Rabu, Oktober 21, 2020

Tertipu urusan beli kenderaan Singapura

 

 

Hasrat seorang kontraktor di Pekan, Pahang hendak memiliki kenderaan terpakai dari Singapura lebur apabila ditipu penjual yang dikenali melalui laman Facebook.

Akibat daripada urusan jual beli berkenaan, mangsa kerugian RM14,412 selepas memasukkan wang ke dalam dua akaun bank dimiliki individu berlainan.

Kejadian bermula selepas lelaki berusia 53 tahun berkenaan terlihat iklan jualan pacuan empat roda jenis Ford Ranger Raptor yang ditawarkan dengan harga RM36,000 pada 3 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa menghubungi suspek melalui nombor telefon yang tertera dalam iklan untuk memulakan urusan jual beli.

“Penjual tersebut meminta gambar kad pengenalan, lesen memandu, salinan sijil syarikat (SSM) serta penyata bank terkini bagi tujuan membuat pinjaman kenderaan.

“Suspek meminta RM2,500 sebagai deposit pembelian kenderaan. Pada 5 Oktober, mangsa membuat bayaran melalui mesin sebanyak RM6,100 ke dalam dua akaun berlainan,” katanya menerusi kenyataan.

Ujar beliau lagi, mangsa turut diminta memindahkan wang sebanyak RM5,812 sebagai bayaran cukai jalan serta RM2,500 untuk pendaftaran kenderaan secara sah di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Mohd. Wazir menambah, sesudah semua bayaran dibuat, suspek memaklumkan kenderaan tersebut akan dihantar menggunakan khidmat trak tunda.

“Suspek memberi nombor telefon pemandu trak tunda. Apabila dihubungi, pemandu trak tersebut memberi banyak alasan sehingga menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber : Kosmo!

Subang Jaya kini diisytihar bandar raya

 

Majlis Perbandaran Subang Jaya diisytihar sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya berkuat kuasa 20 Oktober 2020.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara berkenan telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Seyogia dengan perkenan oleh Sultan Selangor jua, menurut kuasa-kuasa yang diperuntukkan melalui Subseksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1961, sukacita saya memaklumkan bahawa TPr. Noraini Roslan adalah dilantik selaku Datuk Bandar Subang Jaya berkuat kuasa tarikh yang sama.

“Kerajaan negeri merafak sembah takzim dan menjunjung kasih Sultan Selangor di atas perkenan yang telah diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya berharap pembangunan mampan Subang Jaya dan lokaliti sekitarnya akan terus dimantapkan melalui sistem penyampaian perkhidmatan berkelas dunia.

“Dengan izin Allah SWT, cita-cita ini akan dapat digembleng bersama ke arah merealisasi agenda Selangor Maju Bersama,” ujarnya.

Untuk rekod, Subang Jaya merupakan daerah ke-16 yang diisytiharkan sebagai bandar raya.

Pada tahun 2010, Subang Jaya adalah bandar yang mempunyai paling ramai penduduk di Malaysia dengan populasi 1,553,589 penduduk mengatasi Kuala Lumpur (1,475,337 penduduk) kerana berdekatan dengan Lapangan Terbang Subang, Skypark Subang.

Sumber : Kosmo!

Terlalu bergantung kepada kad kredit

 

Kaji selidik yang dijalankan platform celik kewangan Multiply mendapati, rakyat Malaysia paling lemah dalam merancang belanjawan dan menyimpan wang.

Kaji selidik itu mendapati, sebanyak 41 peratus daripada 3,333 responden menyatakan bahawa mereka tidak mampu hidup selesa dengan gaji bulanan dan sentiasa risau tidak cukup wang untuk kelangsungan hidup sehingga mendapat gaji seterusnya.

“Sementara itu, enam peratus lagi bergantung kepada kad kredit untuk menampung kekangan wang setiap bulan, manakala 48 peratus mengakui mereka tiada wang simpanan untuk kecemasan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kajian itu mendapati, seramai hampir 70 peratus daripada responden memerlukan soko­ngan untuk meningkatkan tahap celik kewangan masing-masing.

Sebanyak 21 peratus responden tergolong dalam ka­tegori ‘Baru Belajar’ iaitu mereka yang tidak mempunyai pengetahuan asas kewangan peribadi, manakala 48 peratus lagi dalam kategori ‘Kadet Kewangan’ iaitu masih di peringkat awal pe­nguasaan ilmu asas kewangan peribadi.

“Kaji selidik menunjukkan hanya 31 peratus boleh dianggap sebagai ‘Bos Duit’ yang menunjukkan seseorang itu memahami konsep kewangan asas dengan baik,” katanya.

Multiply berkata, 2020 sememangnya tahun mencabar daripada segi kewangan peribadi dan tidak menghairankan ramai rakyat Malaysia gusar tentang kedudukan kewangan mereka.

“Namun, kami berasa lega apabila hasil kaji selidik mendapati, tidak semuanya membimbangkan kerana seramai 53 peratus daripada responden merancang belanjawan awal, 31 peratus memiliki insurans asas sebagai perlindungan jika kenderaan terlibat dalam kemalangan dan 52 peratus mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan sekiranya perlu,” katanya.

Hasil kaji selidik itu turut menunjukkan bahawa tahap pemahaman rakyat Malaysia tentang penggunaan pelbagai produk dan instrumen kewa­ngan masih rendah.

Menurut Multiply, seramai 32 peratus responden mengatakan mereka lebih suka menyimpan dalam akaun simpanan biasa berbanding mencari peluang pelaburan untuk menjana pulangan lebih tinggi.

“Tanpa memiliki kemahiran pengurusan kewangan, mereka yang mempunyai wang simpanan lebih suka mengambil jalan selamat dengan hanya membiarkan wang mereka dalam akaun simpanan walaupun ia kurang menguntungkan memandangkan kadar faedah amat rendah pada masa ini.

“Ternyata pengetahuan rak­yat Malaysia tentang bagaimana wang boleh bekerja untuk kita melalui dana, pelaburan serta produk kewangan lain masih berada di peringkat asas,” katanya.

Multiply telah ditubuhkan oleh firma ekuiti swasta, Creador melalui cabang bukan keuntungan, Creador Foundation dengan matlamat meningkatkan tahap celik kewangan rak­yat Malaysia.

Sumber : Utusan

 

Selasa, Oktober 20, 2020

Maybank lulus 99 peratus permohonan bantuan pembayaran semula

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) meluluskan lebih 99 peratus daripada 81,000 permohonan oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bantuan pembayaran semula pada 15 Oktober 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Kewangan Komuniti) Maybank, Datuk John Chong, berkata kira-kira 38 peratus permohonan yang diluluskan telah mendapat lanjutan moratorium terhadap pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka.

"Kami masih memproses permohonan tambahan memandangkan terdapat permohonan dibuat pada saat-saat akhir yang diterima selepas 1 Oktober," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Maybank sentiasa bersedia untuk terus membantu pelanggannya dan mereka yang memerlukan bantuan masih boleh menghubungi bank untuk membincangkan pakej pembayaran semula bagi memenuhi keperluan kewangan mereka ketika ini.

Chong berkata, lebih 85 peratus pangkalan pelanggan runcit Maybank meneruskan pembayaran pinjaman/pembiayaan seperti biasa mulai 1 Oktober, 2020.

"Kami akan terus berhubung dengan mereka yang menghadapi kesukaran, Maybank akan membantu mereka dengan penyelesaian yang sesuai," katanya.

Selain bantuan pembayaran balik, beliau berkata, Maybank akan terus menawarkan penyelesaian pembiayaan kepada pelbagai segmen pelanggannya, termasuk PKS dan dan PKS mikro yang mahu mengembangkan perniagaan mereka.

"Kami mempunyai pelbagai pilihan pembiayaan yang tersedia, Pembiayaan Digital PKS adalah pilihan terbaharu dilancarkan, penyelesaian pembiayaan digital dengan tempoh kelulusan pantas selama 10 minit saja," katanya.

Beliau berkata, PKS melalui penyelesaian itu dapat memohon pembiayaan secara dalam talian melalui platform Maybank2U atau Maybank2U Biz yang dibuka selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa perlu mengunjungi cawangan dan proses permohonannya selesa dengan hanya memerlukan maklumat minimum dan tiada dokumen diperlukan untuk pelanggan sedia ada.

Chong berkata, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di beberapa wilayah di seluruh negara, Maybank menggalakkan pelanggan yang ingin memohon bantuan pembayaran semula untuk melakukannya melalui Maybank2u atau e-mel ke weassist@maybank.com atau SMErelief@maybank.com.

"Saluran ini memberikan pilihan mudah kepada pelanggan kami kerana mereka juga tidak perlu keluar rumah mereka untuk datang ke cawangan Maybank untuk menghantar permohonan pakej bantuan berkenaan," katanya.

Mereka yang perlu mengunjungi cawangan Maybank untuk tujuan tertentu akan disediakan dengan kemudahan tambahan untuk menggunakan sistem pengurusan janji temu dalam talian Maybank EzyQ yang baru dilancarkan untuk menetapkan tarikh lawatan mereka, kata Chong.

Pakej Bantuan Pembayaran Semula itu merangkumi penangguhan pembayaran pinjaman atau pembiayaan tambahan bagi mereka yang diberhentikan kerja dan menganggur akibat pandemik COVID-19 serta pengurangan pembayaran pinjaman atau pembiayaan bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Pelanggan yang mahu maklumat lanjut mengenai Bantuan Pembayaran Balik Maybank boleh melayari www.maybank2u.com.my/covid19 atau menghubungi Maybank di 1- 300-88-6688 dan tekan * 1 untuk "Bantuan Pembayaran Semula". 

Sumber : BERNAMA

Permohonan moratorium bersasar boleh dibuat sehingga 2021

 

Peminjam yang mungkin menghadapi masalah membayar pinjaman pada masa hadapan masih boleh memohon bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar sehingga 2021.

Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu, bantuan akan diberikan mengikut keadaan pemohon, sama ada dalam bentuk pengurangan bayaran balik ansuran bulanan atau pelanjutan moratorium.

“Peminjam yang tidak memerlukan bantuan pada masa ini masih boleh memohon bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar sepanjang 2020 hingga 2021 jika keadaan kewangan mereka berubah pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut BNM, setakat 9 Oktober sebanyak 640,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman telah diterima dengan 98 peratusnya daripadanya telah diluluskan.

Daripada keseluruhan permohonan yang diluluskan, 40 peratus daripadanya telah diberikan pelanjutan moratorium manakala selebihnya menerima pengurangan bayaran ansuran.

“Dalam kalangan individu yang memohon bantuan bayaran balik pinjaman sehingga kini, kira-kira 50 peratus mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM5,000 atau kurang. 

“Sementara itu, 28 peratus adalah daripada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000. 

“Peminjam dalam segmen lain yang memerlukan bantuan juga tidak dipinggirkan, antaranya mereka yang mempunyai pendapatan tidak tetap dan mereka yang bekerja dalam sektor yang paling terjejas seperti sektor pelancongan,” katanya.

BNM menegaskan, bank dikehendaki memaklumkan kepada peminjam mengenai keputusan permohonan mereka dalam tempoh lima hari bagi peminjam individu dan 14 hari bagi peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Peminjam yang tidak menerima jawapan daripada bank mereka dalam tempoh yang ditetapkan ini boleh menghubungi BNMTELELINK di bnm.my/RAsurvey,” katanya. 

Sumber : UTUSAN

Ahad, Oktober 18, 2020

Bayaran Fasa Pertama BPN 2.0 Kepada B40, M40 Bermula 26 Oktober 2020

 

Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah 7 billion akan disalurkan kepada 10.6 juta penerima BPN mengikut isi rumah dan individu bujang, secara berperingkat bermula 26 Oktober ini.

Pecahan bayaran bagi fasa pertama BPN 2.0 bagi kategori pertama penerima adalah isi rumah B40 yang akan menerima RM1,000 sementara RM500 bagi kumpulan B40 bujang.

Manakala, bagi kumpulan ketiga adalah isi rumah M40 yang akan menerima RM600 sementara M40 bujang akan menerima RM300.

  • Ansuran pertama – Oktober 2020 (RM700)
  • Ansuran Kedua – Januari 2021 (RM300)

 

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bagi memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan atas permohonan baharu akan dibuat dalam kadar segera.

” Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekaligus pada Januari 2021.” katanya.

 

 

Pengikut Instagram Neelofa naik mendadak selepas berpurdah

 

Pelakon dan pengacara, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor kini menggungguli carta selebriti tempatan yang memiliki pengikut paling ramai di Malaysia.

Menurut tinjauan Kosmo! Online setakat pukul 10 pagi tadi, pengikut pengacara program bual bicara itu, Next To Neelofa itu naik mendadak selepas mengumumkan dirinya berpurdah Khamis lalu.

Pengikut Neelofa, 31, kini dibezakan lebih 22 ribu berbanding daripada pengikut penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Neelofa memiliki pengikut seramai 7,960,163 manakala Siti (7,937,793).

Sebelum ini sekitar Ogos, Kosmo! pernah melaporkan, Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin merupakan selebriti dengan jumlah pengikut Instagram paling ramai iaitu 7.8 juta. diikuti Neelofa (7.6 juta), Zizan Razak (7.4 juta) dan Nora Danish (7.1 juta). 

Sumber : Kosmo!

COVID-19 mampu bertahan sehingga sembilan jam di kulit - pakar

 

Saintis di Jepun mendapati virus COVID-19 mampu hidup sehingga sembilan jam di permukaan kulit manusia, sekali gus meningkatkan risiko dijangkiti virus berkenaan.

Penemuan terbaharu itu menguatkan lagi keperluan amalan membasuh tangan lebih kerap bagi memerangi pandemik berkenaan.

Kajian yang dilaporkan dalam Jurnal Penyakit Berjangkit Klinikal itu mendedahkan patogen yang menjadi penyebab selsema hanya mampu bertahan di kulit manusia hampir dua jam sebagai perbandingan dengan COVID-19.

"Daya tahan virus COVID-19 adalah selama sembilan jam pada kulit manusia, berupaya meningkatkan risiko pemindahan dari kontak jika dibandingkan virus Influenza A, sekali gus akan meningkatkan penyebaran pandemik itu," kata laporan terbabit.

Pasukan penyelidik terbabit membuat ujian pada kulit yang diambil daripada spesimen dibedah siasat selepas sehari meninggal dunia.

Penyelidik mendapati virus COVID-19 dan virus selsema menjadi tidak aktif dalam tempoh 15 saat apabila diletakkan etanol yang digunakan pada cecair pembasmi kuman.

"Lebih lama virus COVID-19 berada di kulit, lebih tinggi risiko pemindahan kontak, justeru penggunaan cecair pembasmi kuman dapat mengurangkan risiko jangkitan," kata penyelidikan itu.

Penyelidikan itu menyokong nasihat dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggalakkan tangan dibasuh lebih kerap bagi mengelak jangkitan COVID-19. 

Sumber : AFP

 

Sekolah tutup: Calon SPM guna e-buku

 

Jabatan Pendidikan Sabah menyediakan modul pembelajaran dalam bentuk e-buku untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat persediaan sepanjang penutupan sekolah, berikutan penularan COVID-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Mistirine Radin, berkata modul berkenaan boleh dimuat turun dalam gajet dan diakses secara luar talian untuk memudahkan pembelajaran di rumah.

Katanya, e-buku yang dihasilkan Majlis Guru Cemerlang dan guru berpengalaman dari Sabah itu sebagai antara langkah memastikan calon SPM di Sabah tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Jabatan Pendidikan Sabah dengan kerjasama Majlis Guru Cemerlang dan guru berpengalaman Sabah ada menyediakan modul SPM mengikut subjek," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah yang diambil bagi memastikan calon SPM di Sabah dapat membuat persediaan, walaupun tidak dapat ke sekolah.

Ia termasuk menangani masalah ketiadaan liputan internet di sesetengah kawasan yang menyukarkan pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Semua sekolah di Sabah ditutup mulai esok sehingga 25 Oktober ini, selaras keputusan Kementerian Pendidikan pada 9 Oktober lalu berhubung penutupan semua sekolah di negeri ini, berikutan peningkatan kes COVID-19.

Mistirine berkata, modul pembelajaran e-buku itu dapat memastikan calon SPM di negeri ini dilengkapi bahan sesuai dan membantu mereka membuat persiapan menduduki peperiksaan berkenaan.

"Saya berharap guru dan pelajar dapat menggunakan sepenuhnya modul terbitan jabatan agar cukup bersedia menghadapi SPM," katanya.

SPM tahun ini dijadualkan semula pada Januari depan, berikutan perubahan jadual persekolahan ekoran sekolah ditutup awal tahun ini kerana penularan COVID-19.

Mistirine berkata, sebanyak 1,296 sekolah rendah dan menengah dengan seramai kira-kira 500,000 murid dan pelajar terbabit dengan penutupan sekolah di Sabah mulai esok.

Sekolah di Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau sudah ditutup sejak akhir bulan lalu, manakala sekolah di sekitar ibu negeri, Penampang dan Putatan ditutup sejak awal minggu ini, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sumber : Berita Harian

 

Bjak.my terima pengiktirafan platform pembaharuan insurans terbesar negara

 

Syarikat insurans mengiktiraf Bjak.my sebagai saluran perbaharui cukai kendaraan terbesar di Malaysia.

Bjak.my adalah platform pertama di negara ini yang menyediakan perkhidmatan perbandingan insurans dan takaful kenderaan dengan kerjasama lebih daripada 10 syarikat insurans serta pengendali takaful terkemuka seperti Pacific & Orient, Allianz, Takaful Malaysia, Zurich Takaful, MSIG dan Liberty.

Pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Bjak.my dapat melakukan penjimatan antara RM50 sehingga RM450 bergantung kepada premium asas yang dipilih melalui perbandingan harga dilakukan.

Dengan perbezaan variasi premium sehingga 40 peratus di antara syarikat insurans, Bjak.my telah membantu rakyat Malaysia melakukan penjimatan sehingga RM30 juta dalam enam bulan terakhir.

Pandemik COVID 19 pula menyaksikan peningkatan sehingga tiga juta pengguna berdaftar Bjak.my

Ketua Pegawai Teknologi Bijak, Sujen Sathiyanathan, yang juga bekas pekerja Google Mountain View, California, berkata Bjak.my disokong oleh syarikat insurans terkemuka dengan lebih 15,000 sebut harga setiap hari.

"Kami melalui banyak halangan dan melakukan pelbagai percubaan untuk berada pada tahap tertinggi hari ini, bagi memberikan rakyat Malaysia keperluan insurans yang selamat, mudah dan senang diakses", katanya.

Kadar kejayaan tinggi penting untuk mempercepat penerimaan servis insurans dalam talian oleh semua kenderaan, tanpa mengambil kira usia kenderaan, model, dan jenis pemilik.

Pengurus Operasi Bjak.my, Khadira Ghalib pula berkata, dengan menggunakan kelebihan dan kemudahan automatik, penyelesaian pembayaran bersepadu serta platform tuntutan dalam talian, Bjak.my dapat memudahkan proses pembaharuan insurans kenderaan melalui inovasi digital.

Tanpa perlu memuat turun sebarang aplikasi, Bjak.my adalah platform paling ideal untuk membuat perbandingan harga insurans.

Pengguna boleh membuat perbandingan harga untuk 10 jenama sekaligus melalui saluran pilihan, sama ada WhatsApp atau e-mel dalam masa tiga minit.Lebih daripada 10 jenama boleh dibandingkan. 

Layari Bjak.my untuk maklumat lanjut.

 

 

COVID-19: Tidak boleh terburu-buru tutup sekolah - Radzi

 

Kementerian Pendidikan tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru berhubung cadangan banyak pihak supaya sekolah di seluruh negara ditutup susulan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata ini kerana sebarang keputusan dibuat bukan hanya memberi kesan kepada kementerian itu tetapi juga seluruh negara.

Justeru, beliau menjelaskan bahawa langkah penutupan sekolah diambil berdasarkan data dan perincian pelbagai pihak, terutama Kementerian Kesihatan.

"Kita mendengar banyak cadangan dan perbincangan kenapa semua sekolah tidak ditutup.

"Saya ingin menjelaskan bahawa di kementerian, kita menaungi lebih lima juta murid dan pelajar serta lebih 500,000 guru dan warga kementerian.

"Oleh itu, sebarang keputusan (menutup sekolah) bukan hanya memberi kesan kepada kita. Ia juga memberi kesan kepada seluruh negara.

"Justeru, kami tidak boleh terburu-buru sebab kesannya amat besar," katanya dalam program temu bual Soal Rakyat disiarkan TV3, hari ini.

Radzi berkata, kementerian turut menerima maklum balas daripada ibu bapa, terutama dalam Zon Hijau dan Zon Kuning, supaya sekolah tidak ditutup.

"Ada ibu bapa dalam Zon Hijau memberi maklum balas kenapa perlu tutup sekolah sedangkan kawasan mereka tiada kes COVID-19.

"Oleh itu, saya katakan, setiap pertimbangan dibuat berdasarkan data dan perincian," katanya.

Beliau sekali gus menegaskan, komitmen Kementerian Pendidikan ialah memastikan tiada pelajar yang keciciran dalam pembelajaran.

"Komitmen kami tidak boleh dipertikaikan. Seperti mana ibu bapa sayang anak, kami juga sayang mereka di sekolah," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts