenuhi keperluan peribadi mereka," katanya.

Pelanggan boleh menghubungi talian hotline Pelan Bantuan Pembayaran HLB/HLISB di talian 03-7959 1888 atau lawati www.hlb.com.my/relief untuk maklumat lanjut.

Sumber : BERNAMA

 

Isnin, Oktober 26, 2020

Pelanggan BSN diminta mohon pakej susun semula pembiayaan

 

Bank Simpanan Nasional (BSN) menyeru agar pelanggan yang terjejas oleh pandemik COVID-19 untuk menghubungi pihak bank bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian. 

Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan yang ditawarkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) masih dibuka sehingga 31 Disember depan.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani, berkata pelanggan yang masih belum memberi maklum balas diminta segera memohon Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan.

"Kami menasihatkan agar pelanggan yang berhasrat memohon bantuan untuk menghubungi kami dengan kadar segera kerana proses bagi meneliti setiap permohonan akan mengambil masa".  

Tiga sektor utama pelanggan mikro yang telah memohon Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan BSN adalah daripada sektor perdagangan runcit, perdagangan borong serta penjualan dan pembaikan kenderaan.

BSN turut menegaskan kepada pelanggannya bahawa sebarang bantuan pembayaran yang diambil tidak akan menjejaskan status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka.

Pelanggan boleh mengunjungi cawangan utama BSN di seluruh negara (kecuali Kedah) serta cawangan–cawangan terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi Negeri Kedah pula, pelanggan boleh berkunjung ke cawangan BSN Aman Jaya.

Senarai cawangan BSN yang beroperasi boleh didapati melalui laman sesawang www.mybsn.com.my.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi pusat hubungan BSN melalui talian 1-300-88-1900. 

Sumber : BERNAMA

Ahad, Oktober 25, 2020

Tengku Hassanal naik helikopter ke Istana Negara

 

Ramai yang tertanya-tanya siapa yang ke Istana Negara menaiki helikopter hari ini.

Kosmo! Online difahamkan helikopter yang tiba pada pukul 3.04 petang itu dinaiki oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah.

Helikopter itu kelihatan meninggalkan Istana Negara pada pukul 5.30 petang sejuruh selepas Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu.

Hari ini berlangsung di Istana Negara Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja berikutan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Khas Jumaat lalu.

Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu itu dihadiri oleh semua raja-raja Melayu kecuali Sultan Kelantan.

Sumber : Kosmo!

Raja-raja pemerintah zahir penghargaan kepada Agong

 

Raja-raja Pemerintah menzahirkan penghargaan pada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas sifat baginda memilih melakulan rundingan dan konsultasi sebelum memberikan sebarang perkenan dan menzahirkan apa-apa keputusan menyentuh perkara yang sangat penting.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan oleh Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.

Terdahulu, Raja-raja telah mengadakan mesyuarat khas bersama baginda di Istana Negara bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Sultan Terengganu, Raja Perlis, Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Johor, Sultan Perak, Sultan Kedah, dan Pemangku Raja Pahang.

Sumber : Kosmo!

Pakar dakwa temui lokasi pesawat MH370 terhempas

 

 

Pakar penerbangan mendakwa sudah menemui lokasi nahas pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan kru pada Mac 2014.

Menurut laporan akhbar Daily Mail, seorang jurutera, Victor Ianello, bersama pasukannya yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), mengumumkan penemuan itu awal minggu lalu, sekali gus memberi harapan baharu selepas kira-kira enam tahun.

Ianello memaklumkan, pasukannya yakin pesawat Boeing 777 itu terhempas dan tenggelam di Lautan Hindi berhampiran koordinat S34.2342 dan E93.7875, kira-kira 2,070 kilometer (km) di luar pesisiran pantai Perth di Australia Barat.

"Bangkai pesawat terbabit berkemungkinan besar berada dalam lingkungan 100 batu nautika dari koordinat berkenaan.

"Justeru, wujud peluang yang baik untuk menemuinya jika carian dasar laut dilakukan segera," katanya yang dipetik laman sesawang berita penerbangan, AirLive.

Beliau sebelum ini turut membantu pegawai Australia melakukan operasi carian MH370, percaya pesawat terbabit terbang sejauh 4,340 km melepasi Indonesia sebelum nahas itu berlaku.

Sebelum ini, dua misi carian dasar laut dilakukan berdekatan kawasan perairan terbabit, namun tidak menemui sebarang serpihan pesawat atau bukti berkaitan, dengan carian terakhir dilakukan pada 2018.

Sementara itu, seorang lagi pakar penerbangan, Byron Bailey, mendakwa operasi carian terdahulu dilakukan di lokasi yang salah dan mereka sepatutnya menumpukan pencarian di selatan Lautan Hindi.

Beliau juga yakin kawasan carian dilakukan sebelum ini hanya tersasar dalam lingkungan 30 kilometer dari lokasi sebenar bangkai pesawat tersebut dipercayai berada.

"Saya berani bertaruh apa saja bahawa pesawat itu berada dalam lingkungan radius yang kami dapati selepas melakukan siasatan," katanya.

Sebelum ini, usaha besar-besaran mencari pesawat terbabit selama empat tahun menemui jalan buntu walaupun lebih AS$200 juta (RM831 juta) dibelanjakan bagi melakukan carian meliputi kawasan seluas 120,000 meter persegi.

Pelbagai spekulasi menyelubungi kehilangan MH370 yang dianggap antara misteri terbesar dunia penerbangan, antaranya termasuk teori konspirasi ia sengaja dijatuhkan, dirampas dan ditembak jatuh. 

Sumber : Agensi

 

Agong mendapati tiada keperluan isytihar darurat

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Beliau berkata, Seri Paduka berkenan memperhalusi permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.

Permohonan berkenaan, katanya, ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

"Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

"Seri Paduka amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada terus merebak," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Fadil memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Petang Jumaat lalu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz bagi membentangkan cadangan hasil Mesyuarat Khas Kabinet pada sebelah paginya.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Seri Paduka berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan kepada baginda oleh Perdana Menteri.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada baginda.

Namun, spekulasi yang tercetus mengandaikan ia antara lain adalah syor kerajaan untuk melaksanakan darurat atau prorog Parlimen, mengambil kira keadaan semasa penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

Prorog adalah pemberhentian atau penggantungan sidang Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir persidangan terdahulu.

Sumber : Berita Harian

 

AmBank lancar kad kredit rebat tunai baharu

 

AmBank Group (AmBank) memperkenalkan kad kredit baharu, AmBank Cash Rebate Credit Card yang memberi rebat tunai sehingga lapan peratus bagi pembelian barangan runcit, barangan farmasi dan berbelanja secara online, termasuk tambah nilai e-dompet.

Ia susulan kolaborasi strategik antara AmBank dengan Visa bagi meningkatkan proposisi dan penawaran kad kreditnya di pasaran.

Kad berkenaan dilancarkan bagi memenuhi keperluan norma baharu pelanggan, dengan sasaran untuk menangani tingkah laku perbelanjaan pengguna masa kini dalam membeli barangan keperluan.

Pengarah Urusan Perbankan Runcit AmBank, Aaron Loo berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Visa bagi menyediakan pengalaman berbelanja yang lancar dan ganjaran menarik buat pelanggan.

“Mengambil kira kelakuan perbelanjaan semasa, kami melancarkan kad yang menepati keperluan pelanggan.

“Jadi, kami memilih tiga kategori ini iaitu barangan runcit, farmasi dan online yang membolehkan perbelanjaan untuk barangan keperluan menjadi lebih menjimatkan,” katanya menerusi siaran akhbar yang dikeluarkan di sini.

Menerusi kad baharu itu, pelanggan boleh menikmati rebat tunai apabila membeli barangan keperluan di pelbagai peruncit terkenal seperti Jaya Grocer, Giant, Tesco, AEON, Village Grocer, Mercato, Cold Storage dan Econsave.

Bagi perbelanjaan di farmasi, mereka akan menikmati rebat tunai apabila berbelanja di Caring, Guardian, Watson dan Big Pharmacy, antara lain.

Selain itu, pelanggan turut menerima pulangan tunai sebanyak 0.1 peratus tanpa had bagi setiap perbelanjaan runcit lain yang layak.

Kad baharu itu turut menawarkan rebat faedah kad kredit sebanyak 10 peratus dan tidak mengenakan yuran tahunan.

Sempena pelancarannya, pemohon baharu untuk kad berkenaan layak mendapat pulangan tunai tambahan 30 peratus apabila mereka memohon, mengaktifkan kad dan berbelanja minimum RM500 dari sekarang hingga 31 Disember 2020.

Permohonan boleh dibuat di ambank.com.my/agr

 

 

Sabtu, Oktober 24, 2020

25 cawangan baharu MR. TOY tahun 2021


 

Peruncit barangan keperluan kediaman, MR D.I.Y. Group (M) Bhd. (MR D.I.Y.), berhasrat untuk memperluaskan kehadiran jenama kedai permainannya, MR. TOY dengan membuka 25 premis baharu pada tahun 2021.

Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y., Andy Chin berkata, pihaknya juga bakal membuka lapan cawangan baharu MR. TOY menjelang akhir tahun ini.

Pelan tersebut bakal menggandakan jumlah premis MR. TOY kepada 61 buah berbanding 28 premis buat masa sekarang dan menurut Andy, jenama itu disasarkan supaya memiliki kehadiran di setiap pasaran utama dan bandar-bandar di seluruh negara.

“Namun, ia bukan setakat pertumbuhan jumlah kedai, kami ingin fokus pada pertumbuhan jenama dengan mengukuhkan hubungan dengan pelanggan untuk membina kesetiaan dan mendorong pembelian berulang.

“Kami mahu berada di atas trend semasa dan sentiasa memiliki apa yang dicari oleh pelanggan serta memenuhi keperluan dalam segmen permainan tanpa menjejaskan kualiti atau formula kami untuk menyediakan harga yang boleh diakses ramai.

“Selain itu, langkah ini juga membantu membina hubungan baharu dengan pengeluar, membolehkan kami menawarkan produk lebih luas,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Menurut Andy, MR. TOY menawarkan rangkaian permainan yang luas merentasi sembilan segmen daripada bayi, kanak-kanak serta orang dewasa selain untuk minat yang pelbagai.

Jelasnya, sejak jenama itu mula diperkenalkan pada Mei tahun lalu, pasaran telah memberikan respons yang sangat positif kepada penawaran yang disediakan MR. TOY, membawa kepada pertumbuhan pesat jenama berkenaan.

“Asas pelanggan berulang kami juga bertumbuh sangat pantas, hal ini dapat dilihat menerusi saluran media sosial kami,” katanya.

Sumber : Kosmo!

 

 

SPA lulus lantikan 1,223 calon baharu KKM

 

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah meluluskan pelantikan sejumlah 1,223 calon baharu bagi jawatan di dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pelantikan itu membabitkan 624 Jururawat bagi Gred U29; 336 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29; 213  Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U29 dan 50 Juruteknologi Makmal Perubatan Gred U29.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selaras dengan kelulusan tersebut, kementerian akan mengeluarkan surat tawaran pelantikan kontrak kepada calon yang berjaya pada hari Isnin dengan tarikh melapor diri bertugas ditetapkan pada hari Rabu.

Menurutnya, daripada sejumlah 624 pelantikan Jururawat Gred U29 yang diluluskan, sebanyak 317 Jururawat Gred U29 akan ditempatkan di Sabah.

“Sementara itu, 18 lagi akan ditempatkan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan lantikan tersebut terdiri daripada anak kelahiran tempatan.

“Kementerian berharap dengan pertambahan petugas kesihatan tersebut, akan dapat memperkukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan di negeri-negeri yang berkenaan, khususnya di Sabah dan Labuan,” katanya.  

Sumber : Kosmo!

Anak Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Azim, mangkat

 

Rakyat Brunei dikejutkan dengan berita duka daripada pihak Istana Brunei yang memaklumkan kemangkatan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Muda Haji Abdul Azim.

Menerusi laporan Radio Televisyen Brunei, putera berusia 38 tahun itu mangkat pada jam 10.08 pagi 24 Oktober 2020 dan dimakamkan di Kubah Makam Diraja selepas waktu Asar.

Pemerintah Brunei memerintahkan rakyatnya mengibarkan bendera setengah tiang dan berkabung selama tujuh hari mulai pada hari ini .

Punca pemergian putera kesayangan ramai, yang juga putera kedua Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Hajah Maria itu masih belum diketahui.

Baginda dilahirkan di Bandar Seri Begawan pada 29 Julai 1982 dan mendapat pendidikan di Sekolah Antarabangsa Brunei, Raffles Institution, dan Universiti Oxford Brookes, United Kingdom.

Selain itu, abang kepada Pengiran Muda Abdul Mateen itu juga pernah mengikuti latihan ketenteraan selama sembilan bulan di Royal Military Academy Sandhurst.

Pangiran Abdul Azim dikenali sebagai seorang yang sangat prihatin terhadap isu kemanusiaan. 

Sumber : AGENSI

 

Kenyataan media Istana Negara

 

 

Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada jam 5 petang semalam, 23 Oktober, 2020.

Sesi menghadap ini telah dimohon oleh YAB Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah dipengerusikan oleh beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya.

Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.

Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini.

Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif harian COVID-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

Dato' Indera Ahmad Fadil Shamsuddin
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara

 

Recent Posts