Jumaat, Oktober 02, 2020

Nombor plat kereta J4 dijual lebih RM2 juta

 

Sekeping nombor plat kenderaan di Pulau Jersey, dalam jajahan Britain yang menampilkan dua karakter iaitu J4, mencatatkan harga jualan £380,000 (RM2.03 juta)  dan dibeli oleh seorang pembida misteri baru-baru ini, lapor portal berita Solent News.

Nombor plat J4 itu merupakan nombor pendaftaran bagi kenderaan jenis Chrysler Vo­yager milik Leftenan Gabenor Jersey, Sir Stephen Dalton yang mewakili Ratu Elizabeth II.

Ia juga merupakan nombor plat satu angka pertama yang dikeluarkan oleh pulau tersebut.

Meskipun nombor plat berharga lebih RM2 juta itu sudah dijual, namun mengikut undang-undang pendaftaran di Kepulauan Channel, semua plat yang bermula dengan huruf J adalah hak milik kerajaan.

Jersey merupakan salah sebuah pulau di Kepulauan Channel dan terletak dalam jajahan Britain.

Pembeli nombor plat tersebut hanya mendapat hak untuk mengunakan nombor pendaftaran berkenaan pada kereta milik persendirian.

Menurut pelelong bertanggungjawab menganjurkan acara lelongan tersebut, Simon Drieu, harga nombor plat kereta bergantung kepada bilangan angka yang tertera.

“Angka lebih kecil pada nombor plat menyebabkan nilainya bertambah mahal,” kata Drieu lagi.

Harga nombor plat tersebut juga berjaya memasuki carta 10 nombor plat harga paling mahal di Britain.

Pemegang ‘takhta’ carta tersebut adalah nombor plat 25 O yang dijual pada harga £518,480 (RM2.77 juta) dalam 2014.

Nombor plat termahal dunia ialah D5 yang didaftarkan di Dubai berharga £7,324,207 (RM39.17 juta)

Sumber : Agensi

 

Wanita jumpa ular berkepala dua dalam rumah

 

Seorang wanita terkejut apabila menemui seekor ular berkepala dua ketika beristirahat di kediamannya, di sini baru-baru ini, lapor stesen televisyen WSOC-TV.

Wanita tersebut, Jeannie Wilson berkata, dia hanya menyedari tentang keadaan reptilia itu selepas menantunya pulang ke rumah untuk menangkap ular berukuran 30 sentimeter itu.

“Saya terus menghubungi menantu lelaki saya yang berada tidak jauh dari rumah sebaik melihat ular tersebut.

“Saya tidak gila, ular itu memang berkepala dua dan selepas menantu saya tiba di rumah dia juga mengatakan perkara sama,” katanya.

Menurut Wilson, sejurus kejadian itu, dia menyerahkan reptilia tersebut ke Pusat Sains Catawba yang mengesahkan haiwan berkenaan merupakan ular tikus dan tidak berbisa.

Sementara itu, ular yang dinamakan Double Trouble tersebut akan ditempatkan di pusat tersebut untuk digunakan dalam program pendidikan kanak-kanak.

Pusat sains itu berkata, reptilia tersebut dipercayai mempunyai dua kepala akibat daripada mutasi yang berlaku terhadap seekor dalam 100,000 ekor ular tikus. – Agensi

Masih mencari tempat kebocoran udara ISS

 

Rusia semalam melaporkan bahawa angkasawan berjaya menemui lokasi kebocoran udara di dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) iaitu di segmen Rusia.

Kru angkasawan di ISS dilaporkan memulakan pencarian tempat kebocoran itu sejak Ogos lalu, bermula dengan segmen Amerika Syarikat (AS).

Mereka ialah Anatoly Ivanishin dan Ivan Vagner dari Rusia dan Christopher Cassidy dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat.

Agensi Angkasa Lepas Rusia, Roscosmos dalam satu kenyataan berkata, lokasi kebocoran itu didapati berlaku di modul servis Zvezda yang menempatkan peralatan saintifik.

Roscosmos juga mengesahkan pencarian diteruskan untuk mencari lokasi tepat kebocoran tersebut sambil menyifatkan kebocoran itu tidak mengancam nyawa atau kesihatan kru ISS.

“Ia bukan satu keadaan kritikal dalam masa terdekat,” kata Sergei Krikalyov yang merupakan pengarah eksekutif program angkasa lepas Rusia menerusi penyiaran televisyen.

Beliau berkata, ISS sentiasa mengalami kejadian kecil kehilangan udara disebabkan oleh sistem penulenan udara.

“Kebocoran ini boleh dijangka. Apa yang berlaku sekarang ialah lebih daripada kebocoran biasa. Jika kebocoran terus berlaku dalam lama, ia (ISS) akan memerlukan bekalan udara tambahan di stesen berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, kru ISS kini sedang berehat dan berharap dapat menemui tempat tepat dan membaiki kebocoran itu, hari ini. 

Sumber : AFP

Henti sebar gambar lelaki Bangladesh bergelang hijau


 Polis meminta orang ramai berhenti daripada menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan seorang lelaki warganegara Bangladesh memakai gelang berwarna hijau yang didakwa positif Covid-19 di Terminal One, Seremban semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, polis telah membuat pemeriksaan ke atas lelaki berusia 31 tahun berkenaan bersama-sama kakitangan Jabatan Kesihatan negeri sekitar pukul 9.30 pagi.

Katanya, semasa pemeriksaan, gelang hijau berkenaan bukanlah dikeluarkan Jabatan Kesihatan dan lelaki berkenaan bukanlah pesakit dalam pemantauan Covid-19.

“Kami gesa orang ramai berhenti sebar maklumat tidak sahih dalam media sosial sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang awam. Sekiranya dikesan melakukan kesalahan berkenaan, mereka boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Bagi lelaki Bangladesh berkenaan, kami sedang menyiasat dari mana dan atas sebab apa dia memakai gelang hijau berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd Said. berkata, buat masa ini lelaki tersebut ditahan di bawah Akta Imigresen kerana gagal menunjukkan pasport semasa pemeriksaan dijalankan.

Hari ini tular di aplikasi WhatsApp beberapa gambar seorang lelaki Bangladesh bergelang tangan hijau berada di Terminal One, Seremban kononnya bagi menaiki bas untuk pergi ke Kuala Lumpur.

Lelaki tersebut didakwa pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah.

Turut tular satu rakaman suara wanita mendakwa seorang lelaki bukan warganegara positif Covid-19 telah merayau-rayau di Bahau sebelum menaiki bas ke Seremban.

Rakaman suara sama juga turut meminta orang ramai supaya tidak ke Bahau bagi mengelakkan wabak tersebut merebak.

Sumber : Utusan

Neelofa lancar butik konsep pertama di One Utama

 

Usahawan terkemuka tanah air, Neelofa mengorak langkah lebih jauh dengan membuka sebuah lagi butik Naelofar di pusat beli belah, One Utama

Neelofa, 31, berkata, ini merupakan butik konsep pertama yang dilancarkan selepas pembukaan butik sebelum ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Publika dan Taman Tun Dr Ismail.

“Pembukaan ini juga selaras dengan hajat kami untuk meraikan ulang tahun ke enam Naelofar sejak ditubuhkan pada tahun 2014.

“Sempena itu juga, kami turut melancarkan koleksi hijab terbaru Lalia yang ditampilkan dalam empat pilihan warna menarik buat peminat jenama ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengambil kira suasana pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia pada waktu ini, Neelofa berpendapat keputusannya untuk membuka butik dan melancarkan koleksi baharu, Lalia adalah satu tindakan yang wajar.

“Mungkin bagi usahawan lain sekarang bukan waktu terbaik untuk tampil dengan idea seperti ini namun tidak bagi kami.

“Peluang ini kami ambil dengan sebaiknya untuk menggerakkan pelan ini bersama-sama pasukan baru yang lebih dinamik,” katanya.

Sumber : Utusan

Warga Lembah Klang lebih suka menyewa

 

Permintaan kediaman sewa di seluruh negara telah menurun sebanyak 5.6 peratus bagi separuh pertama tahun ini ekoran penularan wabak Covid-19.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia, iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan berkata, bagi tempoh tersebut, hartanah ber­tingkat tinggi lebih berpotensi untuk memperoleh hasil sewa yang lebih baik berbanding rumah teres.

“Situasi tidak menentu ekoran penularan Covid-19 membuatkan ramai pencari kediaman mempertimbangkan untuk menyewa dan bukannya membeli rumah.

“Oleh kerana kemampuan membeli hartanah merupakan satu isu dalam pasaran sekarang maka kediaman sewa menawarkan penyelesaian sementara bagi keperluan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Analitik Permintaan Hartanah (pasaran sewa) bagi separuh pertama tahun 2020 yang dikeluarkan di sini semalam.

Kondominium merekodkan hasil sewa sebanyak 4.17 peratus dan ia merupakan jenis hartanah yang paling popular dalam kalangan penyewa.

Hasil sewa bagi kediaman servis bertambah sebanyak 4.03 peratus, manakala rumah teres pula mencatatkan hasil sebanyak 3.43 peratus.

Premendran me­nerangkan, pengguna kini berminat dengan kediaman yang menawarkan sewa antara RM1,500 ke RM2,000 sebulan.

Selain itu, menurut laporan berkenaan, permintaan tinggi tertumpu di Taman Tun Dr Ismail diikuti oleh Wangsa Maju, Damansara Heights, Pantai, Sentul, Setapak, Jalan Ipoh, Sungai Besi dan Bangsar.

Kadar sewa purata tertinggi adalah di Damansara Heights dengan nilai sewaan RM6,000, Mont Kiara (RM4,500), KL Sentral, Desa Park City (RM4,000) dan Bangsar (RM3,500).

Nilai purata sewa terendah di Kuala Lumpur ialah Jalan Ku­ching pada kadar RM1,300.
Kawasan tumpuan di Selangor ialah di Bangi, Klang, Sunway, Rawang, Shah Alam, Setia Alam, Semenyih, Glenmarie, Damansara Damai dan Petaling Jaya.

Kadar purata sewa tertinggi di Selangor ialah di Mu­tiara Damansara dengan tawaran RM2,900 sebulan manakala kadar sewa terendah iaitu di Semenyih pada harga purata RM900 sebulan.

Sumber : Kosmo!

 

 

DG Hisham ingatkan rakyat duduk rumah jika tiada urusan

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan ciapan balas yang dimuat naik di akaun Twitter mengenai saranan duduk di rumah bukan perkara baharu yang disuarakan beliau.

Beliau berkata, tujuan ciapan berkenaan adalah bagi mengingatkan semua rakyat di negara ini supaya tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting khususnya dalam situasi penularan Covid-19 yang menunjukkan pertambahan kes setiap hari di semua negeri ketika ini.

“Perkara ini bukan perkara baharu. Dari hari pertama lagi saya tweet untuk mengingatkan semua rakyat Malaysia yang tiada urusan penting di luar supaya duduk rumah.

“Kalau nak keluar dari rumah kerana ada urusan penting, patuh kepada prosedur operasi standard. Sebab itulah tujuan utama saya tweet sedemikian, hanya ingatkan duduk rumah kalau tiada urusan penting,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ciapan di Twitter hari ini dengan menyebut, “How about all stay at Home for awhile again? sebagai mesej balas kepada seorang pengguna Twitter yang mencadangkan supaya kerajaan menyekat perjalanan antara negeri buat sementara waktu.

Ciapan itu kemudian trending di Twitter sehingga mengundang persoalan dalam kalangan orang ramai yang berteka-teki sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.

Pada masa sama, perkataan MC0 2.0 dan Lockdown 2.0 yang merujuk kepada PKP turut menjadi trending dengan lebih 15,000 ciapan setakat pukul 8 malam ini.

Sumber : Kosmo!

 

Khamis, Oktober 01, 2020

Tiada caj isi minyak Petron guna kad debit

 


Tourism Malay­sia dengan kerjasama Petron Malaysia dan Payments Network (PayNet) melancarkan kempen Fuel Penuh Gaya MyDebit Je de­ngan Kad ATM Anda! dalam usaha mempertingkatkan mobiliti rak­yat serta menggalakkan perbelanjaan dan pelancongan domestik.

Bermula hari ini sehingga 31 Disember ini, pelanggan yang membuat pembelian petrol minimum RM5 menggunakan kad MyDebit ATM di mana-mana 720 cawangan stesen Petron memperoleh penyertaan automatik dan berpeluang memenangi ha­diah menarik.

Hadiah yang ditawarkan ialah motosikal Kawasaki Z250 ABS, Modenas Pulsar NS200 ABS, Go Pro Hero8 Black, point Petron Miles bernilai RM500 dan bekalan Petron Rifer 4T Synthetic Blend untuk tempoh setahun selain baucar penginapan di hotel-hotel terkemuka.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shu­kri berkata, data Jabatan Pe­rangkaan menunjukkan bahan api kenderaan merupakan komponen kedua terbesar daripada segi perbelanjaan oleh pelancong domestik, diikuti de­ngan sektor beli-belah.

“Promosi seperti kempen bersama Petron ini mampu meningkatkan permintaan penggunaan petrol, sekali gus menambah mobiliti orang ramai melancong dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian kempen ter­se­but di stesen Petron NKVE di Seksyen U1 di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof; Pengurus Besar Petron, Faridah Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser.

Sementara itu, Faridah berkata, Petron kini satu-satunya rangkaian stesen minyak yang memberi kemudahan untuk membuat bayaran menggunakan kad MyDebit ATM tanpa dikenakan sebarang caj sejak Januari lalu.

Sebelum ini, pengguna yang menggunakan kad debit di ste­sen minyak akan disekat RM200 dan proses berkenaan boleh mengambil masa sehingga tiga hari.

“Sejak pengenalan fungsi ini, kami melihat peningkatan menggalakkan dalam penggunaan kad debit dan kempen ini diharapkan dapat meningkatkan peratusan penggunaan kad debit berban­ding tunai di stesen minyak ka­mi,” katanya.

 

SUV Citroen C3 Aircross

 

CITROEN C3 Aircross mula diperkenalkan di Malaysia pada bulan April tahun lalu sebagai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Crossover sempena ulang tahun ke-100 Citroen.

Rupa paras yang ranggi dengan rekaan tersendiri mungkin agak pelik bagi sesetengah orang namun, bagi mereka yang meminati hasil sentuhan dari Perancis itu pasti tahun menilainya dari sudut berbeza.

Model ini juga amat sesuai bagi mereka yang meminati suatu kenderaan berbeza, contohnya dengan opsyen pilihan warna berbeza untuk pasaran tempatan.

Pada masa sama, pembeli juga berpeluang memilik pakej warna bumbung dengan trim berbeza. Baru-baru ini, penulis diberi peluang oleh Citroen Malaysia melalui Kumpulan Naza untuk memandu uji model berkenaan selama beberapa hari.

Bukan SUV konvensional

Pada kesempatan yang diberi, saya cuba mendalami dan meneroka apa keistimewaan pada model pertama C3 Aircross ini.

Kita bermula pada bahagian luaran SUV. Bahagian depan termasuk lampu utama terletak di bahagian bampar dengan satu bingkai berwarna oren yang kelihatan sedikit pelik bagi kebanyakan pengguna di Malaysia.

Bagaimanapun, konsep seumpama ini lazimnya dapat disaksikan pada model Jeep Cherokee dan Hyundai Santa Fe.

Rekaan di bahagian belakang pula menyaksikan aplikasi lampu berbentuk tiga dimensi, bampar warna gelap dengan difuser crossover. Model ini juga didatangkan spoiler berwarna gelap.

Beralih ke bahagian sisi, kita mula dari atas rel bumbung berwarna oren, cermin freeglass beserta jalur oren dan rim 4ever sebesar 17 inci.

Sebaik membuka pintu dan melangkah ke dalam kabin, anda akan menyaksikan rekaan yang agak ringkas tetapi cukup teliti lebih-lebih bahagian papan pemukanya tidak sarat dengan susunan butang.

Apa yang saya maksudkan ialah jika pemandu mahu mengawal suhu pendingin hawa, tetapan fungsi itu boleh dibuat dengan menggunakan skrin pelbagai guna berukuran tujuh inci.

Corong pendingin hawa ini juga berkonsep minimalis dengan mengetengahkan reka bentuk bulat selain aplikasi tona oren untuk menceriakan ruang kokpit SUV ini.

Harus diakui, SUV ini tidak sebesar model pesaing lain tetapi kenderaan ini nampaknya tidak memenatkan jika dipandu jauh.

Hal ini disebabkan model C3 Aircross ini didatangkan dengan Citroen Advanced Comfort yang mengutamakan soal keselesaan pemandu mahupun penumpang.

Enjin 1.2 liter turbo

Di bawah hud, enjin tiga silinder 1.2 liter dengan bantuan pengecas turbo yang digunakan sebagai nadi penggerak ternyata agak menakjubkan dan tidak menghampakan penulis.

Jentera SUV ini tidak rasa seperti satu bebanan semasa mendaki kawasan berbukit atau sewaktu menekan pedal untuk memotong kenderaan lain di laluan lurus.

Bebanan kereta ini dikurangkan kerana SUV ini menggunakan bahan binaan ringan untuk membantu mengurangkan berat kasar dan antara komponen dimaksudkan ialah cermin freeglass.

Enjin yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan itu membantu SUV ini mengekstrak kuasa maksimum 112PS pada 5,500rpm dan tork puncak 205Nm pada pusingan enjin seminit serendah 1,500rpm.

Kelajuan maksimum yang tercatat di atas kertas ialah 200 kilometer sejam (kmj) dan pecutan dari keadaan pegun hingga 100 kmj hanya mengambil masa 10.4 saat.

Penggunaan bahan api juga ternyata amat menjimatkan sepanjang sesi pandu uji. Saya mendapati untuk perjalanan 100 km, SUV ini hanya memerlukan bekalan minyak petrol 6.5 liter sahaja.

Sebagai makluman, C3 Aircross didatangkan dengan tangki petrol berkapasiti 45 liter.

Sarat teknologi keselamatan

Ruang simpanan but adalah sebesar 410 liter dan boleh ditingkatkan kepada 520 liter dengan hanya menurunkan kerusi barisan belakang.

Aspek keselamatan SUV ini tidak diabaikan. Citroen memastikan kabin SUV ini dilengkapi enam beg udara dan pemandu dapat menikmati banyak ciri teknologi keselamatan termaju seperti Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem brek antikunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA).

C3 Aircross juga menerima pengiktirafan penarafan lima bintang pada ujian Euro NCAP. Selain pilihan warna Natural White seperti model yang dipandu uji penulis, pelanggan ada tiga warna pilihan lain iaitu Soft Sand (kelabu lembut), Passion Red (merah) dan Breathing Blue (biru).

Citroen C3 Aircross ini ditawarkan pada harga RM110,140.69 tidak termasuk insurans untuk kenderaan persendirian. Fakta menarik bagi model ini ialah sejak dilancarkan, Citroen Malaysia sudah menjual lebih 60 unit. Majoriti pembeli model ini adalah daripada bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Info Citroen C3 Aircross

Enjin : 1.2 liter turbo
Kapasiti enjin: 1,199cc
Transmisi: Enam kelajuan automatik dengan Steptronik
Kuasa maksimum: 112PS @ 5,500 rpm
Tork maksimum: 205Nm @ 1,500 rpm
Harga: RM110,140.69 (tidak termasuk insurans)

 

 

 

 

 

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu mulai 2021

 

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu akan diperkenalkan pada tahun hadapan dalam mengukur garis kemiskinan rakyat negara ini supaya lebih bersasar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, PGK itu termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan kerajaan kini dalam sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh untuk mendapatkan pandangan bagi mengkaji perkara itu.

“Ada cadangan supaya kita lebih bersasar dalam menangani garis kemiskinan kerana keadaannya berbeza daripada satu daerah ke daerah yang lain termasuk di Kuala Lumpur yang kadar kemiskinannya sedikit tinggi daripada kadar nasional. Apapun, kita akan mengambil kira dalam menggubal dasar nanti.

“Yang penting kita lebih berfokus, umpamanya sekarang kita ada B1,B2,B3 dan B4. Dahulu B40 satu kategori, sekarang kita ada empat komponen,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Putrajaya Marriot Hotel.

Perbincangan itu bertujuan mendapatkan pandangan dalam menangani isu kemiskinan dengan lebih berkesan termasuk proses mendapatkan input dalam penyediaan Rancangan RMK-12.

Julai lalu, Malaysia menyemak semula had PGK kepada RM2,208 berdasarkan keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif. 

Sumber : UTUSAN

Kaedah baharu bayar caj parkir DBKL di Kuala Lumpur

 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan kaedah baharu bagi pembayaran caj tempat letak kereta bahu jalan sekitar ibu negara, mulai 1 Oktober 2020.

Dalam kenyataannya, DBKL memaklumkan, orang ramai boleh menggunakan aplikasi mudah alih dan e-dompet iaitu EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash bagi menggantikan penggunaan mesin yang berakhir hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan DBKL sedang melaksanakan perancangan dan integrasi dengan Boost dan Touch n Go e-dompet bagi memberikan lebih pilihan kepada pengguna untuk kaedah pembayaran ini.

"Pada ketika ini, pas harian dan pas bulanan untuk parkir masih belum beroperasi. Kemudahan ini akan diaktifkan setelah naik taraf sistem dilaksanakan.

"Permohonan untuk petak khas masih beroperasi seperti biasa dan kadar caj tempat letak kereta masih kekal seperti sedia ada," menurut kenyataan itu.

Justeru, DBKL menggalakkan orang ramai supaya menyesuaikan diri menggunakan kaedah baharu membuat bayaran tempat letak kereta bahu jalan di sekitar Kuala Lumpur. 

- BERNAMA

Recent Posts