Sabtu, Februari 18, 2017

Disleksia lambatkan proses pembelajaran

 

Kanak-kanak berusia lebih lima tahun tetapi belum boleh membaca dan mengeja perkataan dengan suku kata mudah tidak boleh dibiarkan begitu saja.

Anggapan ibu bapa perkara ini normal sebenarnya kurang tepat kerana anak mungkin mengalami ketidakupayaan atau gangguan pembelajaran khusus (LD) yang sebelum ini dikenali sebagai Disleksia.

Kanak-kanak LD lazimnya sukar membaca, tulisan tidak berapa kemas dan gagal menyelesaikan masalah matematik.

Pakar Perunding Pediatrik dan Perkembangan Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Raja Juanita Raja Lope, berkata mengenal pasti awal masalah LD dalam kalangan kanak-kanak penting bagi membolehkan masalah itu diatasi segera menerusi kaedah rawatan terbaik.

Kesan seawal peringkat tadika

"LD boleh dikesan awal semasa tadika yang mana mereka sukar mengenal abjad seperti A, B, C dan sesetengah mereka lewat dari segi pertuturan dan pemahaman.

"Apa yang kita perlu dalam membaca adalah kesedaran fonemik iaitu asas pembacaan dalam kebanyakan bahasa seperti bunyi a, b, c," katanya.

Dr Raja Juanita berkata, biasanya kanak-kanak berumur empat tahun setengah hingga lima tahun, sudah nampak kesedaran fonemik, mungkin tidak boleh baca tetapi memahami perbezaan bunyi.

Katanya, kanak-kanak berusia tiga tahun hingga empat tahun yang pergi ke tadika lazimnya sudah mampu sekurang-kurangnya mengenal huruf.

Sebelum masuk tahun satu, sudah boleh membaca tiga hingga empat suku kata dan boleh membaca buku dengan ayat ringkas.

Latih kemahiran membaca

Jangan biar anak tidak boleh membaca dan mengira sehingga mereka masuk Tahun Satu kerana keadaan itu menyulitkan lagi proses pembelajaran pada peringkat sekolah rendah.

"LD yang dikenal pasti lebih awal dapat ditangani dengan lebih cepat dan meningkatkan pencapaian kanak-kanak terutama dalam membaca.

"Kanak-kanak akan diajar mengeja menerusi pendekatan fonik (pengkodan fonologi) yang mengajar kombinasi bunyi sesuatu huruf dan pendekatan pelbagai deria untuk mengingatkan anak bunyi huruf a dan sebagainya," katanya.

Sesetengah kanak-kanak mungkin terlewat sedikit untuk kemahiran membaca boleh dilatih dengan pendekatan fonik tetapi bagi yang lebih perlahan pembelajarannya, mungkin memerlukan pendekatan secara individu.

Tidak dapat mengeja juga menimbulkan kesukaran untuk mengalami masalah penulisan karangan dan pemahaman sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

 

Cukup tidur, makanan seimbang

Ada sebahagian kanak-kanak LD mengalami masalah mengira, boleh menyelesaikan masalah darab dan bahagi tetapi berkemungkinan bermasalah sekiranya perlu menjawab soalan matematik dalam bentuk penulisan.

Selain terapi, tiada ubat lain boleh digunakan untuk mengatasi LD tetapi sekiranya membabitkan masalah berkaitan tumpuan atau ADHD, kadangkala ubat boleh digunakan untuk meningkatkan tumpuan kanak-kanak berkenaan.

"Sebaiknya ibu bapa memastikan anak cukup tidur dan makan pada masa tetap kerana ramai kanak-kanak pergi ke sekolah tanpa sarapan hingga mengganggu daya tumpuan anak.

"Senaman juga penting berbanding gaya hidup lebih banyak duduk bagi meningkatkan tahap kepekaan anak," katanya.

 

Capai kejayaan pelbagai bidang

Dr Raja Juanita berkata, kanak-kanak yang mengalami LD bukan bermakna mereka tidak pandai kerana tahap IQ mereka boleh dikatakan normal sekiranya dibandingkan dengan kanak-kanak lain.

Katanya, kanak-kanak ini tidak mengalami masalah lain yang membolehkan mereka mempelajari pelbagai perkara lain dan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.

INFO

Punca:

- Bahagian otak yang memproses kesedaran fonemik dan bahasa pada kanak-kanak sehingga menjejaskan keupayaan membaca.

- Ujian radiologi menunjukkan bahagian otak yang terbabit dalam pembacaan kurang aktif.

(Bahagian kiri parietal dan kawasan occipito-temporal).

Faktor lain;

  • Keturunan

  • Persekitaran yang tidak merangsang pembelajaran.

  • Bahagian otak membabitkan fonemik tidak berfungsi sepenuhnya.

  • Tiada rangsangan otak sejak kecil.

  • Epilepsi atau sawan.

  • Kelahiran pramatang.

  • Kecederaan kepala.

  • Ibu ketagih alkohol ketika mengandung.

  • 40 peratus kanak-kanak LD turut mengalami ADHD.

  • Kanak-kanak lelaki lebih cenderung mengalami LD berbanding perempuan LD.

  • Kanak-kanak lelaki LD lebih cemerlang berbanding kanak-kanak perempuan LD.

Langkah untuk ibu bapa:

  • Kurangkan gajet.

    (sekiranya belajar menerusi gajet, pastikan batas masa ditetapkan dan tidak terlalu lama).

  • Pupuk minat anak membaca sejak kecil.

  • Bincang dengan guru mengenai pencapaian anak.

Kelaziman LD:

  • 5-7 peratus kanak-kanak berusia sehingga 18 tahun mempunyai LD (420,000 kanak-kanak di Malaysia).

  • 30-40 peratus kanak-kanak LD mempunyai ahli keluarga dengan masalah pembelajaran termasuk disleksia.

Sumber : Berita Harian


 

 

 

Suspek Sembur Cecair, Cuci Tangan Sebelum Larikan Diri



Mereka menyembur cecair beracun ke wajah mangsa sebelum pergi ke bilik air untuk mencuci tangan dan kemudian bergegas meninggalkan lokasi kejadian.

Itulah tindakan yang digambarkan dua wanita yang ditahan dalam siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin negara itu Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Isnin lalu.

Insiden itu menjadi salah satu kes pembunuhan berprofil tinggi yang berlaku dalam negara ini.
Dua suspek kes tersebut, Siti Aisyah yang juga warga Indonesia dan pemegang pasport Vietnam dengan nama Doan Thi Huong membawa sepasukan polis ke lapangan terbang tersebut kira-kira pukul 1 pagi Jumaat untuk melakonkan semula insiden serangan terhadap Jong-nam.

Difahamkan dua suspek itu membawa polis ke tingkat 3 balai berlepas dan memberitahu polis mengenai apa yang berlaku.

Kedua-dua suspek menyifatkan tindakan mereka menyembur cecair pada muka seorang lelaki yang didakwa tidak dikenali mereka.

"Mereka mendakwa meninggalkan lokasi kejadian sebaik sahaja selesai melakukan perbuatan itu," kata sumber sambil menambah wanita itu kemudiannya pergi ke bilik air berdekatan untuk mencuci cecair tersebut.

Namun tidak dipastikan sama ada wanita tersebut memakai sarung tangan atau menggunakan sehelai kain semasa melakukan serangan itu.

Siti Aisyah memberitahu polis bahawa dia ditawarkan wang tunai berjumlah AS$100 (RM445) oleh seorang lelaki untuk melakukan perbuatan itu yang disangka untuk tujuan prank (gurauan) ke atas seorang lelaki.

Lelaki yang membayarnya dan tiga lelaki lain - semua warga asing - dilihat dalam satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lapangan terbang itu bersama dengan Siti Aisyah dan Thi Huong.
Difahamkan polis sedang memburu empat lelaki tersebut yang dipercayai dalang di sebalik insiden pembunuhan Jong-nam.

Dalam satu perkembangan berasingan, Tinjauan The Star mendapati kakitangan sebuah hotel di mana Siti Aisyah menginap tidak mengenali suspek.

"Saya tidak boleh cam individu bernama Siti Aisyah di sini, lebih-lebih lagi dari Indonesia," kata seorang pelayan restoran yang tidak mahu namanya didedahkan.

Katanya, tiada ruang menunggu di hotel tersebut sekali gus menafikan Siti Aisyah bekerja di sana.
Kakitangan di spa hotel itu juga tidak mengenali Siti Aisyah.

- mSTAR

Jumaat, Februari 17, 2017

Pengasas Valet Doa Teruskan Operasi

Perkhidmatan kiriman 'doa berbayar' ke Makkah yang kini tular di media sosial akan diteruskan, tetapi dengan sedikit perubahan.

Pengasas Valet Doa, Mohd Nasrin Harin berkata, perubahan akan dibuat terhadap terma yang ditetapkan sebelum ini di mana terdapat jaminan pemulangan wang kepada pengirim  jika doa yang dikirim tidak dimakbulkan dalam masa 365 hari.

Beliau berkata, pihaknya bersetuju membuat perubahan itu selepas mengambil kira teguran ulama yang menyifatkan tawaran pemulangan wang menunjukkan unsur perniagaan.

"Teguran itu datang daripada ahli agama, saya kena ikutlah, malah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pun menyatakan perkara hampir sama.

"Mungkin saya akan tukar 'refund' duit kepada ganti pakej," katanya kepada mStar Online, Khamis.
Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai perubahan tersebut atau pakej mana yang terlibat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah yang akan diambil selepas Jakim dan beberapa ulama mengeluarkan kenyataan meminta umat Islam tidak terpengaruh dengan khidmat yang ditawarkan Valet Doa.

Jakim berkata, perkhidmatan itu jelas menunjukkan unsur perniagaan, menjaja serta menggunakan ibadat serta doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam, selain Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta ia dihentikan.

Nasrin, 40, mendakwa perkhidmatan ini dikritik dan ditentang hebat disebabkan ia masih terlalu baharu dan orang ramai belum menyedari manfaat yang bakal diperolehi.

"Saya akan buat yang terbaik dengan pelanggan-pelanggan yang bagi amanah kepada saya.
"Diharap testimoni pelanggan yang puas hati, akan mengubah fikiran mereka (pengkritik) untuk menyokong usaha saya," katanya.

Bekas kontraktor binaan ini berkata, setakat ini, beliau belum dihubungi Jakim atau mana-mana pihak berkuasa agama berhubung isu ini.

Katanya, pada masa ini beliau juga tidak bercadang untuk menghentikan operasi Valet Doa dan halaman Facebooknya yang dibuka empat hari lalu  akan dikekalkan.

"Jakim tak ada hubungi saya, saya akan teruskan saja...Jakim memang tak sokong sebab dah keluar kenyataan," katanya.

Mengenai kritikan dan kecaman netizens yang ditujukan kepadanya, beliau menganggap ia dilakukan oleh kumpulan bukan sasarannya.

Malah, beliau berkata, di sebalik kritikan yang diterima, tidak kurang juga yang berminat, selain terdapat rakan-rakannya di kalangan ustaz yang tidak berpuas hati dengan kenyataan yang meminta perkhidmatan itu dihentikan.

"Permintaan masih ada, banyak. 'Pening' pun ada juga.

"Yang kritik itu saya anggap mereka bukan target market saya," katanya.

Valet Doa kecoh di media sosial apabila ia menawarkan peluang kepada orang ramai yang tidak mampu ke Makkah tetapi berhasrat untuk doa-doa mereka dilafazkan di lokasi tertentu di Tanah Suci mengirimkan doa kepada wakil dengan bayaran tertentu.

Mereka perlu membayar pada kadar antara RM500 hingga RM2,500, bergantung kepada jumlah doa dan lokasi ia dilafazkan.

- mSTAR

Keputusan STPM 2016 Diumum Pada 28 Februari 2017



Keputusan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 akan dikeluarkan pada 28 Februari 2017, kata Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia, Mohd Fauzi Mohd Kassim.

Beliau berkata calon sekolah boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai 12 tengah hari sementara calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos.

"Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui Sistem Mesej Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT<jarak><No Kad Pengenalan> dan menghantarnya ke 15888.

"Ia juga boleh disemak serta secara dalam talian dengan melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12.00 tengah hari pada tarikh berkenaan," kata dalam satu kenyataan.

Mohd Fauzi berkata seramai 43,325 calon menduduki peperiksaan di 738 buah pusat di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 42,845 orang (99.10 peratus) merupakan calon sekolah kerajaan, 264 orang (0.61 peratus) calon sekolah swasta, 114 orang (0.26 peratus) calon persendirian individu dan 12 orang (0.03 peratus) calon sekolah kerajaan negeri.

Rabu, Februari 15, 2017

Dego Ride Diarah Henti Operasi



Dego Ride mengarahkan kira-kira 6,000 penunggang motosikalnya supaya menghentikan operasi serta-merta susulan arahan Kementerian Pengangkutan supaya pihaknya berbuat demikian serta-merta.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, arahan tersebut dikeluarkan sehingga isu perkhidmatan perkongsian pengangkutan menggunakan motosikal itu diselesaikan dengan pihak berkuasa.

"Kita arahkan semua penunggang menghentikan operasi serta-merta kerana kita tidak mahu mereka melanggar undang-undang.

"Kita juga mahu bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya isu ini dapat ditangani secara baik," katanya kepada mStar Online pada lewat malam Isnin.

Pada Isnin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada Dego Ride supaya tidak mencabar undang-undang dan beroperasi tanpa lesen.

Beliau berkata, undang-undang menetapkan mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987, motosikal tidak boleh dijadikan sebagai kenderaan komersial manakala Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) 2010, tidak boleh membawa kenderaan komersial tanpa permit.

Nabil bagaimanapun memberitahu pihaknya terus komited untuk memastikan Dego Ride dapat beroperasi sebagai teksi motosikal secara sah.

Tambahnya, hasrat itu bagi memberi peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di samping menawarkan pilihan pengangkutan pada kos murah kepada pengguna.

"Oleh itu, kita akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pengangkutan dan SPAD secepat mungkin untuk menyelesaikan isu berbangkit," ujar Nabil.

Sebelum ini, Nabil telah mengadakan dua pertemuan secara berasingan dengan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berhubung isu Dego Ride.

Isu Dego Ride bermula pada 24 Januari lalu selepas Ab Aziz dalam sidang media mengumumkan bahawa teksi motosikal sebagai satu perkhidmatan tanpa lesen dan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan.

Menerusi arahannya pada Isnin, Tiong Lai berkata, walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas tetapi dari segi keselamatan jalan raya, jenis perkhidmatan itu tidak akan membantu mengurangkan jumlah kemalangan motosikal yang tinggi setiap tahun.

Sabtu lalu, mStar Online melaporkan bahawa Dego Ride berkeras untuk meneruskan operasi walaupun tidak mempunyai lesen dan JPJ diarahkan untuk mengambil tindakan.

Perkhidmatan Dego Ride boleh ditempah menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kadar tambang dari RM2.50 untuk 3 kilometer (km) pertama, dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap km seterusnya.
Sejak beroperasi pada November tahun lalu, lebih 15,000 penumpang telah menggunakan perkhidmatan Dego Ride di sekitar Lembah Klang.

- mSTAR

Jangan Rakam Gambar Ketika Memandu




Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Isma Suhaimi Sharif berkata pemandu kenderaan tidak boleh merakam gambar atau video mengenai kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna jalan raya yang lain walaupun ia bertujuan untuk disalurkan kepada JPJ.

Beliau berkata pemandu berkenaan boleh diambil tindakan jika berbuat demikian kerana penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan kesalahan di bawah Kaedah 17 A, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda sebanyak RM300.

"Memang kita galakkan orang ramai membantu salurkan maklumat melalui pelbagai aplikasi, tapi sepatutnya gambar atau video mestilah diambil oleh orang lain dalam kenderaan dan bukannya pemandu itu sendiri," katanya kepada pemberita.

Beliau melancarkan Ops Tahun Baharu Cina 2017 peringkat negeri Kedah pada Rabu malam.

Sebanyak 560 kenderaan diperiksa dalam operasi di sekitar Jalan Pegawai disini dan 75 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

-Bernama

Sabtu, Februari 11, 2017

Pemancar dan Kawasan Liputan MYTV (TV Digital Malaysia)



Lokasi Stesen Pemancar dan Kawasan Liputan MYTV (TV Digital Malaysia)

1. Lokasi Pemancar TV Digital MYTV dan kawasan liputan Fasa 1 - Telah beroperasi.
- Gunung Ulu Kali (Selangor, Pahang Barat, Perak Selatan)
- Gunung Jerai (Kedah, Perlis, Penang)
- Gunung Kledang (Perak Tengah)
- Bukit Sungai Besi (Kuala Lumpur)
- Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur)
- Gunung Andrassy (Tawau, Sabah)
- Gunung Serapi (Kuching)
- Bukit Trig (Sandakan, Sabah)
- Bukit Pelindung (Kuantan, Kemaman)
- Gunung Pulai (Johor Selatan)
- Bukit Besar (Kuala Terengganu, Marang)
- Bukit Bakar (Kelantan Selatan)
- Bukit Karatong (Kota Kinabalu, Sabah)
- Gunung Serapi (Kuching, Sarawak)
- Gunung Ledang (Melaka, Utara Johor, Negeri Sembilan) - Disambar kilat dan belum dapat beroperasi semula lagi kerana tuntutan insurans.

2. Lokasi Pemancar dan Repeater MYTV Fasa 2 - Dijangka beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun 2017 untuk mengatasi masalah liputan yang terlindung di sesetengah tempat.
- Gunung Telapak Burok (Negeri Sembilan: Seremban, Port Dickson, Jempol, Kuala Pilah, Jelebu)
- Bukit Tampin (Tampin & Rembau)
- Bukit Larut (Perak Utara)
- Bukit Tinggi (Mersing, Johor Timur)
- Bukit Palong (Baling and Pengkalan Hulu)
- Bukit Penara (Georgetown)
- Seberang Jaya (Seberang Perai)
- Gunung Raya (Langkawi)
- Padang Pauh (Perlis)
- Bukit Senggora (Maran)
- Bukit Bauk (Dungun)
- Bukit Kemuning (Kemaman)
- Bukit Bintang (Besut)
- Telipot (Kota Bharu, Kelantan Utara)
- Bukit Lambir (Miri)
- TLDM Lumut (Pulau Pangkor)
- Bukit Sembilan (Bandar Muadzam Shah, Pahang Selatan)

3. Lokasi Pemancar dan Repeater MYTV Fasa 3 - Akan dipasang selepas Fasa 2 selesai.
- Changkat Rembian (Tapah)
- Bukit Istana (Jerantut)
- Gunung Brinchang (Cameron Highlands)

Isnin, Februari 06, 2017

Kad Pengenalan 'Bangsa Johor' Tak Wujud




Kerajaan Johor menafikan pihaknya mengeluarkan kad pengenalan 'Bangsa Johor' selepas gambar mengenai dokumen itu tersebar di media sosial.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani berkata, sama ada kerajaan negeri, mana-mana agensi atau jabatan berkaitan tidak pernah memperkenalkan kad pengenalan itu.

"Penggunaan kad pengenalan Johor seumpama itu tanpa merujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali.

"Kerajaan negeri dan agendi di bawahnya tidak pernah memperkenalkan kad pengenalan ini," katanya.

Difahamkan, laporan polis dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam pada petang Khamis.
Beberapa posting di laman sosial yang menjadi viral menunjukkan kad pengenalan yang tertera "identiti Bangsa Johor" dan meminta orang ramai untuk memohon bagi mendapatkannya.

Kad itu juga mencatatkan nombor identiti "Bangsa Johor". Sebagai tambahan, dokumen pengenalan diri itu juga berfungsi sebagai kad debit.

Di belakang kad itu tertera alamat pemiliknya dan nama waris termasuk pengesahan sebagai Bangsa Johor.

- mSTAR

Puncak Kinabalu Paling Sejuk Di Malaysia



Tarikan pelancongan di Sabah, puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dari aras laut merupakan tempat paling sejuk di Malaysia, kata Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ketua Pengarahnya Datuk Che Gayah Ismail berkata suhu Gunung Kinabalu yang merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan di Asia Tenggara boleh turun sehingga dua darjah selsius.

"Secara amnya suhu akan turun dengan kadar 6.4 darjah selsius untuk setiap kilometer ketinggian. Justeru, tempat paling sejuk di Malaysia adalah puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dari paras laut di mana suhunya boleh turun sehingga dua darjah selsius," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, katanya jabatan itu tidak mempunyai stesen meteorologi di kawasan puncak gunung, kecuali stesen di Laban Rata iaitu tempat persinggahan sebelum ke puncak gunung tersebut.

Selain puncak Gunung Kinabalu, Che Gayah berkata berdasarkan rekod daripada 44 stesen utama di seluruh negara, pusat peranginan terkemuka Cameron Highlands juga merupakan antara kawasan paling sejuk di Malaysia dengan suhu terendah 16 darjah selsius pada Januari lepas.

Beliau berkata suhu rendah yang direkodkan di Cameron Highlands disebabkan Stesen Cameron Highlands berada pada paras tinggi iaitu 1,471.6 meter dari aras laut.

"Cameron Highlands juga pernah melakar sejarah sebagai kawasan yang mencatat suhu paling rendah dalam negara iaitu 7.8 darjah selsius pada Februari 1978 berbanding 19 stesen utama lain yang ada pada ketika itu," katanya.

- mSTAR


Tiga Beradik Hias Kubur Ayah Dengan Rumput Karpet



Kisah tiga beradik menghiasi kubur ayah mereka dengan rumput karpet, yang tersebar sejak 2 Februari lalu, terus mendapat perhatian netizen.

Berdasarkan nukilan pemilik akaun Facebook bernama Faizul Ezmin, mereka bertiga berbuat demikian kerana tidak mampu membelikan rumah semasa arwah ayahnya masih hidup.

Malah Faizul yang menggelar dirinya sebagai Emen, mengakui mereka bertiga jarang melawat arwah ayahnya tetapi kini keadaan sudah berubah kerana mereka sering datang untuk membersihkan kubur.

Selain itu, Emen berkata, dia dan adik beradiknya tidak mampu menghiaskan kubur ayahnya dan mereka mengambil keputusan untuk meletakkan rumput karpet sebagai ganti.

Dia sempat memberi pesanan kepada netizen supaya menghargai orang tua selagi mereka masih hidup.

"Yang masih hidup, ade mak abah tu... Kalau emak abah call, msg tu maknanya diorang rindu, so amik jela cuti... Duit banyak2 pun bukan leh tabur atas kubur mak abah tu nanti...," katanya.

Status Emen itu mendapat 14,000 'like' dan dikongsi lebih 6,052 selain mendapat 1,700 komen setakat Sabtu.

Rata-rata netizen menggangap kisah tiga beradik tersebut sebagai sumber inspirasi kepada mereka untuk lebih menghargai ibu bapa masing-masing.

- mSTAR

Peti Aduan Disiplin Di Sekolah Bendung Salah Laku Pelajar



Pihak pengurusan sekolah menengah dan rendah di seluruh negara diarah menyediakan 'Peti Aduan Disiplin Murid' khusus untuk membendung salah laku pelajar terutama dalam jenayah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata dengan adanya peti aduan itu, pelajar boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak sekolah yang kemudiannya dipanjangkan kepada polis.

"Aduan yang dibuat pelajar ini adalah rahsia...pelajar tidak perlu takut untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelajar yang terbabit dalam salah laku ini.

"Ia di bawah seliaan guru disiplin dan semua maklumat berkenaan akan  disampaikan kepada anggota Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang ditugaskan di  setiap sekolah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom Ke  Sekolah peringkat Kebangsaan 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Ahmad di Kuala Nerang.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Kedah  Datuk Asri Yusoff dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah Datuk Azuyah Hassan.

Mahdzir berkata tujuan utama program berkenaan adalah juga untuk mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah yang dikenal pasti kerana adanya pelajar yang terpaksa bekerja dan juga yang terbabit dalam jenayah.

"Ini merupakan punca ketidakhadiran pelajar yang menyebabkan ada sesetengah sekolah mencatatkan peratusan kehadiran yang rendah," katanya.

Beliau berkata purata peratus kehadiran pelajar di seluruh negara pada 2016  membabitkan pelajar sekolah rendah adalah 94.1 peratus manakala sekolah menengah 91.4 peratus.

"Peratus kehadiran di peringkat kebangsaan yang ditetapkan adalah 92.3 peratus dan ini yang menjadi tumpuan kementerian dan polis untuk mengatasinya," katanya.

Beliau merayu kepada ibu bapa dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru di  setiap sekolah agar dapat memainkan peranan untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kita khuatir ada pelajar yang ponteng ini terbabit jenayah yang berat dan  boleh dihukum sekiranya masalah ponteng sekolah ini tidak diatasi," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Mahdzir yakin kerjasama pemuafakatan dengan Polis Diraja Malaysia, komuniti dan ibu bapa akhirnya akan menarik minat  pelajar untuk ke sekolah.

- BERNAMA

Recent Posts