Khamis, November 14, 2019

Lebih 348,000 pemilih meninggal dunia dikeluarkan senarai SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan seramai 348,098 pemilih yang meninggal dunia daripada senarai daftar pemilih sejak 2017 hingga 31 Ogos lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohamed Hanipa Maidin, berkata jumlah itu membabitkan 91,154 pemilih meninggal dunia yang dikeluarkan daripada senarai itu sejak Januari hingga 31 Ogos tahun ini.

Katanya, pada 2017, sebanyak 139,118 nama pemilih meninggal dunia dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih, manakala 117, 826 penama dikeluarkan pada 2018.

Beliau berkata, SPR juga membersihkan nama mereka yang melepaskan atau dilucutkan hak kewarganegaraan daripada senarai daftar pemilih.

Pengemaskinian data itu dibuat berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Pembersihan dan pengemaskinian ini bagi memastikan proses pilihan raya di negara ini berjalan telus dan bersih,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mahu Perdana Menteri menyatakan langkah sudah dan sedang diambil SPR untuk membersihkan daftar pemilih.

Mohamed Hanipa berkata, pada 2017, sebanyak 11,799 nama pemilih yang hilang taraf kewarganegaraan dikeluarkan, diikuti 3,496 pada 2018, manakala dari Januari sehingga 31 Ogos lalu, 3,940 nama juga diambil tindakan sama.

Katanya, SPR juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menangani isu pesara tentera dan polis didaftarkan sebagai pengundi awal.

“Antara langkah dilakukan ialah mengemaskini lokaliti awam dalam bahagian pilihan raya yang sama untuk memastikan mereka mengundi sebagai pengundi biasa jika berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai sistem pendaftaran automatik, Hanipa berkata, SPR akan cuba melaksanakan sistem itu sebelum PRU-15.

“Ketika ini, beberapa langkah ke arah pelaksanaan sistem itu mula dilakukan bagi memastikan ia boleh dilaksanakan pada PRU-15 nanti,” katanya.

- BH

Isnin, Oktober 14, 2019

Cara Pasang Dekoder dan Antenna MYTV


Cara untuk pasang dekoder MYTV Myfreeview (TV Digital)

1. Kenalpasti arah Stesen Pemancar yang terdekat dengan rumah kediaman anda.
2. Tetapkan kedudukan antenna supaya menghala ke arah Stesen Pemancar.
3. Sambungkan Antenna UHF / Tulang Ikan kepada Dekoder.
4. Sambungkan Kabel HDMI (jika tv model baru} atau Kabel Video 3 Warna / AV (untuk tv lama) kepada Dekoder.
5. ON dekoder dan mulakan carian signal siaran Myfreeview. Jika signal tidak diperolehi, ubah kedudukan antenna sehingga signal yang betul diperolehi.

Selamat Menonton.

Untuk mendapatkan dekoder atau antenna yang murah secara online, wassap 013-979 0000

Rabu, Oktober 02, 2019

Revolusi Industri 4.0 dijangka luput 75 juta pekerjaan menjelang 2022



Ketibaan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) melibatkan teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadikan 75 juta pekerjaan di dunia menjadi usang atau luput menjelang tahun 2022.

Perunding transformasi perniagaan Joon Teoh berkata, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), contoh-contoh bidang pekerjaan itu adalah seperti perakaunan, simpan kira dan kerani gaji, kerani penyimpanan data, setiausaha pentadbiran dan eksekutif, pekerja kilang dan pemasangan, perkhidmatan maklumat dan pelanggan, di samping perkhidmatan perniagaan dan pengurus pentadbiran.

“Suka atau tidak, WEF meramalkan pekerjaan-pekerjaan itu sudah semakin berkurangan, dan akan hilang di masa depan. Mereka yang terlibat dengan pekerjaan ini perlu meningkatkan kemahiran dan menjadi lebih fleksibel dan terbuka kepada peluang-peluang baru,” katanya.

Beliau berkata hanya kerja-kerja berkenaan sahaja yang akan lenyap, namun bagi manusia sendiri, ia tidak akan memberi kesan sekiranya mereka dapat belajar kemahiran-kemahiran baharu dalam era automasi dan pendigitalan.

Teoh berkata, mereka yang melakukan pekerjaan berkenaan perlu menjalani latihan dan membuat perubahan bagi membolehkan mereka melaksanakan kerja yang memiliki nilai tinggi.

Bagaimanapun menurut WEF lagi, walaupun dengan ‘kehilangan’ kerja-kerja ini, namun sebenarnya jumlah kemunculan pekerjaan baharu adalah lebih tinggi berbanding yang lenyap pada tahun 2022.

Sebanyak 133 juta peranan kerja dicipta, antaranya penganalisis data dan saintis, pakar AI, pengurus am dan operasi, penganalisis serta pencipta peranti dan aplikasi, profesional jualan dan pemasaran, pakar big data, pakar transformasi digital, di samping pakar-pakar teknologi baharu.

Teoh juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif serta pengasas Agos Asia Sdn. Bhd. yang pakar dalam proses menambah baik bidang kewangan, sumber manusia, serta pemerolehan, di samping peningkatan teknologi dalam aspek automasi proses robotik dan AI.

Beliau menjelaskan bahawa robot sebenarnya bukan hanya merujuk kepada perkakasan semata-mata, kerana ia juga melibatkan set-set kod yang boleh bekerja dengan sendiri selepas sesuatu arahan diberikan.

“Sebagai contoh anda tetapkan robot untuk bekerja dalam tempoh waktu tertentu untuk memproses invois, dan ia akan mengikut arahan yang diberikan,” katanya dan menambah AI kemudiannya akan mengenal pasti apa yang betul, apa yang salah, dan menghantar invois yang bermasalah kepada manusia untuk diratifikasi.

Teoh, graduan London School of Economics and Political Science dengan BSc Econs dalam Perakaunan dan Kewangan, berkata robot dan AI kini adalah satu keperluan kepada perniagaan, dan harganya kini mulai menurun dengan ketara sekitar 30 hingga 50 peratus berbanding lima tahun lepas.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan membangunkan satu pusat sehenti untuk menghimpunkan semua maklumat berhubung IR4.0 kerana ketika ini terdapat banyak kementerian serta agensi yang terbabit, dan maklumat mengenainya berselerak di sana sini.

Katanya kerajaan juga perlu melebarkan skop IR4.0 untuk turut menyertakan semua aktiviti dan industri sebagai tambahan kepada pengilangan.

“Kita ingin tahu apa bentuk insentif atau pembiayaan daripada kerajaan bagi membantu syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SMEs) di Malaysia untuk menerima pakai IR4.0,” katanya.

Menurutnya kerajaan perlu mengenal pasti rakan dalam ekosistem berkenaan seperti dalam bidang pembekal latihan, firma perunding, di samping insentif yang dapat diberikan, sebelum meletakkan semua maklumat yang berhubung dengannya di satu tempat, yang mungkin boleh menjadis ebuah portal.

- BERNAMA
 

Selasa, Oktober 01, 2019

Jawatan Kosong di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM)


Jawatan Kosong di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM)

Warganegara Malaysia yang cukup syarat kelayakan dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan adalah dipelawa untuk memohon bagi mengisi kekosongan jawatan tetap atau kontrak yang diiklankan.

Jawatan kosong terkini yang diiklankan adalah seperti berikut:

1. PEGAWAI TADBIR
2. PENOLONG PEGAWAI TADBIR

Iklan Jawatan:
http://apps.mpm.edu.my/eperjawatan/

Tarikh Tutup Permohonan: 1 Oktober 2019

Skrin paparan produk Apple



Peranti keluaran Apple tidak perlu diperkenalkan lagi, malah menjadi antara peranti mudah alih paling popular di dunia kerana sering menawarkan kestabilan prestasi termasuk ciri yang mesra pengguna.

Baru-baru ini, Apple mengesahkan bahawa skrin paparan peranti terbaharu mereka iaitu iPhone 11 Pro Max adalah skrin terbaik yang pernah dihasilkan oleh syarikat gergasi berkenaan.

Penilaian DisplayMate juga meletakkan skrin peranti itu dalam kelas A+ sekali gus meletakkan model terbaharu itu di tangga pertama mengatasi beberapa pencabar.

Pencabar terdekat iPhone 11 Pro Max adalah Samsung Note 10+ dan OnePlus 7 Pro. Ini membuktikan produk keluaran Apple sukar untuk ditandingi dalam aspek kualiti serta prestasi.

Berdasarkan ulasan DisplayMate, Apple sentiasa meningkatkan kualiti gambar serta ketepatan warna pada paparan mereka dan faktor itu menjadi penentu kepada keupayaan produk baharu syarikat itu.

Peranti iPhone 11 Pro Max secara keseluruhannya mencapai rekod yang sangat baik daripada aspek prestasi paparan dan kesempurnaan, malah jauh lebih baik berbanding telefon pintar sedia ada.

Prestasi itu juga lebih baik jika dibandingkan dengan sistem televisyen 4K Ultra Definisi Tinggi (UHD), tablet atau sebarang peranti lain.

Rekod kecerahan peranti itu juga adalah yang tertinggi bagi keseluruhan skrin iaitu pada bacaan 770 nits dan 820 nits untuk tahap purata bagi gambar biasa.

Keupayaan peranti iPhone 11 Pro Max memperlihatkan kesungguhan Apple untuk menghasilkan produk yang terbaik dalam kelasnya.

Penilaian itu juga adalah berita gembira kepada pemilik peranti berkenaan kerana mereka memiliki telefon pintar yang mempunyai prestasi terbaik pernah ada di pasaran.

- Metro

Rabu, September 25, 2019

Siaran TV digital sepenuhnya bermula 31 Oktober 2019



Malaysia akan beralih kepada siaran TV Digital myFreeview sepenuhnya daripada siaran TV percuma menggunakan teknologi lama analog pada 31 Oktober 2019 ini, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM berkata, peralihan siaran TV analog ke TV Digital myFreeview akan bermula di wilayah Tengah dan Selatan pada 30 September, wilayah Utara dan Timur pada 14 Oktober, manakala Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober.

SKMM berkata, siaran TV Digital myFreeview memberi pilihan kepada rakyat untuk menonton pelbagai saluran televisyen, radio dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, informasi semasa dan pendidikan interaktif.

Setakat ini, sebanyak 15 saluran TV dan enam saluran radio boleh didapati pada platform TV Digital myFreeview yang disediakan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima, TV AlHijrah, dan Bernama News Channel (BNC), katanya.

“Dijangkakan terdapat beberapa lagi saluran TV baharu bakal disiarkan di platform TV Digital myFreeview dalam tempoh terdekat,” kata SKMM dalam kenyataan hari ini.

SKMM berkata, peralihan secara sepenuhnya itu adalah hasil kejayaan ujian rintis yang telah dijalankan di Pulau Langkawi oleh suruhanjaya itu dengan kerjasama pihak industri penyiaran sejak 21 Julai lalu.

“Perkhidmatan siaran TV Digital myFreeview adalah antara usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital merangkumi penduduk di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

“Ia juga sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama kerajaan yang membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan TV Digital secara percuma yang juga berkualiti, tanpa langganan bulanan,”katanya.

Bagi mereka yang masih belum beralih kepada platform siaran TV Digital myFreeview adalah digalak untuk mendapatkan dekoder dan aerial Ultra High Frequency (UHF) dan memasang kepada set TV sedia ada atau mendapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang telah dilengkapi dengan dekoder dan memasang kepada aerial UHF.

Sebarang maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang www.myFreeview.tv atau hubungi talian 1-800-181-088.

-BERNAMA

Proton perkenal logo dan slogan baharu


Proton Holdings Bhd. (Proton) melancarkan logo dan slogan terbaharunya iaitu Inspiring Connections dalam usaha menjadikannya sebagai jenama automotif moden di peringkat global.

Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, logo baharu dengan lambang harimau dalam rekaan bulatan telah dikemaskini dengan diangkat tinggi seperti anak panah yang melambangkan kejayaan Proton untuk terus maju ke hadapan.

Menurut beliau, Proton kini memasuki fasa seterusnya dengan penjenamaan baharu yang akan dipacu oleh tiga nilai teras merangkumi penggunaan teknologi inovatif, komitmen terhadap kebolehpercayaan dan penggunaan sudut pandang antarabangsa.

“Pengenalan logo ini telah membuka lembaran baharu terhadap perjalanan Proton selama ini dan sejak dua tahun lalu kami telah berjaya membuktikan kemampuan untuk menjadi sebuah jenama automotif moden.

“Proton akan terus mengeluarkan kereta terbaik yang memenuhi keperluan rakyat Malaysia, namun ini akan dilakukan atas dasar sebuah syarikat yang kompetitif di arena global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran logo dan slogan baharu Proton di sini semalam.

Kali terakhir Proton menukar logo dan slogannya adalah pada 2016.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, logo baharu itu akan digunakan oleh model Proton X70 pemasangan tempatan (CKD) dan disusuli dengan pelancaran model lain.

Menurut beliau, ke­semua cawangan syarikat itu akan memaparkan logo baharu itu secara berperingkat-peringkat dan perubahan itu bakal diselesaikan dalam tempoh dua tahun,

“Penjenamaan Proton bukan sekadar melalui logo dan slogan baharu semata-mata tetapi sebagai tanda melambangkan aspirasi kami dalam memberi komitmen kepada para pelanggan.

“Sebab itulah Proton tidak tergesa-gesa melancarkan penjenamaan baharu ini pada permulaan perjalanan bersama Zhejiang Geely Holding Group pada 2017.
 

Bahasa Melayu, bahasa kesepuluh berpengaruh di seluruh dunia


Bahasa Melayu menduduki tangga kesepuluh yang sangat berpengaruh daripada 6,000 bahasa yang dituturkan di seluruh dunia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas berkata, hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi antara bahasa komunikasi utama di peringkat antarabangsa.

Katanya, globalisasi sejak awal abad ke-16 memberi kesan terhadap bahasa Melayu dari segi peristilahan tetapi tetap mengekalkan jati asalnya.

"Ini menunjukkan bahasa Melayu dinamik dan mudah dilentur sesuai dengan peredaran zaman.

" Oleh itu, rakyat yang cinta akan bahasa Melayu perlu mempertahankannya dalam apa jua medium komunikasi. Sektor awam dan swasta juga perlu memainkan peranan dengan mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan perniagaan dan pengurusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam majlis Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2019 di Kuala Lumpur.

Tambah Mohd Ghazali, program tahunan anjuran Kementerian Pendidikan itu bertujuan mendidik masyarakat berbilang kaum agar dapat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Saya suka ingatkan segala usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak akan terhasil sekiranya semua pihak tidak mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menghormati bahasa itu terutamanya dalam kehidupan seharian.

"Justeru, saya berharap semua kementerian akan menyahut seruan kerajaan dengan melaksanakan program Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan di peringkat masing-masing sepanjang tahun ini," katanya.

- UTUSAN

Isnin, September 23, 2019

Mira Filzah Bintang Paling Popular ABPBH 32


Dikurniakan pakej lengkap, selain memiliki personaliti menyenangkan dan dibantu populariti drama Pujaan Hati Kanda serta Lelaki Kiriman Tuhan, tuah menyebelahi pelakon jelita, Mira Filzah apabila dijulang peminat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, malam ini.

Meraih undian tertinggi menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dengan 6,320,463 undi, Mira, 26, menafikan kemaraan pencabar terdekatnya, Khai Bahar yang dilihat berpotensi besar mengungguli trofi tu.

Yang turut memberikan saingan bagi gelaran tertinggi pada acara kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu ialah Janna Nick, DJ Lin dan Fattah Amin.

Kemenangan itu melayakkan Mira membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bernilai RM160,000, sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berserta trofi.

Hadiah disampaikan pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 1990, Aishah.

Terdahulu, Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman mengungguli kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, menghampakan Siti Nordiana dan Janna Nick yang turut memberikan saingan sengit membuktikan pengaruh mereka pada mata peminat.

Mira juga cemerlang apabila membawa pulang trofi Pelakon Filem Wanita Popular, menafikan kemaraan bintang senior, Erra Fazira dan Delimawati, selain Uqasha Senrose serta Hannah Delisha.

Keampuhan gandingannya bersama Remy Ishak turut membawa tuah kepada anak kelahiran Ipoh, Perak itu apabila diumumkan sebagai pemenang kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular menerusi Pujaan Hati Kanda.

Meskipun nasib belum berpihak kepadanya untuk meraih gelaran Bintang Paling Popular, kedudukan Khai masih tidak goyah apabila mempertahankan buat tahun ketiga berturut-turut trofi Penyanyi Lelaki Popular DuitNow.

ABPBH 32 juga melakar kenangan menarik apabila Syafiq Kyle menebus kekecewaannya tahun lalu dengan meraih Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa. Selain mengekang kemaraan Remy, Syafiq turut menghampakan pemenang tahun lalu, Fattah.

Pelakon yang popular menerusi watak Ustaz Adam dalam drama, Nur dan Nur 2 itu turut membawa pulang kemenangan berganda apabila diumumkan sebagai Gandingan Serasi Filem Popular bersama Hannah Delisha menerusi filem, Langsuir.

Sementara itu, Fattah tidak pulang tangan kosong apabila memenangi trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, sekali gus mengetepikan pencabar terdekatnya iaitu Remy dan Zul Ariffin yang pernah dua kali mengungguli kategori itu.

ABPBH 32 juga menyaksikan kedudukan selesa Siti Nordiana apabila menghampakan pemenang tahun lalu, Wany Hasrita dengan merampas kembali trofi Penyanyi Wanita Popular DuitNow.

Keampuhan populariti penyanyi Hatiku Milikmu itu semakin kukuh apabila dia turut menjadi pilihan peminat untuk diangkat sebagai Pengacara TV Popular.

Siti Nordiana bagaimanapun, terpaksa akur apabila gandingannya bersama Alif Satar gagal mengekang kekuatan pengaruh Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini yang diumumkan sebagai pemenang Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

ABPBH 32 turut melakar kenangan manis buat pelakon dan pengacara, Janna Nick apabila mengungguli kategori Artis Versatil Popular. Janna menafikan saingan Siti Nordiana dan Mira, selain menghampakan pemenang edisi lalu, Alif Satar.

Sementara itu, Zizan Razak terus mempertahankan trofi Artis Komedi Popular yang dimenanginya pada edisi ABPBH 3.0 dan 31, menghampakan Jep serta Jihan Muse yang turut memberi saingan sengit bagi kategori itu.

ABPBH 32 turut merealisasikan impian DJ Lin apabila merampas kembali trofi Penyampai Radio Popular selepas dua tahun berpindah tangan. Penyampai radio Suria FM pernah memenangi trofi itu pada edisi ABPBH 29.

Sementara itu, dua kategori baharu yang diperkenalkan, iaitu Artis Indonesia Popular menjadi milik Laudya Cynthia Bella, manakala trofi Artis Korea Popular pula berpihak kepada BTS.

Pelakon Adam Lee turut cemerlang apabila dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, manakala Haneesya Hanee mengubat kekecewaan yang pernah dilalui dengan merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular, menghampakan Sarah Suhairi yang diramal mampu menjulang kemenangan.

Untuk kategori online, penyanyi Haqiem Rusli ampuh dengan dua kemenangan menerusi Artis Sensasi Popular, selain lagunya, Selamat Tinggal Sayang diumumkan sebagai Lagu Paling Boom.

Pelakon Shukri Yahaya pula cemerlang apabila memenangi trofi Pelakon Watak Antagonis Popular.

Usaha kumpulan Raihan membawa misi dakwah merentas sempadan menerusi muzik diiktiraf apabila mereka diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Sepanjang sepanjang lebih dua dekad kumpulan yang dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim serta Amran Ibrahim itu dalam bidang muzik, nama Raihan tidak hanya dikenali di negara sendiri, sebaliknya turut melangkaui sempadan apabila pernah membuat persembahan merentas enam benua.


SENARAI PEMENANG ABPBH 32

Kategori Utama

Bintang Paling Popular: Mira Filzah

Artis Baharu Lelaki Popular: Adam Lee

Artis Baharu Wanita Popular: Haneesya Hanee

Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa: Syafiq Kyle

Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa: Mira Filzah

Pelakon Filem Lelaki Popular: Fattah Amin

Pelakon Filem Wanita Popular: Mira Filzah

Penyanyi Lelaki Popular DuitNow: Khai Bahar

Penyanyi Wanita Popular DuitNow: Siti Nordiana

Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular: Dayang Nurfaizah & Hael Husaini

Artis Komedi Popular: Zizan Razak

Artis Versatil Popular: Janna Nick

Pengacara TV Popular: Siti Nordiana

Penyampai Radio Popular: DJ Lin (Suria FM)

Artis Indonesia Popular: Laudya Cynthia Bella

Artis Korea Popular: BTS

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Raihan

- BH

Rabu, September 18, 2019

Jawatan Kosong Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)



Jawatan Kosong Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Warganegara Malaysia yang cukup syarat kelayakan dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan adalah dipelawa untuk memohon bagi mengisi kekosongan jawatan tetap atau kontrak yang diiklankan.

Jawatan kosong terkini yang diiklankan adalah seperti berikut:

1. Pegawai Penolong Penasihat Perubatan
2. Pegawai Pembantu Pengurus Kes
3. Pegawai Juruteknik ICT
4. Pegawai Penolong Latihan Vokasional
5. Pegawai Eksekutif Pengurusan Hilang Upaya Dan Vokasional
6. Pegawai Perubatan
7. Application Developer
8. Pengurus Kes
9. Pegawai Pembantu Khidmat Pelanggan
10. Pegawai Eksekutif Pembangunan Perniagaan
11. Pegawai Eksekutif Sumber Manusia
12. Pegawai Jurupulih Cara Kerja
13. Pegawai Jurupulih Anggota

IKLAN JAWATAN
https://www.jobstreet.com.my/en/companies/156292195174473-pusat-rehabilitasi-perkeso/jobs

Tarikh Tutup : 13 Oktober 2019

Monorel kini mampu bawa 70,000 penumpang sehari


 Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui perkhidmatannya Monorel bersedia membawa 70,000 penumpang sehari apabila dua set tren empat gerabak mula beroperasi pada 16 Sep 2019.

Dengan penambahan dua tren tersebut, laluan Monorel kini mempunyak lima set tren empat gerabak dan empat set tren dua gerabak.

Syarikat konsesi pengangkutan awam itu dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, operasi kedua-dua jenis tren tersebut adalah lebih awal daripada jangkaan sepatutnya iaitu November tahun ini.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, kelulusan untuk menggunakan tren berkenaan merupakan hadiah istimewa sempena sambutan Hari Malaysia yang diraikan di seluruh negara semalam.

“Peningkatan ini sekali gus mampu memastikan perjalanan yang lebih selesa untuk para pengguna dengan masa menunggu untuk waktu puncak diturunkan daripada 10 minit kepada 5.5 minit.

“Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, memaklumkan, ini adalah kejayaan kolaborasi dan komitmen antara kerajaan, Prasarana dan Scomi Transit Project Sdn. Bhd. (STP). Projek ini merupakan keutamaan kementerian sebab Kuala Lumpur amat memerlukan perkhidmatan monorel,” katanya.

Tambahnya, peningkatan jumlah penumpang dapat dilihat selepas penggantungan kelima-lima tren empat gerabak itu pada Januari 2018 apabila perkhidmatan Monorel hanya mampu menampung 32,000 penumpang sehari.

“Mengikut kontrak baru yang ditandatangani antara Prasarana dan STP pada April lepas, kedua-dua pihak akan memantau prestasi kelima-lima set tren empat-gerabak selama enam bulan sebelum melaksanakan fasa kedua iaitu pembelian tujuh set tren empat-gerabak.

“Sekiranya berjalan lancar, tujuh tren baru itu perlu disediakan Prasarana untuk 18 bulan. Jika selesai sepenuhnya, akan datang laluan Monorel akan beroperasi dengan 12 set tren empat gerabak dan operasi tren dua gerabak akan dihentikan,” jelasnya.

Ketua Pegawai Operasi Laluan Monorel, Mohd. Ariffin Idris berkata, maklumbalas pengguna dan penggemblengan tenaga dengan Kementerian Pengangkutan adalah perlu untuk memastikan laluan Monorel lebih berdaya saing dan cekap.

- UTUSAN

Recent Posts